21 November 2013

Ibu Pengaruhi Kejayaan Dr. Zakri Abdul Hamid



MEMBESAR sebagai budak kampung, mengabdikan diri dalam bidang sains serta pendidikan sejak usia muda sebelum dilantik sebagai Penasihat Sains kepada Perdana Menteri usai persaraan dan kini dilantik pula sebagai ahli lembaga penasihat sains kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon.

Ternyata perjalanan hidup Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid hebat dan berwarna-warni untuk digambarkan.

Dengan biodata yang cukup mengagumkan itu Mingguan Malaysia mulanya agak cuak untuk bertemu dengan beliau. Namun perasaan itu hilang sebaik sahaja melangkah ke dalam pejabatnya di Putrajaya. Aura mesra terpancar tanpa dibuat-buat apabila Dr. Zakri menyapa dan mengalu-alukan kedatangan kami.


Ternyata, pengalaman mengunjungi hampir semua negara di dunia atas urusan kerja dan berdiri di pelbagai forum antarabangsa, tidak sedikit pun melunturkan jatidiri Dr. Zakri sebagai orang Melayu. “Saya tetap berbangga menjadi orang Melayu dan rakyat Malaysia," tegasnya.

Baginya, peluang menjawat pelbagai jawatan penting di dalam dan luar negara termasuk pelantikan terbaharu dengan badan dunia PBB adalah satu penghormatan kepada negara dan rakyat Malaysia.

“Ia hasil sokongan kerajaan dan negara sejak dari pendidikan awal yang saya terima sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD). Sebab itu saya dengan senang hati menerima pengiktirafan ini kerana ia landasan baik untuk menonjolkan negara kita yang kecil ini," katanya.


Keluarga bahagia Dr. Zakri Abdul Hamid dan isteri, Aton Yem bersama anak dan menantu.

Sebagai ahli lembaga penasihat sains kepada Setiausaha Agung PBB, beliau telah menempatkan diri antara 26 ahli saintis terkemuka dunia, yang sepanjang tempoh pelantikan akan bermesyuarat bagi memberi nasihat dan pandangan bagaimana sains, teknologi dan inovasi berperanan dalam membentuk pembangunan mapan.

Mesyuarat pertama lembaga itu akan diadakan Januari tahun 2014 depan.

“Isu perubahan iklim, pemanasan bumi, urbanisasi, kependudukan dunia dan banyak lagi akan memberi masalah kepada sumber air dan tenaga, kesihatan, keselamatan makanan serta kepelbagaian biologi dan biodiversiti.

“Jika semua ini tidak dikawal dan ditangani dengan betul malah sumber gagal diurus dengan baik, manusia yang akan menerima akibatnya," ujar beliau.

Dalam hal ini, beliau akan memberi tumpuan terhadap bidang kepelbagaian biologi yang menjadi kepakarannya termasuk usaha memelihara sumber flora dan fauna agar dapat terus dinikmati dan dikongsi oleh generasi akan datang.

Dilahirkan dan membesar dalam suasana desa di Kampung Ketari, Bentong, Pahang, minat beliau terhadap flora dan fauna timbul secara semulajadi. Justeru ketika anak muda seusia seolah-olah menjauhi pertanian, Dr. Zakri tidak ragu-ragu melanjutkan pengajian formal dalam bidang ini.

Bermula dengan diploma di Kolej Pertanian Malaya (kini Universiti Putra Malaysia) pada 1969, beliau kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Louisiana State University di Amerika Syarikat (AS) sebelum menyambung pula ke peringkat sarjana dan PhD di Michigan State University.

Sekembalinya dari luar negara, Zakri berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan setia di sana sehingga tempoh perkhidmatannya berakhir.

Pendorong

Bermula sebagai pensyarah, beliau terus mendaki tangga kejayaan dalam bidang akademik dan pendidikan sehingga dilantik Ketua Jabatan Genetik, Dekan Fakulti Sains Hayat sebelum menamatkan kerjaya sebagai Timbalan Naib Canselor UKM pada 2000.

“Pendidikanlah yang menjadi batu penyamarataan dan loncatan sehingga meletakkan diri saya ke tempat yang tinggi dalam kerjaya," katanya.

Dalam kerancakan mengimbau pendakian kerjayanya, Dr. Zakri tiba-tiba terdiam. Lelaki hebat berusia 65 tahun ini bingkas ke meja mengambil tisu. “Maaf," katanya sambil menyeka air mata.

Soalan tentang siapa yang menjadi pendorong kejayaan rupa-rupanya mengembalikan ingatan beliau terhadap ibu tercinta, Ramlah Tangguk.

“Pengaruh terbesar ialah ibu saya. Dia yang mempengaruhi prinsip hidup saya untuk menjadi manusia yang baik dan selalu merendah diri," ujar beliau dalam nada sebak.

Ternyata biarpun telah terbang tinggi menggapai kejayaan dan penghormatan dari seluruh dunia, ibu tetap di hati Dr. Zakri.

Walaupun hanya wanita kampung tanpa pendidikan tinggi dan menjadi suri rumah sepenuh masa, kasih sayang dan didikan ibu yang sering menekankan kepentingan pelajaran telah membentuk siapa dirinya hari ini.

“Sebagai pemandu lori, bapa saya sering bekerja di luar dan ibulah yang bertanggungjawab mendidik dan membesarkan kami dan menekankan agar menguasai ilmu," katanya yang masih ingat susah-payah ibu mengambil upah menjahit untuk menambah pendapatan keluarga bagi membesarkan beliau empat beradik.

Ternyata kepatuhan Dr. Zakri mengikut didikan ibu membuahkan hasil yang berkat.

Beliau ialah orang Asia pertama menyandang jawatan Pengerusi Badan Penasihat Saintifik, Teknikal dan Teknologi di bawah PBB dari 1997 hingga 1998; pengerusi pertama Intergovernmental Science-Policy Platform on Biodiversity and Ecosystem Services (IPBES); Pengerusi Bersama Penilaian Ekosistem Alaf (2001 -2005) melibatkan 1,950 ahli sains dari 95 negara.

Antara pengalaman manis yang pernah dilalui beliau sebagai pakar sains adalah memberi syarahan peribadi tentang sains kepada keluarga diraja Jepun, Maharaja Akihito.

Dr. Zakri juga boleh berbangga kerana dua spesies haiwan iaitu kumbang dan riang-riang serta spesies periuk kera dinamakan sempena beliau bagi menghargai peranannya dalam bidang flora dan fauna.

Bersembang dengan tokoh ini seolah tiada penamatnya kerana terlalu banyak kisah menarik dan teladan yang mahu dikongsinya. Zakri juga tidak pernah lupa asal usul apatah lagi orang yang banyak berjasa kepadanya.

Mengagumi puisi Sasterawan Negara, Usman Awang bertajuk, Guru oh Guru, beliau menyanjung tinggi guru sekolahnya Pak Rashid yang mengajar erti ‘fear no one’. Tokoh pendidik iaitu Tan Sri Rashdan Baba dan Tan Sri Mohd. Nor Ismail juga dekat di hatinya sebagai insan yang bertanggungjawab memberi keyakinan kepada anak kampung sepertinya untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.

“Saya memegang resmi kapal terbang, semakin tinggi terbang semakin perlahan bunyinya.

“Apalah gunanya kejayaan jika hanya membuatkan diri kita semakin sombong dan bongkak. Hakikatnya kita sama sahaja seperti orang lain kerana semua orang menyumbang dalam hidup dengan cara mereka sendiri," katanya menutup bicara.

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN dan HAFIZAHRIL HAMID
Sumber: Utusan

0 comments: