18 November 2013
Pelajar Cemerlang UPSR Terima Hadiah Mini Cooper
Siti Nur Fatini Zulaikha bersama ayahnya, Zukila Deraman dan ibu, Nor Aishah Mahmud meraikan kejayaannya mendapat 5A dalam UPSR di Sekolah Kebangsaan Zainab 1, Kota Bharu,
Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Nur Fatini Zulaikha Zukila tidak menyangka menerima hadiah istimewa sebuah kereta jenis Mini Cooper yang bernilai RM210,000 atas kejayaannya mencatatkan keputusan 5A dalam peperiksaan tersebut.
Lebih istimewa, hadiah itu diserahkan sendiri bapanya, Zukila Deraman, 36, pada pagi Jumaat 15 November, 2013, sebaik sahaja keputusan peperiksaan tersebut diumumkan di Sekolah Kebangsaan Zainab 1, Kota Bharu..
Zukila yang juga pembekal ayam terkenal di bandar ini membuat kejutan selepas memandu sendiri kereta tersebut untuk diserahkan kepada anaknya itu di sekolah berkenaan kira-kira pukul 11 pagi.
Sementara itu, Siti Nur Fatini yang ditemui di rumahnya di Taman Tanjung Chat dekat sini hari ini berkata, ayahnya benar-benar membuat kejutan dengan mengotakan janji menghadiahkan kereta itu kepadanya.
Fatini Zulaikha bersama kereta contoh Mini Cooper yang akan dihadiahkan oleh bapanya.
“Pada awal tahun saya, pernah menyuarakan untuk dihadiahkan kereta berkenaan, namun bapa hanya diam. Kira-kira sebulan sebelum peperiksaan, bapa memberitahu saya akan dapat kereta itu jika mendapat 5A.
“Saya tidak menyangka bapa menunaikan janjinya, malah membawa kereta itu ke sekolah sebagai hadiah kejayaan saya. Ibu memuat naik gambar dalam Facebook sebagai kenangan dan saya tidak menyangka ia menjadi perhatian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanjung Chat.
"Saya sedar saya tidak mungkin dapat memandu kereta ini kerana masih belum mencapai usia untuk memiliki lesan tetapi sekurang-kurangnya saya boleh mengaku kereta itu kepunyaan saya.
"Hadiah istimewa ini juga akan dijadikan perangsang sekurang-kurangnya untuk mencapai kejayaan yang lebih besar selepas ini," katanya.
Siti Nur Fatini berkata, dia berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut selepas bapanya berjanji menghadiahkan kereta idamannya.
Ibunya, Nor Aishah Mahmud, 31, berkata hadiah kereta adalah sebagai hadiah kejayaan anaknya dan tidak bermaksud untuk menunjuk-nunjuk kemewahan.
“Suami hanya menunaikan janjinya kepada anak dan kebetulan kami mampu membelinya. Gambar itu dimuat naik untuk kenangan keluarga dan tiada niat untuk menunjuk.
“Kereta Mini Cooper jenis dua pintu dalam gambar yang dimuat naik dalam Facebook itu bukan kereta sebenar yang akan dihadiahkan. Suami akan bawa balik kereta lain tapi tetap jenama Mini Cooper mungkin empat pintu bagi kemudahan keluarga kami,” katanya.
Sumber: BHarian, Utusan
Labels:
Semasa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan