19 November 2013
Sejarah Panjang Piala Malaysia
SEJARAH Piala Malaysia sebenarnya bermula pada zaman penjajahan British lagi iaitu pada 1921 apabila ia ketika itu dikenali dengan nama Piala Malaya.
Sepanjang dikenali sebagai Piala Malaya sehingga 1932, hanya tiga pasukan yang pernah menjadi juara iaitu Singapura sebanyak lapan kali diikuti Selangor (empat kali) dan Perak (dua kali).
Dari 1933 hingga 1966, perlawanan bola sepak itu dikenali dengan nama Piala HMS Malaya yang menyaksikan Singapura terus mempamerkan kehebatan dengan menjadi juara sebanyak 13 kali. HMS Malaya diambil sempena nama kapal perang HMS Malaya.
Pencabar terdekat adalah Selangor yang menjadi juara sebanyak 10 kali. Antara yang membantu kejayaan Selangor adalah pemain posisi penyerang, Tan Sri Abdul Ghani Minhat.
Ini diikuti Pulau Pinang yang menjadi juara sebanyak tiga kali manakala Perak dan Negeri Sembilan masing-masing sekali.
Walaupun hanya menang sekali, Perak telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan pertama menjadi juara Piala HMS Malaya di Stadium Merdeka yang baru dibuka pada 1957.
Nama Piala Malaysia hanya mula digunakan pada 1967. Ketika itu dominasi Singapura telah jatuh merudum dan ia hanya mampu menjadi juara sebanyak dua kali sahaja sebelum pasukan itu mengundur diri daripada menyertai pertandingan bermula 1995.
Sepanjang pertandingan Piala Malaysia, prestasi Selangor adalah yang paling menyerlah apabila menjadi juara sebanyak 18 kali.
Sepanjang fasa pertama dari 1967 hingga 1990, kecemerlangan Selangor adalah berpunca daripada pemain berkaliber termasuk Datuk Mokhtar Dahari yang bermain di posisi serangan; pemain pertahanan, Datuk Soh Chin Aun dan Santokh Singh serta penjaga gol, R. Arumugam.
Fasa kedua yang menyaksikan Selangor menunjukkan belang dengan mencipta hatrik apabila menjadi juara pada 1995, 1996 dan 1997 adalah kerana sokongan pemain generasi baharu yang berkebolehan termasuk pemain penyerang, Azman Adnan dan Rusdi Suparman.
Pasukan-pasukan lain yang pernah menjadi juara adalah Kedah sebanyak empat kali, Pahang, Perak dan Kuala Lumpur (tiga kali), Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis dan Johor (dua kali) manakala Terengganu, Brunei dan Pulau Pinang (sekali).
Perak terus mencatatkan sejarah sepanjang Piala Malaysia apabila menjadi juara ketika perlawanan pertama kali dipertandingkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1998 di bawah bimbingan jurulatih dari Jerman, Karl Heinz Weigang.
Kuala Lumpur turut mencipta sejarah apabila menjuarai Piala Malaysia secara hatrik pada 1987, 1988 dan 1989 ketika menumbangkan musuh yang sama iaitu Kedah.
Serbegeth Singh dan Abdul Rashid Hassan adalah antara tonggak utama dalam skuad berkenaan ketika itu.
Kedah berjaya merangkul Piala Malaysia setahun kemudian pada 1990 ketika dibimbing jurulatih dari Republik Czech, Milous Kvacek dan sekali lagi pada 1993 ketika dilatih jurulatih dari Belanda, Robert Rene Alberts.
Di bawah bimbingan jurulatih tempatan, Mohd. Azraai Khor Abdullah, Kedah telah menjadi juara pada 2007 dan 2008. Beliau selepas itu membimbing Negeri Sembilan untuk menjadi juara pada 2011.
Kejayaan Johor menjadi juara pada 1985 dan 1991 pula berpunca daripada sumbangan trio pemain import iaitu Ervin Boban, Abbas Saad dan Alistair Edwards.
Bermula pada 2009, Negeri Sembilan dan Kelantan menjadi juara secara berselang-seli sehingga 2012.
PENJARING gol tunggal pasukan Pahang, Matias Conti menjulang Piala Malaysia sambil rakan sepasukan bersorak gembira selepas menewaskan Kelantan di Stadium Shah Alam, Selangor.
Bagaimanapun, rekod itu dipecahkan oleh Pahang yang menjadi juara baharu pada tahun ini setelah menewaskan Kelantan 1-0.
Kejayaan Pahang itu adalah hasil bimbingan jurulatih, Dollah Salleh yang sebelum ini telah membimbing Selangor menjadi juara pada 2005 dan MPPJ FC pada 2003.
Dollah bersama Zainal Abidin Hassan adalah antara pemain tonggak yang membantu Pahang menjadi juara Piala Malaysia pada 1992.
Pencapaian Pasukan Setakat 2013
Berikut adalah pencapaian 5 Pasukan Terbaik Piala Malaysia setakat 2013:
1. Selangor FA, juara sebanyak 32 kali dan 15 kali naib juara.
2. Singapura, juara sebanyak 24 kali dan 19 kali naib juara.
3. Perak FA, juara sebanayk 7 kali dan 11 kali naib juara
4. Penang FA, juara sebanyak 4 kali dan 9 kali naib juara
5. Kedah FA, juara sebanyak 4 kali dan 6 kali naib juara.
Untuk maklumat lanjut sila rujuk ms.wikipedia.
Oleh NIZAM YATIM
Sumber: Utusan,
Labels:
Sukan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan