23 November 2013

Usaha Mencari Penyelesaian Isu Ketagihan


Kegilaan bermain Candy Crush adalah suatu ketagihan yang melanda pengguna gajet mudah alih pada masa kini.

Apabila memperkatakan mengenai penagihan sering kali ia dikaitkan dengan penagihan dadah, yang sejak dahulu lagi diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Hakikatnya masyarakat hari ini bukan sahaja berhadapan dengan penagihan dadah malah pelbagai lagi bentuk ketagihan yang mengundang permasalahan serius sekiranya tidak diatasi.

Antaranya penagihan rokok, alkohol, judi, permainan di dalam komputer, internet malah terkini masalah ketagihan makanan hingga membawa kepada obesiti dan penyakit lain.


Mengambil contoh kes terbaru melibatkan seorang pemuda di Pulau Pinang yang meninggal dunia dipercayai ketagih bermain permainan di dalam talian (internet). Dia dikatakan menghadap depan internet secara berterusan selama 15 jam setiap hari.

Ketagihan internet ini mengundang kesan kepada 'ketahanan' seperti mana yang dialami akibat penyalahgunaan dadah. Seseorang yang ketagih internet dikatakan perlu berasa kekal secara dalam talian untuk mencapai keseronokan yang diinginkan dan kalau tidak akan mengalami perasaan murung, cemas serta bimbang.

Begitu juga penagihan umum seperti rokok yang diketahui kesannya boleh membawa kepada penyakit barah hati dan jantung, judi yang membawa banyak masalah sosial seperti keruntuhan institusi kekeluargaan serta masalah hutang yang menyebabkan ada yang meminjam dengan along.


PENGLIBATAN kes ketagihan membabitkan golongan remaja di Malaysia semakin ketara kebelakangan ini.

PENAGIHAN YANG SEMAKIN MENINGKAT

Penyakit ketagihan ini menjadi kebimbangan ramai pihak apabila ia semakin meningkat setiap tahun.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya, Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari pengambilan dadah jenis baru seperti syabu serta ketagihan internet adalah antara masalah ketagihan yang sangat ketara peningkatannya terutama golongan remaja.

Beliau berkata kesan pengambilan dadah jenis syabu itu boleh dilihat di mana-mana hospital di seluruh negara apabila semakin ramai yang cuba mendapatkan rawatan akibat gangguan halusinasi sehingga menyebabkan mereka yang terlibat boleh bertindak agresif dan ganas.

Apabila fikiran mereka yang mengambil dadah tidak boleh dikawal lagi, keluarga biasanya akan membawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan kebiasaannya ujian air kencing akan positif dadah jenis syabu, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Masalah pengambilan syabu adalah cabaran yang bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia malah negara-negara Asia Pasifik lain berikutan masih tercari-cari kaedah yang berkesan untuk merawatnya.


MALAYSIA perlu mempunyai tempat bagi merawat mereka yang berhadapan masalah ketagihan internet.

KESAN PENAGIHAN INTERNET

Dr Muhamaad Muhsin berkata penagihan internet terutama di negara-negara Asia termasuk Malaysia menunjukkan peningkatan kesan daripada kejutan teknologi itu.

Negara-negara seperti China, Taiwan dan Korea telah membuat banyak penyelidikan mengenai kesan penagihan internet ke atas rakyat mereka.

"Di Korea, klinik penagihan internet diadakan kerana peningkatan pesakit yang berhadapan masalah itu.

"Masalah ketagihan internet membawa kesan besar termasuk melibatkan perjudian di internet, penipuan, masalah penyalahgunaan sosial media dan sebagainya yang boleh membawa mudarat hingga ada yang maut dan bunuh diri," katanya.

Mungkin Malaysia juga, katanya, perlu mengambil langkah seperti Korea dalam menangani ketagihan internet agar ia tidak terus meningkat dan perlu mempunyai tempat yang khusus bagi merawat mereka yang berhadapan dengan masalah ketagihan itu.

PERSIDANGAN ANTARABANGSA ISAM

Atas dasar peka kepada isu ketagihan ini, lebih 600 pakar yang khusus dalam bidang ketagihan seluruh dunia berbincang bersama dalam Persidangan Tahunan Antarabangsa Perubatan Ketagihan (ISAM) kali ke-15 di ibu negara selama tiga hari mulai 21 Nov 2013 ini.

Dr Muhammad Muhsin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola persidangan itu, berkata perbincangan akan meliputi perkembangan secara saintifik bagaimana peranan otak semasa penagihan berlaku bagi membantu memberi rawatan yang berkesan kepada penagih.

"Ini termasuk perubahan, tranformasi daripada pendekatan menangani penagihan seperti penagihan dadah yang dahulunya hanya melibatkan dari segi sosial dan undang-undang, kini dipertingkatkan lagi melalui rawatan perubatan," katanya.

Jika dahulu impaknya kurang berkesan, namun penyelidikan yang dibuat di seluruh dunia mendapati pendekatan perubatan mempunyai peranannya dalam mengatasi penagihan itu.

Antaranya ketagihan heroin dengan pengambilan methadone, penagihan rokok melalui verenicline dan nicorrette gum, ketagihan alkohol boleh diatasi dengan pengambilan ubat naltrexone dan diazepam.

"Negara kita telah bergerak ke arah rawatan perubatan seperti negara-negara yang berkenaan dalam mengurangkan kemudaratan akibat ketagihan ini.

"Kesan ketara yang boleh kita lihat sejak pengambilan mathadone bagi menangani penagihan dadah heroin, yang mana dahulunya 70 peratus HIV adalah dalam kalangan penagih dadah, kini turun kepada hanya 25 peratus sahaja," katanya.

Sebanyak 200 kertas kerja akan dibentangkan pada persidangan yang julung kali diadakan di Asia melibatkan lebih 40 negara.

Persidangan itu akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar di Pusat Persidangan Telekom Malaysia.

Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber: BERNAMA, Kosmo

0 comments: