01 Disember 2013

Penjagaan Kamera


Lensa perlu dibersihkan daripada habuk dan kesan cap jari.

DALAM menghasilkan gambar yang bermutu dan terbaik, bukan hanya sekadar bergantung kepada perancangan, pemilihan sudut penggambaran, suhu warna dan sebagainya tetapi yang paling penting adalah penjagaan peralatan kamera itu sendiri.

Penjagaan peralatan adalah penting agar kamera kita sentiasa berada dalam mood yang baik untuk menghasilkan karya yang bermutu setaraf jurugambar professional.

Kamera perlu disimpan di tempat yang sesuai jika tidak digunakan seperti di dalam kotak simpanan kering (dry box) yang dilengkapi dengan ketetapan suhu kering dalaman (RH) atapun anda boleh buat sendiri dengan meletakkan bebola plastik dan gel silikon bagi menyerap udara lembap di dalam kotak tempat simpanan kamera anda. Ini bagi mengelakkan peralatan kamera anda daripada fungus disebabkan kelembapan udara persekitaran.


Bagi mereka yang jarang menggunakan kamera, anda perlu mengoperasikan kamera anda untuk beberapa kali klik setiap dua minggu supaya komponen dalaman kamera anda berfungsi dengan baik. Jangan biarkan kamera tidak beroperasi dalam jangka waktu yang terlalu lama.

Bawalah kamera anda untuk servis di pusat servis bertauliah setiap enam bulan sekali bagi mengekalkan jangka hayatnya selain anda dapat mengenal pasti lebih awal jika berlaku sebarang kerosakan.

Sekiranya anda tidak menggunakan kamera untuk jangka waktu yang panjang, keluarkan bateri dari kamera dan lampu denyar (flash) serta ceraikan lensa (kamera DSLR) dan letakkan pada kedudukan yang sempurna supaya tidak merosakkan sistem peranti elektronik dalamannya.

Selain itu, ketika melakukan tugasan, peganglah kamera dengan cermat dan berhati-hati supaya ia tidak terjatuh atau terlanggar dengan objek keras kerana hentakan dan gegaran boleh merosakkan peralatan kesayangan anda.

Elakkan jari anda terkena pada bahagian lensa serta viewfinder pada kamera kerana kesan cap jari boleh mengganggu penghasilan gambar yang bermutu dan boleh merosakkan lapisan (coating) pada lensa.

Jangan biarkan kamera anda terdedah pada cahaya matahari secara berpanjangan atau diletakkan di tempat bersuhu tinggi kerana boleh merosakkan beberapa komponen elektronik dalamannya kecuali bagi kamera yang yang mempunyai penebat suhu.

Oleh Abd. Rahman Saleh
Sumber: Utusan

0 comments: