01 Februari 2014

Hiperhidrosis ~ Peluh Berlebihan



Terdapat individ yang mengalami masalah perpeluhan melampau. Tubuh individu ini didapati merembeskan begitu banyak peluh tidak kiralah sama ada ia keluar menerusi tapak tangan atau ketiak. Peluh yag berlebiha ini pula menghasilkan bau yang tidak selesa.

Keadaan peluh yang melampau ini ialah sejenis penyakit yang dikenali sebagai hiperhidrosis. Namun begitu, tidak ramai yang mengetahui keadaan ini sebagai penyakit. Kebanyakannya beranggapan ia sebagai masalah biasa yang terjadi pada semua orang. Dari segi perubatan, hiperhidrosis ialah masalah peluh berlebihan yang terjadi dalam satu peratus populasi.

Ada tiga jenis hiperhidrosis, iaitu hiperhidrosis berpunca daripada emosi yang selalunya membabitkan telapak tangan, kaki serta ketiak, hiperdrosis setempat dan hiperhidrosis menyeluruh iaitu di seluruh badan. Punca hiperhidrosis ini kurang jelas dan ia dikaitkan dengan aktiviti berlebihan saraf simpatetik dalam badan dan sebahagian kecil kerana pembawaan genetik. Masalah ini pula boleh dialami baik lelaki mahu pun perempuan dan ia juga tidak mengira faktor usia.


Bagi mendapatkan rawatan hiperhidrosis ini, pesakit perlu berjumpa pakar kulit kerana ada pelbagai kaedah rawatan dari segi ubat-ubatan dan juga pembedahan.

Hiperhidrosis menyeluruh mempunyai kaitan dengan masalah penyakit kanser dan urat saraf, masalah metabolik seperti hipertiroidisma, diabetes, hipoglisemia, gout, pheochorocytoma dan juga menopaus. Penyakit-€“penyakit lain yang menyebabkan demam juga boleh menyebabkan berpeluh satu badan. Ini penting bagi mencari punca-punca hiperhidrosis yang boleh dirawat dengan betul. Malah ada beberapa ujian yang perlu dilalui.


Masalah perpeluhan berlebihan boleh menyebabkan badan berbau busuk.

Dari segi rawatan, usaha mengatasi hiperhidrosis ini juga menjadi satu cabaran bagi doktor. Selain itu, ada pelbagai ubat yang turut digunakan untuk merawat hiperhidrosis. Suntikan toksin Botulinum atau Botox misalnya, amat berkesan untuk rawatan hiperhidrosis pada telapak tangan dan di bawah ketiak.

Pada masa sama, ada juga kaedah pembedahan yang digunakan sekiranya rawatan secara perubatan gagal. Rawatan ini memerlukan prosedur yang mana saraf simpatetik dimusnahkan secara endoskopi. Pembedahan lain adalah dengan membuang kelenjar peluh dengan menggunakan laser dan pembedahan.

Oleh kerana rawatan hiperhidrosis ialah sesuatu yang mencabar dan keberkesanannya tidak seratus peratus, maka pesakit juga perlu berjumpa pakar untuk kaunseling.

Sumber: Utusan

0 comments: