04 Februari 2014

Pembangunan Kuala Lumpur Daripada Setinggan Kepada Sebuah Metropolitan


KEADAAN rumah PPR yang lebih tersusun dan selesa ditawarkan kerajaan kepada penduduk setinggan yang terpaksa berpindah.

Siapa sangka Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dipenuhi kawasan-kawasan perumahan setinggan pada era 1960-an kini menjadi sebuah ibu kota yang terkenal di seluruh dunia.

NOSTALGIK. Itulah kata yang dituturkan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam, 60, saat mengenang kembali kawasan rumah setinggan yang pernah menjadi taman permainannya di bandar raya Kuala Lumpur.

Melihat kejayaan anak jati ibu negara ini, mungkin ramai tidak menyangka bahawa beliau pada suatu ketika dahulu membesar di dalam sebuah rumah yang hanya beratapkan zink dan berdindingkan papan.

Sejak bayi sehingga usianya mencecah tiga tahun, Yusof dan keluarganya telah menetap di perkampungan setinggan Jalan Pahang dan kemudiannya di setinggan Dato Keramat.


"Namun selepas 10 tahun menetap di sana, kami sekeluarga diminta keluar dari tanah tersebut dan berpindah ke Selayang Baru kerana kawasan berkenaan terlibat dengan pembangunan," jelasnya.

Mengimbau kembali kehidupan kanak-kanaknya, Yusof memberitahu, pengalaman membesar di dalam rumah setinggan telah membentuk keperibadiannya menjadi seorang pejuang.

"Ketika diminta berpindah, kami sekeluarga akur memandangkan ia bukan tanah kami. Tetapi, meninggalkan rumah tersebut bukanlah suatu yang mudah," katanya.

Tambah Yusof, kehidupan di kawasan setinggan memberikan kesan yang besar dalam hidupnya.

"Ia mengajar saya untuk terus berusaha dan memperbaiki taraf kehidupan demi masa depan," jelas beliau.

Pengarah Urusan di Skop Production Sdn. Bhd. ini turut menceritakan antara cabaran tinggal di rumah setinggan adalah ketiadaan bekalan air dan elektrik. Beliau yang ketika itu masih seronok bermain di tepi sungai hanya menggunakan air perigi untuk memenuhi keperluan seharian dan menerangi gelap malam menggunakan lilin dan lampu gas.

Ujarnya lagi, dia hanya dapat menikmati kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik setelah berusia 18 tahun, iaitu selepas lima tahun menetap di kediaman sendiri di Selayang Baru.


RUMAH setinggan tidak mempunyai sistem utiliti yang lengkap, selain jarak antara unit yang rapat.

Demi kemajuan

Selain merasai kesejukan air yang mencengkam sehingga ke tulang dan menyedut asap gas, beliau turut berjalan sejauh 3.2 kilometer setiap hari untuk ke sekolah kerana jalan raya pada masa itu masih belum dibuat kerajaan.

Yusof berkata, membesar di rumah setinggan tidak boleh dianggap sebagai satu halangan untuk menggapai cita-cita.

"Kini keadaan telah berubah, pelbagai kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan kepada bekas-bekas penduduk setinggan seperti rumah kos rendah dan perumahan rakyat," jelasnya.

Menceritakan keadaan bandar raya Kuala Lumpur pada era 1960-an, Yusuf berkata, ketika itu, Kuala Lumpur hanya mempunyai beberapa buah bangunan dan masih diteduhi pokok-pokok yang rendang.

"Justeru, kami tidak pernah berdemonstrasi walaupun kediaman kami terpaksa dirobohkan kerana menginginkan kemajuan di negara ini," katanya yang kini menetap di Taman Melawati.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pusat bandar raya Kuala Lumpur mula berkembang pesat selepas pelancaran kempen Setinggan Sifar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2008 dalam dasar Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang berdasarkan Peraturan-Peraturan Perlu (Pembersihan Setinggan-Setinggan 1969).

Rancangan tersebut mula dilaksanakan pada awal 1999 dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan bagi tujuan pembangunan Program Perumahan Rakyat (PPR), pembinaan infrastruktur dan sektor peruncitan.

"Pusat beli-belah dan bangunan korporat yang dilihat sebagai penjana ekonomi negara kebanyakan didirikan di atas tapak rumah setinggan.

"Antara pembangunan yang boleh dibanggakan ialah pusat beli-belah Mid Valley yang terletak di Lingkaran Syed Putra, Bandar Eco Kuala Lumpur di Kampung Abdullah Hukum; Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang dan projek pembangunan bercampur di Jalan Peel, Cheras," jelasnya.

Pengurangan setinggan

Mohd. Amin berkata, statistik bancian rumah setinggan yang dilakukan Universiti Sains Malaysia (USM) dari tahun 1998 hingga 1999 mendapati terdapat kira-kira 28,541 buah keluarga menetap di rumah setinggan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) ketika itu.

"Bagaimanapun, menerusi bancian sehingga Oktober 2013, pihak DBKL berjaya memindahkan sejumlah 25,275 buah keluarga ke PPR.

"Jumlah baki rumah setinggan yang tinggal di tanah kerajaan hanyalah 3,217 buah. Penurunan angka ini dilihat sebagai satu kejayaan dalam memenuhi keperluan pembangunan sehingga tahun 2020," katanya.


KAWASAN Kampung Abdullah Hukum kini giat dibangunkan sebagai Bandar Eco Kuala Lumpur. 

Tambah beliau, pembangunan semula kawasan usang itu bertujuan mencapai sasaran pertambahan jumlah penduduk dan pekerjaan di pusat bandar.

Sehingga kini, pihak DBKL telah membina sebanyak 32,762 unit kediaman PPR yang meliputi 26 kawasan di seluruh WPKL.

Perancangan tersebut membantu menyediakan ruang lebihan untuk pembangunan lain, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga kota.

Cabaran

Namun, pelaksanaan pembangunan ibu kota bukan suatu yang mudah.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan DBKL, Ab. Salim Mansor menjelaskan, ini kerana segelintir penduduk rumah setinggan berdegil dan terus mendiami tanah kerajaan itu.

"Mereka memberi alasan kawasan pemindahan terlalu jauh dari tempat kerja. Segelintir pula menuntut tanah diduduki mereka dikekalkan sebagai kampung tradisi dan mencadangkan pembinaan rumah kos rendah di situ.

"Selain itu, mereka turut menyatakan pampasan yang diberikan kerajaan tidak setimpal," katanya yang kini berkhidmat di DBKL selama lebih 30 tahun.

Melihat secara mikro, Ab. Salim turut tidak menafikan keengganan untuk berpindah turut dipengaruhi oleh unsur politik yang melibatkan perubahan jumlah pengundi di satu-satu kawasan.

Antara kawasan rumah setinggan yang masih didiami penduduknya termasuk Kampung Tanah Lapang, Kampung Chubadak Tambahan, Kampung Pandan; Kampung Railway di Sentul dan Kampung Wira Jaya.

Beliau memberitahu, kawasan rumah setinggan tersebut kebanyakannya terlibat dengan cadangan pembinaan rumah kos rendah, rumah kos sederhana dan PPR.

Bagi seorang kakitangan swasta, Najidah Syamila Jasmi, 24, dia melihat pembangunan pesat di Kuala Lumpur pada hari ini sebagai keperluan dalam kelangsungan produktiviti negara.

"Saya kini bekerja di sebuah syarikat swasta berhampiran Mid Valley. Tanpa pembangunan berterusan, tidak wujud peluang pekerjaan dan kediaman kepada warga kota," jelasnya.

Sumber: Kosmo

0 comments: