05 Februari 2014

STING Perangi Jenayah Dadah Di Darat Dan Laut


Sebahagian anggota Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik Polis Diraja Malaysia (STING) bergambar pada majlis pelancarannya, pada 30 Januari 2014

PENUBUHAN Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 30 Januari 2014 memberi isyarat jelas tentang fokus Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah di negara ini.

Ia adalah keputusan tepat dengan sasaran membersihkan Malaysia daripada penyalahgunaan bahan terlarang itu menjelang 2015 selaras dengan apa yang dicapai pada mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN pada 1998.

Malah kejayaan PDRM menangkap 33 taikun dadah termasuk sindiket dari luar negara sepanjang 2013 bolehlah dijadikan sebagai kayu pengukur ke arah matlamat itu.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, antara taikun yang ditangkap ialah warga asing berpangkat tinggi dengan gaji bulanan melebihi RM20,000 sebulan.

Suspek menjalankan perniagaan sah bernilai jutaan ringgit di Malaysia bagi mengaburi mata pihak berkuasa terhadap pergerakan sindiket mereka.

“Dengan kekuatan aset, kewangan dan rangkaian yang meluas dimiliki sindiket tersebut, PDRM memerlukan satu pasukan yang bukan sahaja cekap dalam menjalankan risikan tetapi mempunyai kelengkapan canggih bagi menyaingi keupayaan lawan mereka," ujar Noor Rashid.

Justeru, STING adalah jawapan tepat untuk menjalankan misi memburu sindiket- sindiket ini di seluruh negara dengan sokongan pasukan sedia ada daripada JSJN.

STING yang menjadikan Bukit Aman sebagai pusat operasi utama dianggotai seramai 200 orang terdiri daripada 61 pegawai kanan, 138 anggota berpangkat rendah dan seorang penjawat awam.


Aksi hebat anggota STING pada majlis pelancaran pasukan khas itu di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak di Kuala Lumpur.

Kesemua ahli pasukan terdiri daripada individu terpilih dalam PDRM yang telah terbukti mampu menjalankan tugas secara komited, berintegriti, amanah dan sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi mencapai kejayaan dalam setiap misi.

Selain menjalani latihan dalam negara, STING turut dihantar ke negara luar untuk meningkatkan kepakaran mereka antaranya di Indonesia, Brunei, Thailand, China, Hong Kong, Taiwan, Iran dan Nigeria.

“Lawan yang dihadapi ini sangat kuat maka kami juga memerlukan satu pasukan yang bagus dan tidak akan terpengaruh dengan sogokan atau apa sahaja tawaran yang diberikan oleh pengedar dadah untuk ‘menghalalkan’ kerja mereka.

“Latihan yang diberikan adalah untuk membentuk mereka bukan sahaja bagi operasi di darat tetapi kami memastikan setiap anggota STING mempunyai keupayaan survival di laut kerana ia kini menjadi lokasi kegemaran pengedar dadah untuk menjalankan aktiviti mereka.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan anggota STING mampu memburu sasaran mereka waima terpaksa menggunakan bot nelayan untuk mematahkan operasi yang dijalankan oleh bot-bot besar di lautan," katanya.

Bagi melengkapkan kekuatan pasukan itu, PDRM memohon peruntukan lebih RM10 juta daripada kerajaan untuk menyediakan kelengkapan. Dianggarkan setiap anggota STING akan memakai kelengkapan bernilai RM20,000 termasuk pakaian seragam dan senjata canggih setiap kali menjalankan operasi.

Daripada peruntukan tersebut, RM5 juta dibelanjakan untuk membeli kenderaan- kenderaan mewah seperti kereta BMW, Porsche dan pacuan empat roda berkuasa tinggi bagi menyaingi keupayaan yang dimiliki setiap sindiket.

Selain itu, RM4 juta lagi akan digunakan untuk menaik taraf kelengkapan dalam JSJN termasuk membeli aset-aset canggih setaraf dengan apa yang dimiliki oleh pihak berkuasa di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Perancis manakala RM1 juta lagi digunakan untuk membeli peralatan komunikasi yang lebih baik.

“Kita perlu akui ahli-ahli sindiket ini hidup dengan kemewahan dan turut menjalankan operasi di tempat-tempat eksklusif seperti hotel terkemuka jadi STING perlu setaraf dengan mereka.

“Bagi pembelian kenderaan berkuasa tinggi itu, ia dilihat wajar kerana raja dadah melarikan diri daripada polis menggunakan kereta mewah dan laju seperti Mercedes-Benz jadi mana mungkin kita mampu mengejar mereka dengan membawa kereta Proton Waja sahaja," kata Noor Rashid.

Mengulas trend semasa pengedaran dadah yang berlaku di Malaysia, katanya, kawasan segitiga emas membabitkan Thailand, Laos dan Myanmar masih menjadi sumber utama kemasukan dadah itu namun pada masa sama ancaman besar pihaknya turut dihadapi dari negara lain seperti India, Pakistan, Afghanistan, Iran dan Nigeria.

Kemampuan sindiket dari luar negara itu beroperasi di Malaysia adalah disebabkan sokongan oleh pengedar tempatan sendiri justeru STING akan memberi fokus melumpuhkan operasi pengedar tempatan yang diyakini mampu menyekat kemasukan dadah dari luar negara.

“Sindiket dadah ini menggunakan pelbagai taktik untuk menghantar dadah kepada rangkaian mereka termasuk mengupah keldai dadah melalui pengangkutan udara namun mereka tidak turun di pintu masuk antarabangsa sebaliknya menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit ke laluan domestik seperti Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang," ujarnya.

Bagaimanapun taktik tersebut berjaya dipatahkan yang terbukti dengan kejayaan PDRM merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM411 juta sepanjang tahun lalu, sekali gus mencatat sejarah sebagai yang tertinggi membabitkan nilai rampasan bahan larangan itu.

Nilai tersebut merupakan rampasan seberat 11.32 tan dadah pelbagai jenis, 42,718 liter dadah jenis cecair, 1.12 juta biji dadah jenis pil serta enam pokok ganja.

Jumlah berat rampasan dadah pelbagai jenis pula meningkat sebanyak 45 peratus berbanding 2012 iaitu seberat 7.38 tan manakala dalam tempoh sama polis telah menyita harta pengedar dadah bernilai RM94.96 juta.

Berdasarkan kejayaan yang dikecapi pasukan sedia ada dalam JSJN sepanjang 2013, penubuhan STING jelas sekali mampu memperkuatkan lagi PDRM.

Harapan rakyat agar sayap baru polis ini mampu memikul amanah berat memerangi kegiatan pengedaran najis dadah yang menjadi musuh nombor satu negara dan telah banyak memusnahkan hidup rakyat Malaysia.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
Sumber: Utusan

0 comments: