27 Februari 2014

Pembenihan Awan Di Musim Kering


KAPAL terbang ini sedang melakukan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan.

KRISIS air yang melanda beberapa negeri ketika ini menjejaskan kehidupan harian orang ramai termasuk merencatkan pembangunan negara. Ia lanjutan cuaca panas dan kering berikutan kadar hujan di kawasan terbabit amat sedikit terutamanya di utara Semenanjung Malaysia sejak awal Januari 2014.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi menyatakan fenomena itu akan berterusan sehingga penghujung bulan ini memandangkan kutipan hujan mula bertambah sekitar awal dan pertengahan Mac 2014.

Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, catatan tertinggi direkodkan ialah 36 darjah Celsius di negeri-negeri seperti Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.


“Walaupun wujud kelompok-kelompok awan di beberapa kawasan tetapi jumlahnya tidak banyak,” ujarnya.

Cuaca panas menyebabkan empangan di negeri-negeri terlibat menghadapi pengurangan drastik. Mengikut catatan Empangan Sungai Selangor minggu ketiga Februari, 2014, baki air hanya 58 peratus manakala Empangan Klang Gate cuma 57 peratus.

Pembenihan Awan

Sehubungan itu, bagi mengatasi kekurangan air kepada penduduk setempat, cadangan melakukan pembenihan awan dilihat sebagai langkah terakhir bagi mengembalikan jumlah takungan air.

Pembenihan awan dilakukan di kawasan takungan air memandangkan ia menjadi sumber utama orang awam mendapatkan air bersih.

Teknik itu dilakukan untuk meningkatkan penghasilan awan pada satu kawasan tertentu. Awan yang terkumpul akan menurunkan hujan pada kawasan yang diinginkan.

“Selain itu, kawasan tersebut juga perlu ada awan kerana jika tiada awan berdekatan, proses pembenihan tidak dapat dilakukan,” ujar Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail.

Beliau menambah, awan yang bersesuaian juga memainkan peranan penting dalam proses tersebut. Kebiasaannya, awan yang digunakan daripada jenis Towering Cumulus (kumulus menjulang).


Pembenihan awan di China semakin giat dijalankan bagi membantu negara itu yang berdepan pencemaran udara.

Bagi membolehkan ia dilakukan dengan berkesan, ketidakstabilan angin memainkan peranan penting agar berlaku pembentukan awan yang sesuai untuk proses pembenihan.

“Angin tidak boleh terlalu kuat kerana ia boleh menyebabkan pembentukan awan tidak berada pada kawasan yang dimahukan,” jelasnya.

Jenis pembenihan awan

Terdapat dua jenis pembenihan awan yang biasa dilakukan di Malaysia iaitu Dry Seeding (pembenihan kering) dan Wet Seeding (pembenihan basah).

Melalui Dry Seeding, juruterbang akan membakar katrij yang mengandungi bahan garam berbentuk solid ke awan. Ia akan menyebarkan garam ke kawasan sekitar bagi membentuk awan.

Teknik Wet Seeding menggunakan larutan garam dan air yang dimasukkan dalam satu tangki. Apabila sampai ke kawasan pembenihan, larutan tersebut akan disebarkan oleh juruterbang.

“Nukleus-nukleus garam tersebut akan menarik wap air bagi menghasilkan awan,” kata Che Gayah.

Beliau menjelaskan, bahan kimia yang terdapat dalam sebatian garam tidak menjejaskan kesihatan orang awam kerana ia digunakan dalam kuantiti yang sedikit.

“Malah, bahan kimia yang dipanggil silver iodide itu juga digunakan dalam kebanyakan perubatan komersial. Maka, ia tidak menjejaskan keselamatan individu,” terang Che Gayah.

Syarat Pembenihan Awan

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) akan meneruskan proses pembenihan awan jika jangkaan hujan adalah pada tahap 80 peratus hasil semburan itu.

Selain dari itu, faktor yang mempengaruhi kejayaan pembenihan awan adalah keadaan atmosfera berkeadaan tidak stabil, wujud peningkatan jumlah awan Towering Cumulus di udara dan keadaan (udara) yang lembap (mengandungi banyak wap air.

Di Malaysia, persiapan untuk setiap operasi pembenihan awan membabitkan empat tangki menyimpan air garam berkapasiti 1,000 liter air mengandungi campuran 150 kg garam. Tangki ini ditempatkan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan operasi ini menggunakan sebuah pesawat Hercules C-130 TUDM untuk mengangkut air berkenaan.

Setiap operasi pembenihan awan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam dengan kos sekitar RM80,000. Pesawat Hercules C-130 yang digunakan dalam operasi terbabit, terbang sehingga ketinggian 7,000 kaki dari aras laut, sebelum proses pembenihan dilakukan.

Sebelum berlepas, pihak Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi (JMM) mengenal pasti kawasan yang mempunyai banyak awan Towering Cumulus dengan udara lembap.

Jika proses pembenihan awan berjalan lancar di mana awan pula dalam keadaan sesuai, maka hujan akan turun dalam masa 10 hingga 15 minit selepas pembenihan awan dilakukan.

Proses pembentukan awan dirancangkan di kawasan berdekatan dengan empangan atau loji tadahan air yang menghadapi masalah simpanan air yang kritikal.


PARA petugas membuat persiapan campuran garam untuk proses pembenihan awan di Pangkalan Udara TUDM, Subang

Pembenihan Awan Di Luar Negara

Kaedah pembenihan juga dilakukan di beberapa negara yang dilanda musim kemarau. Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), ia telah digunakan sejak 10 tahun yang lalu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara tersebut semakin giat melakukan teknik penghujanan segera itu disebabkan kadar penurunan hujan yang sedikit.

Tahun lalu, UAE telah melakukan lebih 200 misi pembenihan awan untuk membantu penduduk yang berdepan krisis air.

Di China, pembenihan awam dilakukan untuk mengatasi masalah pencemaran. Negara Tembok Besar itu membelanjakan RM494 juta pada tahun 2011 bagi program pembenihan awan.

Menurut Ketua Pentadbiran Meteorologi China (CMA), proses itu akan digiatkan melalui “program pengubahsuaian cuaca”. Ia akan menggunakan lebih 280 bilion tan bagi membantu sektor pertanian dan pengindustrian di negara itu.

Oleh HAFIZ AHMAD
Sumber: Kosmo,
Sumber Artikel Lain: BHarianUtusan [27/2/2014], Utusan [4/3/2014]

0 comments: