08 Februari 2014

Premium Insuran Kenderaan Naik Mulai 15 Februari 2014



Pelarasan tarif insurans diluluskan

Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluluskan pelarasan kadar baharu tarif insurans kenderaan untuk tahun 2014, dengan anggaran peningkatan sekitar RM2 hingga RM23. Tarif baharu itu akan berkuat kuasa pada 15 Februari 2014, ke atas setiap kenderaan baharu yang dibeli atau insurans yang diperbaharui semula.

Kelulusan itu antara lain membabitkan pelarasan tarif asas bagi perlindungan komprehensif dan perlindungan pihak ketiga untuk kenderaan persendirian dan motosikal. Pelarasan itu merupakan kali ketiga sejak 2012, selepas BNM membenarkan peningkatan premium setiap tahun antara 2012 hingga 2015.

BNM telah pun menghantar notis pelarasan itu kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM). Di dalam notis tersebut, PIAM perlu memastikan ahli-ahlinya yang terdiri daripada lebih 30 pemain industri insurans mengikut kadar premium terbaharu itu bagi memastikan pengguna tidak keliru dengan pelarasan tersebut.


Pada 2011, BNM telah meluluskan pelarasan kadar premium insurans itu sebagai sebahagian daripada Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu.

Menurut bank pusat itu, pelarasan tersebut merupakan kali pertama sejak 30 tahun lalu dan membabitkan jumlah yang kecil serta dilakukan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun bermula 2012.

Sumber: Utusan

Selaras Premium Kenderaan Motor

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mengesahkan pelarasan premium kenderaan motor baharu akan dilaksanakan bermula 15 Februari 2014.

PIAM dalam kenyataan berkata, pelarasan itu bertujuan meningkatkan kecekapan dalam penyediaan perlindungan motor oleh industri dan pelarasan harga secara berperingkat yang akan memastikan orang ramai mampu membeli insurans pada kadar premium berpatutan.

Kata PIAM, pelarasan itu dibuat menerusi Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu yang diperkenalkan pada 2012 dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012. Pelarasan itu bertujuan tingkatkan kecekapan dalam penyediaan perlindungan motor oleh industri.

“Bagi perlindungan pihak ketiga motosikal 110cc, kenaikan premium dikenakan antara RM1 hingga RM3.50 (maksimum 30 sen sebulan) dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Kereta persendirian berkapasiti 1,400 cc, pelarasan premium dikenakan antara RM6 hingga RM34 setiap tahun (maksimum RM2.80 sebulan) bagi tempoh sama,” katanya.

Selain itu, PIAM memaklumkan bagi pengangkutan bas ekspres, pelarasan premium dikenakan paling kecil iaitu kurang daripada 10 sen bagi setiap penumpang dan setiap perjalanan, berbanding tiada sebarang pelarasan dikenakan sebelum ini bagi kenderaan komersial seperti teksi dan teksi sewa.

Bagaimanapun katanya, bagi bas sekolah, kilang, henti-henti, pelancongan dan kereta sewa, pelarasan premium belum dilakukan sepenuhnya.

Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu adalah langkah positif untuk menggalakkan sektor insurans meningkatkan proses penyelesaian insurans kenderaan bermotor di negara ini.

Perkenal pusat panggilan

Bagi meningkatkan proses penyelesaian tuntutan itu, pelbagai langkah digunakan penanggung insurans dan satu daripadanya ialah memperkenalkan Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan yang menyediakan bantuan kecemasan kepada pemegang polisi menerusi talian 24 jam 1300-22-11-88, selain menyediakan perkhidmatan menunda.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataannya sebelum ini, turut mengumumkan kenaikan berperingkat yang dikeluarkan pada 11 Mac 2011 dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2012, masih boleh diakses dalam laman web bank pusat itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penyebarannya dalam laman sosial hingga mencetus kebimbangan orang ramai bahawa premium insurans kenderaan bermotor akan dinaikkan sebanyak 15 peratus lagi mulai 15 Februari 2014.

Sumber: BHarian

Naik premium insurans kenderaan berperingkat

Syarikat insurans di Malaysia dibenar menaikkan kadar premium kenderaan bermotor secara berperingkat hingga 2016 sejajar dengan Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM), berkuatkuasa 2012.

Jurucakap BNM berkata, pengumuman berhubung kenaikan berperingkat itu dikeluarkan pada 11 Mac 2011 untuk berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 dan masih boleh diakses dalam laman web bank pusat itu.

Beliau mengulas mengenai penyebaran dalam laman sosial hingga mencetus kebimbangan orang ramai bahawa premium insurans kenderaan bermotor akan dinaikkan lagi sebanyak 15 peratus mulai 15 Februari 2014. Ia adalah kenaikan kali ketiga premium insurans bermotor sejak awal 2012.

Kenyataan mengenai rangka kerja baru itu menyebut, ia dirumus bertujuan menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi menangani isu kadar premium tinggi dan kesukaran orang ramai mendapatkan perlindungan motor.

Strategi dua hala itu digunakan untuk meningkatkan kecekapan dalam penyediaan perlindungan motor dengan pelarasan terhadap kadar premium secara beransur-ansur bagi memastikan orang ramai dapat membeli insurans pada harga berpatutan.

“Sebelum rangka kerja itu diperkenalkan, tarif motor tidak pernah dikaji semula sejak 30 tahun lalu walaupun bilangan pemilik kenderaan, kadar kemalangan dan tuntutan insurans meningkat dengan nyata,” kata kenyataan itu.

Sumber: BHarian

0 comments: