07 Februari 2014

Gambaran Sifat Penghuni Syurga dan Neraka


Gambar hiasan

Daripada Abu Said al-Khudriy ra daripada Nabi SAW sabdanya bermaksud: "Telah bertengkar syurga dan neraka, maka berkatalah neraka, 'Untukku orang-orang yang kejam dan sombong (yang tidak mempunyai belas kasihan)'. Kemudian berkata pula syurga, 'Untukku golongan orang-orang yang lemah dan miskin'. Maka Allah memberi kata putus di antara kedua-duanya. 'Sesungguhnya engkau syurga tempat rahmat-Ku, aku memberi rahmat denganmu kepada sesiapa yang aku kehendaki, dan sesungguhnya engkau neraka tempat seksaan aku menyeksa denganmu sesiapa yang aku kehendaki dan adalah menjadi tanggungjawab untuk memenuhkan kamu berdua (syurga dan neraka)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menegaskan hanya Allah SWT menentukan siapakah di antara manusia yang bakal masuk syurga atau neraka.


Tempat terakhir pembalasan

Syurga dan neraka disediakan oleh Allah SWT sebagai tempat yang terakhir untuk pembalasan kepada makhluk mengikut amalan masing-masing.

Apa yang pasti, hanya rahmat Allah SWT saja manusia akan dimasukkan ke dalam syurga walaupun melakukan kebajikan sebesar zarah. Begitu juga setiap perbuatan yang mungkar itu akan mendapat balasan setimpal.

Bagaimana mengenal pasti ahli syurga dan ahli neraka. Perkara itu turut dijelaskan Rasulullah SAW.

“Daripada Harithah bin Wahab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidakkah aku akan memberitahu kamu mengenai ahli-ahli syurga? Iaitu orang yang lemah dan dipandang hina (oleh manusia), kalau dia bersumpah kepada Allah nescaya Allah memenuhi sumpahnya, tidakkah aku akan memberitahu kamu mengenai ahli neraka? Iaitu setiap orang yang kasar perangai atau bersikap kasar, angkuh dan sombong.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Gambaran sifat di antara ahli syurga dan ahli neraka dapat dikenali ketika di dunia lagi.

Umat Islam dilarang bersifat kasar, angkuh dan sombong kerana ia antara sifat yang dicela (mazmumah). Oleh itu bertakwalah kepada Allah dan beribadahlah sebanyak-banyaknya mengikut kemampuan seseorang.

Keistimewaan orang yang mempunyai sifat ahli syurga adalah diakui Allah kebenarannya. Apa yang penting, kita dituntut bersikap tawaduk dan rendah diri sesama Islam.

Sumber: BHarian

0 comments: