20 Mac 2014

Keputusan STPM Dan SPM 2013 Diumumkan



Keputusan SPM 2013

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 akan diumumkan pada Khamis 20 Mac 2014. Semua calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing bermula pukul 10 pagi.

Calon persendirian pula akan dimaklumkan keputusan mereka melalui pos atau dengan menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar.

Calon SPM juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan melalui mySMS dengan menaip SPM diikuti nombor kad pengenalan dan nombor angka giliran dengan setiap nombor itu dijarakkan dan dihantar ke 15888. Perkhidmatan mySMS ini akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi Khamis 20 Mac, 2014 dan ditamatkan pukul 11.59 malam, 26 Mac 2014.


Pengumuman analisis keputusan pula diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian Pendidikan, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya pada pukul 9 pagi hari Khamis, 20 Mac, 2014.

Seramai 470,395 calon mendaftar menduduki SPM di 3,616 pusat peperiksaan di seluruh negara pada tahun 2013.

Sumber: Utusan

SPM 2013: 13,970 Capai Semua A

Seramai 13,970 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 mendapat keputusan semua A dalam keputusan yang diumumkan pada Khamis, 20 Mac, 2014. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 250 calon berbanding keputusan tahun sebelum 2012 iaitu 13,720 calon.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata daripada jumlah itu, seramai 11,892 (2.90 peratus) calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan 2,078 (6.27 peratus) calon bukan KPM.

"Jumlah itu juga termasuk 405 (0.09 peratus) iaitu 366 calon sekolah KPM dan 39 (0.12 peratus) calon bukan KPM berjaya memperoleh semua gred A+ (cemerlang tertinggi).

"Seramai 479,395 calon mendaftar menduduki SPM tahun 2013 berbanding 472,541 pada 2012 dengan penurunan sebanyak 0.45 peratus," katanya.

Dr Khair berkata, pencapaian keseluruhan calon SPM 2013 bertambah baik dengan nilai Gred Purata Nasional (GPN) 4.93 berbanding 5.08 tahun 2012.

Sumber: BHarian, Utusan

Calon SPM Layak Dapat Sijil

Khair berkata, dalam SPM 2013, mata pelajaran Sejarah dijadikan sebagai wajib lulus sebagaimana Bahasa Melayu bagi melayakkan calon mendapat sijil.

Berikutan itu, sejumlah 378,490 calon layak mendapat sijil berbanding 402,859 pada tahun sebelumnya dengan penurunan sebanyak 24,369 calon.

Walau bagaimanapun, katanya, penurunan jumlah calon layak mendapat sijil bukan hanya disebabkan mata pelajaran Sejarah sebaliknya berdasarkan keseluruhan prestasi semua mata pelajaran mengikut nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

"Berdasarkan GPMP, prestasi 61 mata pelajaran meningkat manakala 46 mata pelajaran menurun dan hanya satu subjek kekal prestasinya berbanding 2012.

"Walau bagaimanapun kesemua subjek teras meningkat kecuali Matematik yang menurun dengan 4.99 mata berbanding 4.91 mata tahun lalu," katanya.

Sumber: Utusan

Keputusan STPM 2013

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 dikeluarkan pada hari rabu, 19 Mac, 2014. Calon STPM boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing pada tarikh berkenaan mulai jam 12 tengah hari.

Calon STPM juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas dengan menaip STPM RESULT dan menghantar ke 15888 atau secara dalam talian dengan melayari www.mpm.edu.my mulai jam 12 tengah hari, Rabu, 19 Mac, 2014..

Sumber: BHarian

STPM: 497 dapat semua A

Bilangan pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 meningkat kepada 497 calon berbanding tahun 2012 iaitu 450.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, pada dasarnya keputusan peperiksaan STPM 2013 tidak boleh dibandingkan secara khusus dengan keputusan peperiksaan tahun lalu.

Jelasnya, ini berikutan format yang digunakan berbeza, namun secara umumnya prestasi calon STPM 2013 lebih baik berbanding prestasi calon tahun 2012.

Sumber: Utusan

PNGK STPM 2013 2.55

Purata Nilai Gred Keseluruhan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 meningkat kepada 2.55 daripada 2.24 pada tahun 2012.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, pada tahun 2013, sebanyak 492 iaitu 0.89 peratus calon mendapat PNGK 4.00 (four flat) berbanding 442 (0.8) pada 2012 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 50 calon.

Daripada jumlah itu, 273 pelajar adalah calon aliran sastera dan 219 lagi mengambil jurusan sains. Sebanyak 284 pelajar merupakan calon perempuan manakala 208 pula lelaki.

Seramai 53,422 atau 96.75 peratus calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan STPM 2013 berbanding 47,910 calon (92.67 peratus) pada tahun 2012.

Daripada jumlah itu, 1,898 calon lulus penuh lima mata pelajaran, 32,763 lulus empat mata pelajaran, 9,717 (tiga mata pelajaran), 5,234 (dua mata pelajaran) dan 3,810 lagi satu mata pelajaran.

Jumlah calon yang lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga mencatat peningkatan ketara seramai 10,155 calon, iaitu daripada 24,506 pada 2012 kepada 34,661 tahun 2013.

Seramai 55,214 calon kohort pertama STPM berasaskan sistem pentaksiran baharu iaitu secara modular tahun 2013 menduduki peperiksaan bertulis pada tiga penggal serta kerja kursus sepanjang satu tahun setengah tempoh pengajian.

Pelajar yang menduduki STPM 2013 merupakan calon kohort pertama bagi sistem pentaksiran baharu yang dilaksanakan MPM setelah mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 4 Januari 2012.

Seramai 58,402 calon mendaftar untuk menduduki STPM 2013 berbanding 54,645 pada 2012.

Prestasi calon berdasarkan mata pelajaran juga membanggakan apabila 22 daripada 23 mata pelajaran ditawarkan mencatat keputusan lebih 50 peratus lulus penuh iaitu mendapat gred C ke atas.

Sumber: Utusan, BHarian

Kolej Islam Sultan Alam Shah sekolah terbaik STPM 2013

Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang muncul sebagai sekolah cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 apabila memperoleh 3.42 Gred Purata Sekolah (GPS) sekali gus mengekalkan pencapaiannya selama enam tahun berturut-turut sejak 2008.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, pihaknya juga buat pertama kali memberikan anugerah khas kepada sekolah tersebut dan mereka menerima ganjaran wang RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak.

Sumber: Utusan

0 comments: