20 Mac 2014

Menangani Trauma



SEBAGAI umat Islam doa menerima qada dan qadar menjadi kekuatan ketika berhadapan dengan tragedi yang meninggalkan trauma.

Sebahagian daripada kita mungkin pernah melalui pengalaman pahit yang meninggalkan kesan trauma mendalam dan sukar atau hampir mustahil dilupakan seperti terbabit dalam tragedi yang membawa kehilangan orang tersayang, difitnah, dimalukan di hadapan khalayak ramai, bahkan mungkin pernah menjadi mangsa jenayah dan pelbagai lagi.

Tragedi terkini iaitu kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370, walaupun secara lahirnya mungkin hanya melibatkan keluarga dan sahabat handai penumpang dan anak kapal tetapi tidak dinafikan ia telah memberikan impak trauma buat hampir seluruh rakyat di negara ini serta negara-negara yang terlibat.


Berikut ini dipaparkan pandangan dari sudut rundingan kaunselor bersama Presiden Persatuan Kaunselor Profesional Berdaftar Malaysia (Pakar), Mohd. Noor Idris, untuk memahami tentang senario yang amat menggugat emosi ini.

Menurut beliau, definisi trauma boleh difahami sebagai keadaan tubuh yang lemah akibat luka atau disebabkan oleh sesuatu tragedi atau kemalangan, namun situasi ini lebih dikenali secara psikologi yang mana sesuatu peristiwa atau tragedi yang dialami oleh seseorang memberikan kesan secara nyata kepada emosi (renjatan emosi).

Walaupun tidak menunjukkan tanda secara lahiriah akan tetapi gangguan emosi ini boleh menjejaskan perilaku normal kebiasaan seseorang. Reaksi emosi yang serius ini jika tidak ditangani secara berkesan di peringkat awal boleh menjejaskan prestasi dan motivasi kehidupan seseorang.

"Pada ketika itu, individu yang trauma akan berasa sangat gelisah, tidak tenteram atau mengalami gangguan emosi yang membuat mereka tidak dapat tidur nyenyak selama beberapa hari. Bagaimanapun, kebiasaannya gangguan emosi itu akan berlalu, dan kehidupan menjadi lebih normal seperti sediakala.

"Sebagai contoh kes trauma yang hilang dengan sendirinya, seperti mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan kita berasa takut dan tidak lagi berani untuk memandu sendiri dan sangat berhati-hati apabila berada di dalam kereta walaupun hanya sekadar penumpang.

"Namun, setelah beberapa minggu atau bulan kita sudah mula berani untuk memandu kembali setelah perasaan takut sudah tiada dan reaksi emosi kembali normal.

"Inilah yang dikatakan sebagai trauma sementara yang kebanyakan di antara kita pernah mengalaminya," ujarnya.

Namun, Mohd. Noor berkata, terdapat sebilangan orang yang mana tekanan emosi dan kecelaruan mental ini tidak berlalu begitu saja, bahkan berterusan malah semakin tidak terkawal hingga menjejaskan kehidupan normal seharian.

Bahkan, mereka selalu dihantui oleh perasaan mencengkam dan hidup tidak pernah tenang seolah-olah kejadian traumatik itu berterusan berlaku.

Seseorang yang berasa seperti ini mungkin menderita Gangguan Stres Pasca Trauma (Post Traumatic Stress Disorder - PTSD), suatu gangguan psikologi yang menyebabkan penderitanya sentiasa berada dalam keadaan bercelaru, tidak tenang dan tidak merasai kedamaian emosi dalam kehidupan seharian.

Gangguan Stres Pasca Trauma

Menurut Mohd. Noor, PTSD terjadi apabila seseorang bertindak balas terhadap sesuatu tragedi yang mengerikan yang telah dialami sendiri atau menyaksikan kejadian dahsyat yang dialami oleh orang lain.

Pengalaman tersebut menyebabkan seseorang berasakan takut yang sangat kuat, atau perasaan tidak berdaya menghadapinya lagi.

Namun katanya, kajian menunjukkan tidak semua orang yang mendapat pengalaman pahit yang dahsyat atau traumatik akan mengembangkan trauma yang dialaminya, bahkan hanya sekitar 20 peratus saja yang berkembang hingga menderita PTSD.

"Ringkasnya PTSD adalah reaksi maladaptif yang berlanjutan, kesan terhadap suatu pengalaman yang traumatik. Pengalaman traumatik ini merupakan pengalaman luar kebiasaan yang mencengkam perasaan, mengganggu emosi, mengerikan dan mengancam jiwa seseorang seperti kejadian peperangan, perkosaan, bencana alam, kecelakaan pesawat dan sebagainya lagi.

"Gangguan PTSD ini boleh berlaku berbulan-bulan, bahkan bertahun-tahun atau mungkin hingga beberapa dekad jika tidak dirawat dan berkemungkinan besar akan muncul kembali jika berhadapan semula dengan kejadian yang menjadi punca trauma sebelum ini," katanya

Akibat melarat

Mohd. Noor berkata, bahaya PTSD jika tidak dirawat, berpotensi menjadi penyebab utama kepada merosotnya kualiti kehidupan normal seharian seseorang.

Malah, PTSD juga boleh menjadi penyebab utama kepada kemerosotan mutu kerja, minat bersosial dan mampu menjadi pencetus kepada permasalahan kekeluargaan.

"Lebih buruk apabila penderita PTSD juga tidak terlepas daripada mengalami risiko kepada permasalahan mental yang lain seperti kemurungan terlampau, halusinasi dan juga mungkin boleh merebak kepada permasalahan skizofrenia.

"Selain itu, kesan PTSD juga boleh menggangu tingkahlaku sihat kepada tingkah laku yang tidak sihat seperti penyalahgunaan ubat-ubatan, penyalahgunaan alkohol (mungkin bagi bukan Islam), gangguan makan dan diet diri dan pelbagai lagi tingkah laku maladaptif.

"Malah, jika berlaku kepada kanak-kanak atau remaja yang masih bersekolah sudah tentu akan memberi kesan yang nyata kepada prestasi akademik dan pergaulan seharian mereka. Selain itu, PTSD juga member kesan secara tidak langsung kepada risiko terkena penyakit medikal seperti penyakit kardiovaskular, penyakit autoimun seperti reumatoid artritis dan penyakit tiroid, serta penyakit-penyakit musculoskeletal yang lain.

"Ringkasnya PTSD sememangnya memberi kesan negatif kepada kesihatan mental, emosi dan fizikal seseorang jika tidak dirawat," tegasnya.

Oleh:- NOOR FAZRINA KAMAL
Sumber: Utusan

0 comments: