22 Mac 2014

Simulator Penerbangan Zaharie Adalah Permainan Umum


KAPTEN Zaharie Ahmad Shah bergambar bersama simulator penerbangan di rumahnya di Laman Seri, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Simulator penerbangan yang dimiliki juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah adalah permainan umum yang tidak asing dalam kalangan komuniti aeroangkasa. Perisian itu sememangnya mampu dilengkapkan sehingga 100 lapangan terbang di seluruh dunia.

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Omar Kassim Ariff berkata, permainan itu turut memuatkan lapangan terbang milik Amerika Syarikat (AS) di Diego Garcia dan tidak menghairankan lokasi tersebut menjadi pilihan pemain kerana menampilkan pemandangan laut yang indah.

Katanya, selain landasan kapal terbang, pemain simulator penerbangan juga bebas memilih apa jua pesawat komersial hendak digunakan, laluan penerbangan, log penerbangan dan juga senario realistik yang hendak digunakan.


"Bukan sahaja daripada kalangan juruterbang, kami golongan akademik dan pelajar-pelajar jurusan aeroangkasa juga menggunakan permainan simulasi penerbangan sebagaimana yang digunakan Kapten Zaharie dan perisian ini bebas dibeli oleh sesiapa sahaja.

"Mengenai data yang dipadamkan, berkemungkinan itu adalah versi lama permainan tersebut kerana memori terlalu banyak selepas versi-versi naik taraf permainan itu dimasukkan," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiga jenis permainan simulator penerbangan milik Kapten Zaharie yang sedang disiasat adalah Flight Simulator X, Flight Simulator 10 dan X Flight 10 yang terdapat dalam sistem berkenaan.



Sementara itu, Omar berkata, para pelajarnya turut menggunakan permainan simulasi dengan memilih pelbagai lapangan terbang utama dunia dan laluan penerbangan bagi memantapkan kemahiran navigasi dan pemahaman mengenai teknologi aeroangkasa.

"Saya boleh katakan harga keseluruhan set simulasi penerbangan itu juga tidak melebihi RM10,000 dan bergantung kepada sebanyak mana minat seseorang itu terhadap permainan simulasi penerbangan," katanya.

Mengulas mengenai usaha mencari pesawat MH370, Omar berkata, isyarat kecemasan daripada kotak hitam pesawat hanya boleh bertahan sehingga 30 hari sekiranya pesawat itu terhempas.

"Isyarat daripada kotak hitam itu hanya boleh dihantar selama 30 hari kerana terpaksa bergantung kepada kuasa bateri.

"Alat isyarat itu mengeluarkan gelombang elektromagnetik yang boleh dicerap radar dan radio sekiranya pesawat itu mengalami impak 7G (graviti) ataupun berada dalam air," katanya

Jelasnya, pencarian berpandukan isyarat itu bukan mudah kerana pengesanan di dalam dasar lautan adalah jauh berbeza berbanding di atas permukaan.

Oleh KAMIL MASLIH
Sumber: Utusan

0 comments: