24 Mac 2014
Misteri Menara Chimney Labuan
Melihat pembangunan Labuan hari ini sebagai hab gas dan minyak pasti ramai yang tidak menyangka, bahawa sejarah awal industri di wilayah ini bermula dengan perlombongan arang batu.
Di Tanjung Kubong, kira-kira 12 kilometer di utara bandar Labuan, pernah menjadi pusat simpanan arang batu yang sangat besar sehingga syarikat Inggeris datang untuk mengeksploitasi hasil bumi ini selama 65 tahun bermula 1847 sehingga 1911.
Walaupun kegiatan perlombongan itu telah lama berlalu namun kesan peninggalannya tetap terhimpun dalam Muzium Chimney yang dibina di atas tapak bekas lombong itu.
Di tapak itu turut terdapat Menara Chimney yang dibina syarikat Inggeris sekitar tahun 1880an yang tujuan serta peranan menara itu masih menjadi misteri yang belum terungkai.
MENARA CHIMNEY
Langit yang membiru mengiringi perjalanan penulis bersama rakan media yang menyertai lawatan Kementerian sumber Asli dan Alam Sekitar untuk mendekati sejarah Labuan dan Tanjung Kubong baru-baru ini.
Sebaik kenderaan berhenti di hadapan muzium, pandangan terlontar ke monumen menara setinggi 32.5 meter yang terletak di kawasan berbukit di sebelah kanan muzium.
Berbentuk segi empat, batu-bata merah yang membentuk menara itu mencuri tumpuan siapa sahaja yang datang ke sini.
Tidak hairanlah Muzium Chimney, yang turut menempatkan menara itu, menjadi lokasi wajib bagi mereka yang berkunjung ke pulau bebas cukai ini.
Dikenali sebagai "Punil" oleh masyarakat tempatan, menara Chimney menjadi mercu tanda bersejarah Labuan yang dibina menggunakan 23,000 batu-bata merah dengan reka bentuk Inggeris.
Walaupun tarikh pembinaannya belum dapat dikesan namun kajian ahli sejarah percaya ia dibina sekitar tahun 1880an.
CARIAN ARKEOLOGI
Kerja-kerja penggalian arkeologi yang dijalankan pada tahun 1997 menemukan sebanyak 12 lapisan batu-bata di bawah permukaan menara ini.
Struktur ini terletak di satu kawasan batu kapur yang mengandungi kaolin atau lempung tembikar, yang menyediakan asas kukuh di menara berkenaan.
Di dalamnya terdapat lubang serta dua pintu berbentuk melengkung atau gerbang setinggi 2.2 meter yang menghadap ke barat dan selatan.
Menariknya, sehingga kini masih belum ditemui jawapan tujuan sebenar pembinaan menara berkenaan hingga ada yang membuat pelbagai andaian.
Antara andaian itu, ia sebagai tempat pengalihan udara untuk terowong bawah tanah namun kerja-kerja ekskavasi pada 1997 tidak menemui sebarang struktur terowong di bawahnya.
Ada juga yang menganggap ia mungkin sebuah cerombong atau serombong asap seperti namanya namun ia masih boleh dipertikaikan kerana tidak dijumpai sebarang kesan pembakaran di dinding sebelah dalam.
Sebahagiannya pula menyatakan ia adalah rumah api berdasarkan kedudukannya di tanah tinggi dan pernah terdapat sebuah pelabuhan di kawasan Lubuk Temiang dekat situ suatu ketika dahulu.
Penduduk tempatan pula pernah menyebut bahawa ia sebagai sebuah menara loceng yang berfungsi memaklumkan ketibaan kapal.
MENARA CHIMNEY SEBAGAI MERCU TANDA
Namun andaian Chimney sebagai sebuah mercu tanda lebih mudah diterima kerana berdasarkan kedudukan persekitarannya yang berdekatan dengan pusat perlombongan dan pengumpulan arang batu di Tanjung Kubong.
Arang batu yang dihasilkan di lombong itu dibawa ke pelabuhan bandar Victoria di pulau itu.
Memasuki Muzium Chimney, pengunjung akan melalui satu pengalaman berbeza apabila segala maklumat mengenai kegiatan perlombongan arang batu dipamer dalam terowong kecil yang dibina khas di dalam muzium itu.
Ia bagi memudahkan pengunjung menghayati kronologi perkembangan aktiviti industri berkenaan.
Ketika zaman kegemilangan industri itu, terdapat kira-kira tujuh terowong perlombongan arang batu di sekitar Tanjung Kubong yang dibina sama ada berasingan dan berhubung antara satu sama lain.
Pembinaan laluan kereta api sejauh kira-kira 15 kilometer sekitar 1890 oleh syarikat New Central Borneo dari Tanjung Kubong hingga ke Pelabuhan Victoria juga berkait rapat dengan aktiviti perlombongan.
Ia bagi memudahkan kegiatan pengangkutan dari kawasan perlombongan ke pusat pengumpulan atau ke pelabuhan.
Tinggalan struktur kereta api itu yang ditemui hasil kerja-kerja konservasi dan ekskavasi turut dipamerkan di muzium yang dibuka secara rasmi sejak tahun 2002 itu.
Selain itu, sebanyak 612 artifak yang ditemui turut dipamerkan antaranya batu-bata asal Chimney, peralatan perlombongan arang batu, barang tinggalan para pelombong serta pecahan seramik.
WARISAN GEOLOGI DI PANTAI TANJUNG KUBONG
Setelah puas menyelami sejarah, pengunjung boleh menikmati pemandangan indah di pantai Tanjung Kubong, yang terletak kira-kira 500 meter dari Muzium Chimney.
Berjalan melalui denai dan sedikit laluan berbukit selama kira-kira 10 minit tidak terasa tatkala melihat keindahan laut yang terbentang luas dan membiru di hadapan mata.
Walaupun bukan lokasi pelancongan namun pantai Tanjung Kubong sering menjadi pilihan terutama penduduk setempat untuk melakukan aktiviti memancing.
Ketika menyusuri pantai, akan terlihat batuan yang membentuk gerbang laut, gua laut dan tebing curam di sepanjang pantai yang cukup unik menjadikan ia tapak warisan geologi yang amat bernilai dari segi saintifik, estetik dan sesuai untuk rekreasi.
Hasil perut bumi seperti arang batu yang pernah dilombong secara aktif satu ketika dahulu, kekayaan hasil minyak dan gas asli di sini sudah cukup memperlihatkan hasil geologi lampau yang wujud sejak berjuta tahun lepas.
Jadi, tidak benarlah jika ada yang beranggapan tiada apa yang menarik di pulau kecil seperti Labuan ini.
Setelah meneroka peninggalan sejarah, keindahan alam serta keunikan hasil buminya, bagaikan ada yang meruntun hati untuk kembali semula ke sini.
Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber BERNAMA, Utusan
Labels:
Misteri
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan