07 Mac 2014

Solat Sunat Istisqa’ Mohon Hujan


Peserta solat sunat Istisqa’ mesti cuci diri daripada dosa terlebih dulu

Air tidak hanya penting dalam proses kejadian langit dan bumi, tetapi juga penting bagi hidupan di dunia. Ini ditegaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup.” (Surah al-Anbiya’, ayat 30)

Mengikut BBC News bertarikh 27 Mei 2006 dalam segmen Science and Nature, pakar biologi sepakat air adalah asas kepada kehidupan kerana tanpanya kehidupan tidak boleh wujud serta tidak bersambung.

Secara dasarnya, air dan kehidupan tidak dapat dipisahkan. Air menjadi medium kepada proses berkaitan kehidupan dan hanya dengan air metabolisme boleh berlaku. Justeru, tidak boleh wujud sebarang kehidupan tanpa air.

Manusia juga berasal daripada air dan ini dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dia yang mencipta manusia daripada air.” (Surah al-Furqan, ayat 54)


Sudah tentu ayat itu perlu dikaitkan dengan ayat 5 hingga 7, surah at-Tariq yang bermaksud: “Maka manusia perlu memerhatikan daripada apakah ia diciptakan? Dia diciptakan daripada air yang terpancar, yang keluar antara sulbi dan taraib (dada).”

Kebenaran manusia tidak boleh hidup tanpa air terlihat nyata melalui reaksi terhadap tindakan mencatu air di beberapa kawasan disebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi akibat pencemaran ammonia di Sungai Langat sejak 28 Januari 2014 lalu.

Kemarau dan cuaca panas menyumbang kepada kekalutan isu bekalan air apabila paras air di beberapa empangan menunjukkan pengurangan dan ditambah pula kenyataan pihak bertanggungjawab bahawa keadaan itu dijangka akan berterusan.
Solat sunat Istisqa’

Selain usaha proses pembenihan awan bagi mengatasi masalah air yang melanda negara, umat Islam dianjurkan melakukan solat sunat Istisqa’ iaitu solat sunat memohon Allah SWT menurunkan hujan dan menghilangkan kesulitan yang dihadapi.

Namun, sebelum itu umat Islam perlu memahami di sebalik kuasa doa yang menjadi senjata umat Islam menghadapi ujian Allah SWT, mereka juga perlu menunjukkan kesungguhan serta sifat kerendahan hati yang menggantung sepenuh pengharapan kepada Allah SWT.

Justeru, antara perkara perlu diberikan perhatian ialah untuk melakukan taubat kerana antara sebab berlaku kesusahan di dunia ini adalah disebabkan tindakan manusia yang tidak menunaikan amanah Allah SWT sebagai khalifah yang menguruskan alam ini.

Pendakwah bebas, Haslin Baharim, berkata taubat perlu dilakukan semua lapisan masyarakat.

Katanya, dalam keadaan semua mengharapkan belas ihsan daripada Allah SWT, kita perlu mengikut syarat ditetapkan dan bagi memohon doa diperkenankan, umat Islam terlebih dulu menyucikan diri daripada dosa kepada Allah SWT.

“Semua perlu bertaubat. Apabila kita menunjukkan kesungguhan, barulah Allah SWT akan memakbulkan permintaan kita. Oleh itu, syarat untuk berdoa perlu dipenuhi terlebih dulu,” katanya.

Lakukan di kawasan lapang

Beliau yang terkenal menerusi program soal jawab Anta Tanya Ana Jawab berkata, solat sunat Istisqa’ perlu dilakukan di kawasan lapang dengan membawa binatang ternakan sebagai bukti masalah air turut memberi kesan kepada makhluk lain seperti binatang ternakan.

Haslin berkata, solat sunat Istisqa’ sebaiknya diterajui barisan pemimpin dan dilakukan bersama seluruh masyarakat.

Katanya, usaha itu perlu mengikut syarat ditetapkan iaitu dilakukan di kawasan lapang bukan di masjid dan mereka yang menunaikan solat Istisqa’ hendaklah hadir dengan penampilan sederhana, tawaduk serta bersungguh-sungguh memohon.

“Isu air yang berlaku ini juga sebahagian ujian Allah tetapi jika kita sabar, Allah akan mengampunkan dosa kita kerana segala ujian serta kepayahan ada hikmah di sebaliknya. Umat Islam perlu melihat setiap berlaku secara positif untuk meningkatkan keimanan kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata, selain memperbanyakkan taubat, pihak berwajib disarankan juga supaya membekukan program yang lagho (melalaikan) sebagai usaha mengelak masyarakat terbabit dalam perkara yang menjauhkan mereka daripada ajaran agama Islam yang sebenar.

Oleh Hasliza Hassan
Sumber: BHarian [2014/02/27]

Memohon hujan

MEMANDANGKAN hujan tidak turun dan kemarau terik mula berlaku sewajarnya kita melihat alternatif Islam, antaranya istighfar dan solat Istisqa’.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. (Nuh: 10-11)

Dari segi bahasa, Istisqa’ adalah perkataan Arab yang berasal daripada perkataan (ya qa sa) yang bermaksud, ‘menyiram atau memberi minum’. Oleh itu, Istisqa’ bermaksud meminta air atau hujan.

Dari segi istilah. Istisqa’ membawa maksud meminta diturunkan hujan daripada Allah SWT ketika manusia sangat memerlukannya dengan sifat yang khusus (tertentu), iaitu dengan solat, khutbah, istighfar dan bertahmid.

Ia disyariatkan apabila berlaku kemarau. Ia sunat dilakukan apabila ada sebab tersebut dan tidak sunat lagi apabila hujan turun atau mata air mengalir kerana sebab-sebabnya telah luput.

Dalil pensyariatan Istisqa’ yang bersabit dengan nas dan ijmak. Antaranya:

Pertama: Surah Nuh ayat 10 hingga 12 ini jelas menunjukkan kelebihan beristighfar sehingga diturunkan hujan yang boleh menjadi sumber kehidupan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah.

Kedua: Hadis Rasulullah SAW yang masyhur seperti riwayat Anas di mana manusia berada dalam keadaan kemarau pada zaman Rasulullah SAW dan masuk seorang lelaki dan berkata ketika baginda sedang berkhutbah: “Hai Rasulullah! Telah binasalah binatang ternakan dan kami bimbang kami juga akan binasa. Tolong doalah kepada Allah untuk diberi minum kepada kami. Lantas Rasulullah SAW segera mengangkat kedua tangannya seraya berdoa: “Ya Allah turunkanlah hujan dengan selebat-lebatnya dalam keadaan sejahtera dan selamat hingga ke hari kiamat."

Selepas itu, turunlah hujan selama seminggu. Hadis ini jelas menunjukkan pensyariatan Istisqa’.

Ketiga: Amalan para sahabat. Antaranya:

Saidina Umar pernah meminta kepada Abbas bin Abdul Mutallib memohon hujan lantaran hubungan yang begitu akrab dengan Baginda SAW sebagai bapa saudara dan juga kesolehan yang ada padanya.

Muawiyyah bin Abi Suffian pernah memohon daripada Yazid bin al-Aswad supaya berdoa meminta hujan. Lantas turunnya hujan. Ini juga dilakukan oleh ramai pemimpin umat Islam melalui tokoh-tokoh yang berwibawa di sepanjang zaman.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Sumber: Utusan

Kaedah Perlaksanaan Solat Sunat Istisqa'

Sebelum pelaksanaan solat tersebut, dianjurkan kepada pemimpin negeri yang ditimpa bencana kemarau agar memerintahkan kepada masyarakatnya untuk berpuasa selama tiga hari, bersedekah, bertaubat dan mengembalikan hak orang lain yang pernah dizalimi.

Pada hari keempat, para pemimpin negeri keluar ke tanah lapang bersama rakyat yang turut terdiri daripada orang tua dan kanak-kanak. Mereka harus mengenakan pakaian yang sederhana dan bersih serta merendahkan diri di hadapan Allah.

Selepas itu, pemimpin negeri perlu memimpin rakyatnya untuk mengerjakan solat sunat Istisqa sebanyak dua rakaat dengan tatacara yang hampir menyerupai pelaksanaan solat sunat hari raya.

Sejurus mengerjakan solat, mereka dikehendaki berkhutbah dua kali dan duduk sebentar di antara dua khutbahnya. Sebahagian besar dari material khutbah dianjurkan untuk diisi dengan bacaan istighfar memohon keampunan kepada Allah.

Dalam khutbah yang kedua, sebaiknya posisi pemimpin atau khatib membelakangi jemaah dan menghadap ke arah kiblat. Dalam keadaan itu, ia boleh mengalihkan posisi serban atau selendang yang dipakai dengan harapan mudah-mudahan dapat mengubah keadaan kemarau yang dihadapi.

Begitulah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Baginda membalikkan bahagian yang atas ke bawah, memutar yang kanan ke kiri dan sebaliknya.

Saat itu, mereka berdoa bersama dengan suara perlahan. Setelah itu, si pemimpin kembali menghadap jemaahnya, lalu mengakhiri khutbah seraya berdoa:

"Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memerintahkan kepada kami untuk berdoa ke hadrat-Mu dan Engkau menjanjikan atas kami dengan perkenan-Mu, maka kami pun berdoa kepada-Mu sebagaimana yang Engkau perintahkan kepada kami. Maka, kabulkanlah doa kami, sebagaimana yang Engkau janjikan kepada kami.

"Ya Allah, berilah kami anugerah dengan mengampuni dosa yang pernah kami lakukan dan mengkabulkan doa kami untuk menurunkan hujan kepada kami serta melapangkan rezeki kami. Dan dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Penyayang di antara para penyayang."

Sumber: Kosmo

0 comments: