06 Mac 2014
Hipersomnia ~ Gejala Terlebih Tidur
Perhatikan contoh kes yang berikut .....
Dalam kalangan rakan-rakan, Noorsham memang terkenal dengan julukan kaki tidur. Pantang ada masa senggang dia pasti akan melelapkan mata. di mana-mana pun jadi, di atas meja kerja, di surau malah ketika sedang bermesyuarat pun kadang kala dia terlelap.
Noorsham sendiri tidak pasti mengapa dia sentiasa berasa mengantuk dan matanya sukar dibuka bagai ada ketulan batu. Di rumah, keadaannya juga sama. Dia sering dileteri isterinya kerana asyik tidur dan anak-anak pula sudah puas merungut tidak dapat keluar berjalan-jalan kerana bapa mereka lebih suka tidur.
Apa yang dihadapi oleh Noorsham dikenali sebagai masalah tidur berlebihan (oversleeping) atau dalam istilah perubatan hipersomnia. Ia merujuk kepada tabiat tidur seseorang individu yang berlaku secara berlebihan dan bercanggah dengan pola waktu tidur yang normal.
Waktu tidur individu yang mengalami hipersomnia biasanya boleh mencecah lebih daripada 12 jam, sedangkan pola waktu tidur yang normal dan anjal untuk orang dewasa adalah dalam lingkungan enam hingga lapan jam sehari.
Hasil kajian yang dilakukan di peringkat antarabangsa mendapati sebanyak lima hingga 10 peratus pesakit yang berjumpa doktor disahkan mengalami masalah tersebut.
Punca hipersomnia
Menurut Pakar Psikiatri, Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Azhar Mohd. Zain, hipersomnia berlaku disebabkan oleh beberapa perkara antaranya gejala narcolepsy, breathing related sleep disorder, central sleep Apnea dan perubahan gaya hidup.
Keempat-empat gejala ini menyebabkan kualiti tidur seseorang itu terjejas. Narcolepsy adalah gangguan yang berlaku pada otak di mana seseorang individu itu dikatakan gagal mengawal rasa mengantuk dan akan tertidur sekejap pada siang hari dalam apa jua keadaan tanpa sedar.
Mereka yang mengalami narcolepsy biasanya akan tertidur selama beberapa minit secara tiba-tiba ketika sedang melakukan kerja sama ada menulis, berada dalam bilik mesyuarat atau ketika memandu kenderaan sebelum tersedar semula," katanya.
Dr. Azhar berkata, dalam kitaran tidur yang normal, setiap individu akan melalui beberapa fasa tidur yang biasa iaitu bermula dengan peringkat tidur awal, diikuti peringkat tidur yang lebih mendalam dan peringkat paling akhir selepas kira-kira 90 minit.
Peringkat paling akhir ini juga dikenali sebagai rapid eye movement (REM) dan bagi individu yang mengalami narcolepsy, tidur REM berlaku hampir serta-merta dalam kitaran tidur mereka.
Selain itu, masalah gangguan penafasan sewaktu tidur (breathing related disorder), yang biasanya dialami oleh mereka yang menghidap obesiti dan tidur berdengkur, juga dikatakan mempunyai kecenderungan mengalami hipersomnia.
Ini kerana, mereka yang mengalami gangguan penafasan sewaktu tidur akan kerap kali terjaga sehingga mengakibatkan tidur mereka tidak nyenyak di malam hari.
Breathing related sleep disorder lazimnya berlaku kepada individu yang mengalami masalah obesiti di mana leher mereka pendek dan sukar bernafas akibat tahap oksigen yang dimiliki sangat rendah sewaktu tidur.
Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah ini, mereka akan didiagnos terlebih dahulu dan akan diberikan pilihan sama ada melakukan pembedahan atau memakai topeng oksigen ketika tidur malam," katanya.
Menurut Dr. Azhar, satu lagi penyebab gejala hipersomnia dikenali sebagai central apnea disorder, yang mengakibatkan pernafasan seseorang itu terhenti seketika kerana otak tidak menghantar isyarat yang betul kepada otot yang mengawal pernafasan kita sewaktu sedang tidur.
Pesakit yang menghadapi masalah ini akan dirawat dengan menggunakan alat bantuan pernafasan atau menggunakan oksigen tambahan.
Dalam pada itu, Azhar berkata, gejala terakhir ialah perubahan gaya hidup masyarakat sekarang yang turut menyebabkan ramai dalam kalangan mereka berhadapan dengan pola tidur tidak teratur.
Katanya lagi, sebahagian besar kes hipersomnia yang pernah dirujuk kepadanya adalah melibatkan golongan remaja yang terdiri daripada pelajar kolej dan universiti.
Ramai dalam kalangan pelajar kolej dan universiti mengalami hipersomnia kerana mereka lebih banyak berjaga pada waktu malam untuk menyiapkan tugasan dan kesannya waktu tidur mereka sudah berubah. Mereka aktif pada waktu malam dan berasa letih dan mengantuk pada siang hari.
Kanak-kanak yang menghadapi ketagihan permainan video yang melampau juga berdepan dengan masalah sama hingga menyebabkan mereka tidak dapat bangun pagi untuk ke sekolah kerana kualiti tidur sudah semakin menurun," katanya.
Kesan tidur berlebihan
Kencing Manis
Terdapat beberapa kajian membuktikan bahawa individu yang tidur lebih lama daripada waktu yang sepatutnya cenderung menghidap penyakit kencing manis. Meskipun diketahui ia adalah penyakit turun-temurun tetapi, dengan mengamalkan tidur secara berlebihan risiko mendapat penyakit ini cukup tinggi.
Sakit Jantung
Sekiranya anda biasa tidur lebih dari lapan jam setiap hari maka risiko untuk menderita sakit jantung adalah tinggi. Berdasarkan beberapa penelitian yang dijalankan, jumlah tidur sembilan hingga 12 jam sehari sangat tidak digalakkan kerana ia melebihi had waktu rehat yang sepatutnya.
Mudah lupa
Waktu tidur yang lebih dari lapan hingga sembilan jam sehari boleh meninggalkan kesan negatif ke atas tubuh badan. Pola tidur berlebihan boleh melambatkan fungsi sel otak sekali gus mengakibatkan masalah ingatan. Jika tidak ditangani segera, ia mungkin lebih membahayakan hingga mengundang risiko nyanyuk.
Kenaikan berat badan
Kadar metabolisme dalam badan berjalan sangat perlahan ketika anda sedang tidur. Disebabkan itulah bagi individu yang mengamalkan tidur berlebihan berisiko tinggi untuk mengalami obesiti sehingga 21 peratus berbanding mereka yang mendapatkan tidur secara normal.
Cara mengatasi
Setiap penyakit ada penawarnya, dan menurut Dr. Azhar, gejala hipersomnia boleh diatasi dengan dua cara iaitu sama ada melalui kaedah perubatan atau mengawalnya sendiri dengan mengubah sikap dan gaya hidup.
Individu yang berhadapan dengan masalah hipersomnia dan tidur berlebihan pada waktu siang dinasihatkan mengubah gaya hidup mereka terutamanya melibatkan soal pengambilan makanan dan minuman yang berisiko menyumbang kepada masalah berkenaan.
Biasanya, pihak psikiatri akan menasihatkan pesakit yang gemar mengambil minuman berkafen seperti kopi dan teh supaya mengambil minuman berkenaan sebelum pukul 7 malam bagi memastikan mereka boleh tidur nyenyak pada waktu malam.
Perokok juga disarankan untuk tidak merokok selepas pukul 7 malam memandangkan kandungan nikotin yang terdapat di dalam rokok berkenaan boleh mengaktifkan otak dan membuatkan seseorang individu itu berasa segar dan tidak mengantuk.
Aktiviti senaman dan bersukan seperti bermain badminton, berjoging atau futsal pada lewat malam juga perlu dielakkan kerana selepas melakukan aktiviti tersebut badan kita akan menjadi aktif dan hanya akan berasa letih beberapa jam selepas itu," katanya.
Dalam masa sama, Dr. Azhar berkata, masyarakat digalakkan untuk menjadikan pengambilan susu dan buah-buahan seperti pisang pada waktu malam sebagai amalan kerana kajian yang dijalankan mendapati susu boleh menenangkan minda dan badan.
Oleh: NORAZLINA ISMAIL
Sumber: Utusan
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan