03 April 2014

Dadah Punca Kesengsaraan Fizikal dan Mental


Dua pelajar sekolah melihat jenis dadah dalam bas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang memberi maklumat mengenai bahaya dadah.

INSIDEN kematian membabitkan enam remaja ekoran dipercayai mengambil dadah sintetik secara berlebihan di konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Mac 2014 menggemparkan negara.

Selain enam remaja berkenaan, tiga individu lain juga dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat pengambilan bahan terlarang tersebut.

Jumlah mangsa yang menerima rawatan di beberapa hospital sekitar ibu negara juga dilaporkan meningkat kepada 14 orang dengan sembilan daripadanya warga Singapura manakala empat lagi masing-masing rakyat Malaysia, Taiwan, Iran dan Myanmar.

Dalam insiden yang berlaku di FMFA, siasatan polis mendapati beberapa jenis dadah disyaki dibawa masuk dari luar negara dan diagihkan ketika konsert berlangsung.


Dadah baharu itu didapati baharu saja berada dalam pasaran Malaysia dipercayai awal tahun ini dan kemungkinan masih dalam peringkat ujian oleh sindiket dadah.

Hasil siasatan dan saringan awal daripada ujian hospital, kesemua mereka positif dadah jenis ekstasi, methampetamine dan amphetamine.

Sementara itu, menurut sumber polis, tindak balas dadah baharu itu boleh membawa maut apabila dicampur dengan dadah-dadah lain seperti eramin 5, ekstasi dan ketamin.

Menurut Perunding Psikiatri Hospital Pantai Cheras, Dr. Azhar Salleh, pengambilan pil khayal seperti ekstasi, syabu dan pil kuda jelas memberi kesan buruk kepada tubuh badan manusia.

Mengambil contoh kes yang berlaku di FMFA, menurut beliau, mereka yang mengambil dadah itu dikatakan mengalami peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga boleh mengakibatkan tidak sedarkan diri di samping keluar darah menerusi hidung dan telinga.

“Kesan dadah ini di kawasan yang sesak seperti di stadium menyebabkan badan menjadi panas, kekejangan, mulut berbuih dan mangsa mati dalam keadaan mata terbeliak.

“Pun begitu, kesan pengambilan dadah baharu itu terhadap individu berbeza-beza kerana bergantung pada tahap kesihatan seseorang," ujarnya.

Tambah Dr. Azhar, ekstasi ialah sejenis dadah daripada kumpulan Amphetamine-Type Stimulant (ATS).

Secara kimianya, ekstasi dikenali sebagai 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seperti lain-lain dadah yang diharamkan, tiada kawalan kepada faktor seperti keberkesanan dan kebersihan semasa proses pembuatannya yang dijalankan secara haram.

Dadah begini mempunyai jumlah MDMA yang berbeza. Oleh itu, pil ini boleh meningkatkan risiko untuk mengambil dos yang berlebihan, mengalami keracunan atau mengalami kesan sampingan selepas mengambilnya.

Dr. Azhar memberitahu, ekstasi sangat berbahaya kepada kesihatan kerana pil khayal ini mempunyai banyak kesan buruk kepada kesihatan.

Selain ekstasi, pil khayal yang popular di Malaysia ialah Amphetamine Type Stimulant (ATS) atau syabu dan pil kuda.

Ketagihan

“Dadah ini boleh menyebabkan ketagihan secara psikologi. Penagihnya akan bergantung kepada dadah ini secara psikologi. Mengambil dadah ini menjadi lebih utama daripada segala aktiviti lain dalam kehidupan penagihnya. Ini akan menjadi semakin sukar untuk penagih berhenti atau mengurangkan penggunaan ekstasi, syabu ataupun pil kuda.

“Dadah ini juga boleh menyebabkan masalah psikiatri kelakuan yang pelik, paranoia (perasaan syak wasangka yang melampau tanpa sebab yang kukuh), kemurungan dan berhalusinasi (melihat atau mendengar sesuatu yang tidak wujud)," ujarnya.

Pengambilan pil khayal turut memberi kesan kepada sistem saraf pusat tubuh termasuk meningkatkan suhu badan, peningkatan denyutan jantung dan tekanan darah.

Ini ditambah pula dengan terlalu panas dan meminum air yang banyak yang akan menyebabkan otak menjadi bengkak, pendarahan dalam otak, kerosakan otak dan kematian. Kesan jangka panjang dadah ini ialah kerosakan yang kekal pada urat saraf dan sebahagian otak.

Dadah boleh merosakkan jantung kerana menyebabkan jantung berdenyut lebih cepat daripada biasa dan meningkatkan tekanan darah.

“Ini akan menyebabkan denyutan jantung yang tidak menentu, kegagalan jantung dan seterusnya kematian.

Lebih membahayakan kesihatan apabila dadah merosakkan otot, sendi dan tulang. Misalnya, penagih ekstasi mungkin terlalu lama menari yang boleh mencederakan otot, sendi-sendi dan tulang," ujarnya.

Tambah Dr. Azhar, pil-pil khayal ini juga boleh mendedahkan penagih kepada eksploitasi seksual dan seks yang tidak selamat. Ini sekali gus golongan remaja akan terdedah kepada bahaya eksploitasi seksual, seperti seks yang tidak selamat, kemungkinan boleh dijangkiti HIV, Hepatitis dan lain-lain sakit kelamin.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Sumber: Utusan


Perangsang jenis amfetamin boleh merosakkan organ dalaman selain masalah ketagihan. 

BAHAYA ECSTACY

Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata pengambilan dadah seperti ecstacy yang tergolong dalam kumpulan ATS sememangnya boleh mengakibatkan dehidrasi melampau dan kerosakan organ dalaman seperti hati.

Dalam keadaan ekstrem iaitu apabila dadah itu diambil secara berlebihan atau mengandungi bahan berbahaya berlebihan, kesannya boleh menjurus kepada kematian.

Beliau juga menekankan bahaya pengambilan dadah jenis ATS secara berterusan.

"Terdapat dua jenis ketagihan dadah iaitu ketagihan fizikal dan ketagihan psikologi. Ketagihan fizikal mengakibatkan penagih mengalami kesan fizikal seperti menggigil dan sakit dada, dan ini biasanya dikaitkan dengan pengambilan dadah jenis tradisional seperti heroin.

"Tetapi dadah ATS menyebabkan ketagihan psikologi, yang menimbulkan perasaan murung, lemah, tidak bermotivasi, sukar fokus dan gelisah kepada pengambilnya.

"Bagi ketagihan fizikal ada ubat yang boleh kurangkan gian, namun untuk ketagihan psikologi tiada ubat yang jelas untuk mengelakkan 'relapse' (ketagihan berulang). Apa yang diperlukan adalah strategi psikologi," jelas beliau.

Berdasarkan pengalaman merawat penagih, Dr Muhammad Muhsin berkata pada peringkat permulaan penagih dadah jenis ATS akan berada dalam fasa penafian iaitu mereka tidak mengaku mereka sebenarnya sedang menagih dadah.

Penagih akan mengambil dadah setiap kali berasa muram dan ada antara mereka yang bergantung kepada dadah untuk kekal fokus bekerja.

"Secara keseluruhannya ketagihan psikologi lebih berbahaya daripada ketagihan fizikal. Ia meracuni otak dan menyebabkan halusinasi. Halusinasi inilah yang menjadi punca kepada jenayah berat seperti pembunuhan. Keadaan boleh jadi lebih teruk jika penagih sudah menanggung masalah peribadi yang berat," jelas beliau.

Malah Dr Muhammad Muhsin mendedahkan ada antara pesakitnya yang masih mengalami halusinasi meskipun sudah lama berhenti mengambil dadah.

"Dadah jenis ATS ini sememangnya sangat toksik. Mengambilnya seolah-olah kita menyebabkan otak sendiri mendapat penyakit mental," katanya memberi amaran akan bahaya dadah kepada mereka yang berniat mahu mencuba dadah.

Bagaimana 'overdose' boleh berlaku

Seorang eksekutif syarikat swasta yang dahulunya kerap menghadiri konsert bertemakan 'rave party' mirip FMFA menceritakan pengalaman beliau

Nina berkata pengunjung parti memilih dadah berbanding arak untuk berkhayal atau berada dalam keadaan 'high' kerana kesan sampingannya yang lebih ringan.

"Alkohol akan menyebabkan anda berasa loya, pening, kepala berat pada keesokannya. Pil pula memberi kesan yang lebih bersih. Ringan tetapi tetap dengan rasa 'high', sama seperti alkohol.

"Mereka lazimnya mempromosi dadah jenis baru di 'rave concerts'. Dadah parti ini memberi tenaga untuk mengiringi muzik ghairah," jelas Nina

Nina turut menceritakan bagaimana kejadian terlebih dos atau dalam istilah ringkasnya 'OD' (overdose) boleh terjadi terutama kepada orang baru atau 'newbies'.

"Saya pernah mencuba ecstacy sebelum ini. Setengah pil sudah cukup untuk menyebabkan rasa ghairah ataupun 'high'. Jadi dalam kebanyakan kes apabila rasa ghairah itu mula berkurang, separuh lagi pil ditambah dan terus tambah sehingga minda tidak lagi dapat membuat keputusan waras untuk tambah banyak mana lagi.

"Itulah cara seseorang itu terlebih dos. Ia tindakan sendiri tetapi dalam keadaan minda yang tidak keruan," cerita Nina.

NASIHAT UNTUK REMAJA

Dalam mencari penyelesaian kepada masalah dadah yang tidak berkesudahan ini, Dr Muhammad Muhsin berpendapat apa yang penting adalah penerapan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan remaja.

Beliau berkata tanpa kemahiran ini, remaja atau golongan 'dewasa muda' ini mudah terpengaruh untuk mencuba dadah bagi melupakan masalah mereka.

"Pada peringkat permulaan ia nampak seperti satu penyelesaian, tapi ia sebenarnya hanyalah penyelesaian jangka pendek. Kadang-kadang remaja juga mencuba dadah kerana 'peer pressure' (pengaruh rakan sebaya), nak diterima oleh kawan-kawan. Sebab itu mereka perlu diberi didikan awal.

"Selebihnya kepada saya ialah kawal selia. Pihak berkuasa seboleh-bolehnya jangan buka ruang untuk pengambilan dadah ini berleluasa," tegas beliau.

Bagi Nina pula, ibu bapa perlu mengajar anak tentang tanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang tersayang bagi mengelak kejadian buruk seperti pengambilan dadah berlebihan menimpa mereka.

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid
Sumber: BERNAMASinar Harian

Penyalahgunaan dadah adalah haram 

Walaupun najis dadah tidak pernah disebut dalam nas al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW, tetapi penyalahgunaan dadah jelas haram hukumnya berdasarkan beberapa dalil yang diqiyaskan ke atas arak atau perkara memabukkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Arak yang disebutkan ayat itu sebahagian contoh perbuatan kotor dan amalan syaitan. Sudah tentulah apa saja perbuatan syaitan adalah perbuatan yang mensyirikkan Allah SWT. Itulah juga akibat daripada penagihan dadah yang di’illahkan sama seperti arak.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram.” Kerana setiap yang memabukkan adalah khamar (arak), maka kita tidak boleh mengatakan hanya arak saja diharamkan dan bukan yang lainnya.

Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW: “Pasti akan ada manusia dalam kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka menamakannya dengan nama-nama yang lain.”

Arak dan dadah akan menyebabkan seseorang itu hilang kewarasan serta melakukan perbuatan jahat yang ditegah agama seperti berzina atau berbunuhan. Malah gejala sosial yang tidak terkawal hari ini juga ada hubung kaitnya dengan pertambahan individu yang mengambil arak dan dadah.

Tanggungjawab membanteras gejala dadah bukan terbeban kepada penggubal undang-undang atau penguatkuasaan saja. Sebaliknya ia tanggungjawab semua pihak yang sayangkan agama dan negara.

Rokok dekatkan diri kepada dadah 

Dewasa ini, golongan bawah umur sudah ramai yang menghisap rokok, termasuk kanak-kanak perempuan. Ia tidak mengejutkan kerana kanak-kanak memang mudah terikut dan diikut. Hal ini tentulah membimbangkan kerana rokok mendekatkan mereka kepada dadah.

Ibaratnya, apabila sudah cukup handal menghisap rokok, mereka akan beralih kepada dadah pula dan ia menjadi lambang kejaguhan. Justeru, teman rapat yang tidak terjebak harus menunaikan tanggungjawab membantu mereka memulihkan diri.

Disebabkan ramai golongan muda yang lebih akrab dengan rakan sebaya berbanding ibu bapa, teman yang patut membantu ibu bapa mengatasi masalah ini dengan melaporkan salah laku kepada ibu bapa atau pihak berkuasa supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan segera.

Orang awam pula harus berasa bertanggungjawab menyelamatkan anak bangsa dan akidah waris agama yang semakin terancam kebelakangan ini disebabkan gejala sosial. Media juga harus mengambil kesempatan menonjolkan betapa jijik najis dadah.

Oleh: Nik Salida Shuhaila
Sumber: BHarian

0 comments: