04 April 2014

Keberanian Sheikh Ahmad Deedat Berdakwah



JIKA disebut nama Sheikh Ahmed Deedat, mungkin tidak ramai daripada kalangan generasi muda sekarang yang mengenali beliau walaupun sumbangan tokoh ini terhadap Islam cukup banyak.

Melihat kekerapan dan ketajaman penghinaan terhadap agama dan umat Islam mutakhir ini, kehilangan Sheikh Ahmad Deedat amat dirasai. Beliau pernah menggegar dunia atas keberanian dan kehandalannya berdebat dengan mubaligh Kristian dan penghina Islam selama lebih 40 tahun sejak 1960-an.

Digelar ‘Salahuddin Ayubi abad ke-20’, beliau terkedepan mempertahankan kedaulatan agama dan maruah umat Islam di pentas debat, syarahan dan melalui penulisannya. Penerbitan buku, video, rancangan televisyen dan cakera padatnya dimiliki puluhan juta Muslimin di seluruh dunia hingga ke hari ini.

Beliau yang lebih mesra dipanggil dengan gelaran uncle (pak cik) telah menghabiskan lebih 40 tahun untuk berdakwah kepada bukan Islam di seluruh dunia terutama kepada penganut Kristian.


Walaupun berpendidikan setakat darjah enam, ia tidak menghalang beliau menulis lebih 20 buku dan mengedarkan jutaan naskhah berkenaan ke seluruh dunia secara percuma.

Tokoh ini dilahirkan di Surat, India pada 1918 sebelum berhijrah ke Kwazulu Natal, Afrika Selatan pada 1927 bersama-sama bapanya yang menyara hidup dengan menjadi tukang jahit.

Mengenang Jasa Ahmed Deedat

Walaupun berasal daripada keluarga India miskin dan bekerja sebagai jurujual di Afrika Selatan, beliau akhirnya menjadi pendakwah hebat, meyakinkan dan berkesan.

Ketajaman hujah, ilmu yang mantap, persediaan rapi, kepetahan berdebat dan penguasaan bahasa Inggeris yang baik membolehkan Sheikh Ahmad Deedat ‘mengalahkan’ seterunya, termasuk Dr. Flyod E Clark (1985), Dr. Anis Shorrosh di hadapan 12,000 hadirin di Birmingham (1985 dan 1988), paderi Stanley Sjoberg di Sweden (1991) dan Erich Bock di Denmark.

Berdakwah

Ahmed Deedat telah menyampaikan ribuan syarahan sejak berusia 24 tahun dan berdebat dengan ramai mubaligh Kristian yang ternama sehingga menyebabkan ribuan penganut agama itu memilih Islam sebagai agama baharu mereka.

Dalam perdebatan berkenaan, perkara utama yang sering dibangkitkan beliau adalah percanggahan antara ayat-ayat dalam Injil sehingga memaksa para mubaligh memikirkan kembali kebenaran agama yang dianuti mereka.

Antara ungkapan beliau yang sering dipetik adalah Islam dan Kristian mempunyai banyak persamaan, tetapi kitab agama Kristian yang ada sekarang yang mewujudkan perbezaan.

Beliau juga selalu menyebut bahawa ajaran agama yang dipraktikkan oleh umat Islam adalah lebih hampir dengan ajaran sebenar nabi-nabi orang Kristian berbanding amalan yang dipraktik oleh orang Kristian sendiri.

Kesungguhan beliau untuk memperjuangkan kebenaran Islam telah memberi semangat kepadanya untuk menulis surat kepada Paus John Paul II pada 1984 untuk berdialog di hadapan orang ramai di Vatican Square, Rom.

Tawaran itu ditolak oleh Ketua Gereja Roman Katolik berkenaan dengan alasan beliau hanya bersedia berdialog secara tertutup dengan Ahmed Deedat.

Ajak Berdebat

Sheikh Ahmad Deedat juga pernah mengajak mubaligh Kristian terhebat di zamannya seperti Pat Robertson, Billy Graham, Jerry Falwell dan Jim Bakker untuk berdebat, namun mereka semua tidak berani.

Paling mengesankan ialah debatnya dengan mubaligh Amerika terkenal, Jimmy Swaggart di Baton Rouge, Louisiana pada 1985. Swaggart, ketika itu memimpin Assemblies of God yang memperoleh pendapatan RM500 juta setiap tahun melalui rancangan televisyennya, dimalukan di depan jutaan penonton.

Swaggart, yang pernah menghina Nabi Muhammad SAW dan al-Quran, gagal mempertahan kenyataannya dan tidak mampu menangkis hujah Sheikh Ahmad Deedat bahawa kitab Bible adalah kitab palsu dan lucah.

Untuk menutup malu, Swaggart mengajak berdebat sekali lagi, iaitu di Mekah tapi tidak pernah ditunaikan. Swaggart akhirnya mengaku berdosa setelah terbongkar skandal seksnya dengan pelacur pada 1988.

Antara yang terkesan dengan debat Sheikh Ahmad Deedat-Swaggart ialah Dr. Kenneth Jenkins, paderi Pentecostal Assemblies of the World di Indiana, yang memeluk Islam dengan nama Abdullah Muhammad al-Furuque. Beliau antara lebih 6,000 orang yang memeluk Islam kerana dakwah Sheikh Ahmad Deedat.

Seorang lagi yang terkesan ialah Dr. Zakir Naik, yang mengaku memperoleh semangat dan keberanian melaksanakan tanggungjawab berdakwah daripada Sheikh Ahmad Deedat.

Berani berhujah

Berani dan tanpa apologetik, Sheikh Ahmad Deedat berhujah bahawa Nabi Isa bukan Tuhan, konsep Tri-Tunggal adalah syirik, Nabi Isa sekadar pengsan dan tidak mati di tiang salib, justeru tidak berlaku Resurrection dan pasti tiada Salvation bagi penganut Kristian.

Banyak pihak Kristian (dan Islam) tidak setuju cara agresif Sheikh Ahmad Deedat kerana boleh merosakkan hubungan antara agama. Namun, tindakan beliau perlu dilihat dalam konteks dan suasana zamannya. Serangan, penghinaan dan aktiviti kristianisasi terhadap orang Islam memerlukan orang seperti Sheikh Ahmad Deedat dan kaedah yang beliau gunakan.

Semasa hidupnya, Sheikh Ahmad Deedat pernah menyediakan Combat Kit: Against Bible Thumpers (1992) untuk melatih orang Islam mempertahankan maruah agama berhubung pelbagai isu.

Kematian beliau pada 2005 meninggalkan ruang yang belum benar-benar terisi. Dunia Islam memerlukan lebih ramai orang berkaliber, hebat dan berani berdebat seperti Sheikh Ahmad Deedat. Beliau pernah ditanya Zakir Naik, yang ketika itu pelajar perubatan di Universiti Mumbai, pada satu majlis di India pada 1987.

Jawabnya:
My son, there are two ways of fighting the battle, either with holy water or with fire. I have chosen to fight with fire. If you fight with holy water you are most welcome, but I have chosen the fire.

Diserang Angin Ahmar

Walaupun jasanya cukup hebat, beliau juga tidak terlepas menghadapi ujian yang cukup besar pada saat-saat akhir hayatnya apabila diserang penyakit angin ahmar pada 1996 sekembalinya daripada menyampaikan syarahan di Sydney, Australia.

Akibat serangan penyakit itu, beliau lumpuh dari paras leher ke bawah dan tidak mampu bergerak dan bercakap selama sembilan tahun. Bagaimanapun daya ingatan beliau tetap kuat seperti biasa dan berkomunikasi dengan pergerakan matanya.

Ahmed Deedat tidak pernah berundur daripada tugasnya sebagai pendakwah. Walaupun uzur, beliau tetap menerima kunjungan ramai mubaligh Kristian yang tujuan utama kedatangan mereka adalah untuk memujuknya supaya murtad dan memeluk agama Kristian dengan janji Nabi Isa akan menyembuhkan beliau.

Beliau tetap teguh dengan Islam sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 8 Ogos 2005 ketika usia 87 tahun di Verulam, Afrika Selatan.

Buku Biografi Ahmed Deedat

Dalam pada itu, bagi membolehkan lebih ramai pihak mengenali tokoh hebat ini, maka buku biografi beliau dalam bahasa Inggeris bertajuk Ahmed Deedat: The Man and His Mission telah dilancarkan oleh Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof. Dr. Idris Zakaria di Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 3 Disember lalu.

Buku yang diterbitkan oleh Pusat Penyebaran Islam Antarabangsa (IPCI) Afrika Selatan yang diasas beliau telah diedarkan di negara ini oleh Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) Malaysia dengan harga RM40 senaskhah.

Idris dalam ucapannya berkata, kaedah berdebat yang digunakan Ahmed Deedat perlu dikaji dahulu kesesuaiannya di Malaysia berikutan situasi negara ini yang mempunyai penduduk berbilang kaum.

Sumber:
Rencana 1 Oleh: JUHAIDI YEAN ABDULLAH [Utusan]
Rencana 2 Oleh: Oleh NIZAM YATIM [Utusan]

0 comments: