Nuff Atas

02 April 2014

Laluan Baharu Ke Ijazah Sarjana Menerusi Program APEL



Kerajaan mula mengorak langkah dalam mendemokrasikan proses pembelajaran peringkat tertinggi dengan mewujudkan laluan baharu kepada pekerja berpengalaman yang tiada ijazah sarjana muda melanjutkan pelajaran terus ke peringkat ijazah sarjana.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, menerusi program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Apel) pekerja yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana hanya perlu membuat permohonan kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi proses saringan.

Beliau berkata, mana-mana calon yang layak akan diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam peringkat ijazah sarjana di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).


"Sebagai permulaan empat program ijazah sarjana ditawarkan iaitu pentadbiran perniagaan, teknologi maklumat, pendidikan dan seni persembahan yang mula ditawarkan sejak 18 Februari 2014.

"Program ini ini berfungsi sebagai satu jalan kemasukan alternatif kepada mereka yang kurang atau tiada kelayakan akademik tetapi mempunyai pengalaman kerja berkaitan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman pelaksanaan Apel bagi tujuan akses ke program ijazah sarjana di bangunan Kementerian Pendidikan.

Menurut Idris, program Apel itu telah dibuka kepada umum sejak September 2011 bagi akses kepada program ijazah sarjana muda manakala, untuk program sijil serta diploma pula dibuka pada Februari 2013.

Idris berkata, sejak program itu dilaksanakan, 170 orang telah memohon dinilai dan daripada jumlah itu 13 orang untuk akses ke program ijazah sarjana, 108 orang (ijazah sarjana muda), 47 orang (diploma) dan dua orang (sijil).

"Berdasarkan tinjauan, 60 peratus pelajar yang lulus penilaian Apel ini telah memulakan pengajian dan daripada jumlah ini hampir 80 peratus menyambung pengajian di IPTS manakala selebihnya ke IPTA.

"Bagi yang masih belum melanjutkan pelajaran selepas lulus ujian penilaian pula disebabkan beberapa perkara antaranya kurang mendapat sokongan majikan untuk menyambung pelajaran serta kurangnya penerimaan pemberi pendidikan tinggi (PPP) awam menerima masuk pelajar yang lulus penilaian ini ke institusi masing-masing," katanya.

Tambah Idris, program tersebut bukan satu perkara yang baru malah telah lama dipraktikkan di negara lain malah tokoh terkenal, Prof. Datuk Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas juga pernah terlibat dalam program tersebut ketika melanjutkan pelajaran di luar negara.

Sementara itu, Syed Ahmad berkata, orang ramai yang berminat untuk menyertai program tersebut perlu berumur 30 tahun ke atas dan lulus ujian penilaian Apel di samping membawa portfolio pekerjaan masing-masing bagi pengesahan pengalaman bekerja.

Beliau berkata, calon yang layak memohon ialah warganegara Malaysia dan memiliki sekurang-kurangnya Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau diploma atau setara dengan pengalaman kerja yang berkaitan.

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
Sumber: Utusan

Ketua Setiausaha Dua Kementerian Pendidikan Datuk Seri Dr Zaini Ujang pula berkata pemohon yang memiliki sijil kelayakan Apel untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana boleh memohon biasiswa menerusi MyMaster.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Syed Ahmad Hussein berkata mereka yang lulus ujian Apel boleh memohon menyambung pengajian di mana-mana IPT namun kelulusan bergantung kepada IPT berkenaan. [Sinar Harian]

0 comments: