16 April 2014
Fungsi Hutan Bukan Sekadar Kehijauan
Spesies yang terkandung dalam hutan terutamanya hutan primer adalah satu aset yang perlu dipulihara. Meskipun kita menggantikan pokok yang kita ambil dalam hutan berkenaan dan menanamnya semula, tidak mungkin kita dapat pokok yang sama.
Bagi mana-mana pencinta alam sekitar, mereka mementingkan kehijauan yang datang daripada pokok dan spesies hutan kerana itulah aset dan khazanah sumber semula jadi yang kita dimiliki. Masyarakat perlu menjaga khazanah itu, daripada laut sehingga ke gunung, tetapi hutan bukan sekadar kehijauan.
Sambutan Hari Hutan pada 21 Mac 2014 dengan tema Hutan Untuk Kesejahteraan bukan sahaja menghargai sumber semula jadi seperti hutan tetapi juga memastikan kelangsungan hidup manusia, dan sebagai jantung kepada dunia yang kita miliki.
Malaysia amat bertuah dianugerahi sumber hutan yang asli, kaya dengan flora dan fauna yang bukan sahaja menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi, malah menjana sumber kekayaan.
Tanpa penjagaan hutan yang baik, kawasan tadahan air akan terjejas cuaca menjadi semakin panas dan kualiti udara merosot.
Ketika dunia berdepan dengan pelbagai masalah alam sekitar seperti pelepasan karbon, jerebu, masalah air bersih, kebakaran hutan, hutan menjadi satu-satunya aset yang dapat membantu mengurangkan beban penduduk dunia berdepan situasi tersebut.
Selain konsep pelancongan alam sekitar atau ekopelancongan yang diperkenalkan sebelum ini, bio pelancongan juga wajar diketengahkan. Konsep tersebut merujuk kepada kawasan hutan dikekalkan keasliannya dan hanya dibina dengan kemudahan minimum untuk dilawati.
Ekopelancongan adalah kunjungan ke kawasan hutan belum ada gangguan atau sebarang aktiviti manusia yang menjejaskan keasliannya manakala biopelancongan memerlukan pembinaan sedikit kemudahan untuk pengunjung seperti laluan pejalan kaki, wakaf dan calet.
Lima negeri iaitu Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak mempunyai kawasan hutan yang popular di negara ini khususnya yang telah diwartakan sebagai taman negara dan menjadi tumpuan perlu memanfaafkan aset tersebut sebagai produk pelancongan.
Negeri berkenaan sering menjadi tumpuan konsep pelancongan inap desa (homestay) kerana memiliki hutan yang menarik minat pelancong asing.
Hutan telah memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada kehidupan manusia dalam aspek sosial atau ekonomi. Hutan menjadi penstabil kepada alam sekitar, menyimpan kelembapan dan sumber oksigen.
Ketua Pengarah, FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, hampir 52 peratus spesies flora di negara ini hampir pupus atau terancam.
Jika tiada tindakan yang diambil segera kemungkinan jumlah tersebut akan terus meningkat saban tahun. Kebanyakan flora yang terancam ini memiliki nilai farmaseutikal yang tinggi yang mana masih banyak belum kita terokai.
Malah, pelbagai spesies fauna kita juga turut diancam kepupusan, sebagai contoh kumbang tanduk yang dahulu sering kita katakan sebagai serangga perosak bagi pokok kelapa sawit kini sedang terancam kerana serangga ini diseludup keluar dan dijual pada kadar harga yang tinggi, iaitu sekitar sehingga RM300 seekor untuk dijadikan koleksi, '' katanya.
Jelasnya lagi, majoriti sumber makanan juga pada asalnya berasal daripada hutan justeru kawasan hijau tersebut perlu terus dipulihara dan dikekalkan.
Tanggungjawab memelihara khazanah negara ini tidak hanya berada di bahu FRIM semata-mata, malah masyarakat di negara ini, agensi seperti FRIM pasti tidak akan berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik tanpa sokongan orang ramai," katanya.
Beliau berkata, selain menjadi habitat kepada kepelbagaian biologi dan sinki karbon, hutan juga berfungsi sebagai kawasan tadahan air yang kebiasannya dirujuk kepada sepan penyerap air hujan
Air hujan yang diserap itu dituras dan dialirkan ke dalam sungai bagi memastikan bekalan air bersih yang kemudian dikeluarkan sebagai mata air atau dibebaskan dalam bentuk wap ke atomosfera.
Tegas beliau, pembukaan hutan yang tidak dirancang dan pengurusan yang tidak mampan menjejaskan sumber air, perubahan iklim dan cuaca panas dan mengakibatkan hakisan tanah dan banjir.
Dalam pada itu beliau berkata, pengenalan Symbiosis iaitu program Keusahawanan Siswazah menerusi kerjasama Malaysia Technology Development Corporatioan (MTDC) berjaya membangunkan 10 syarikat terbitan yang memanfatakan teknologi daripada FRIM.
FRIM juga berjaya membentuk kaedah inovatif dalam memulihara hutan terosot dan bakau bagi perlindungan pesisiran pantai daripada hakisan serta bencana alam
Usaha tersebut telah dijalankan di kawasan bekas lombong bijih timah di Bidor Perak, dan penghijauan sebahagian kawasan Paya Indah Wetlands.
Kampus FRIM di Kepong juga telah diiktiraf sebagai tapak warisan semula jadi negara dan warisan kebangsaan.
Kawasan FRIM merupakan hutan buatan manusia yang menjadi pusar rujukan antarabangsa sebagai model penghutanan semula kawasan bekas lombong selain menyimpan 20 peratus spesies terancam dan hampir pupus di negara ini.
Oleh LAUPA JUNUS dan ASHRIQ FAHMY AHMAD
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan