17 April 2014

Tips Tingkat Keselamatan Telefon Pintar


AKTIFKAN fungsi carian pada telefon pintar bagi membolehkan anda mengesannya sekiranya ia hilang atau dicuri.

KONSEP sumber terbuka sistem operasi Android merupakan salah satu faktor utama yang melonjakkan lagi bilangan pengguna telefon pintar. Ia sekali gus membuatkan lebih banyak telefon pintar mampu milik berada di pasaran.

Kini, pengguna sudah boleh memiliki gajet seumpamanya pada harga kurang RM400 berbanding RM1,000 ketika ia mula-mula menembusi pasaran. Memandangkan jumlah pengguna semakin meningkat, pengguna harus memahami betapa pentingnya menjaga telefon pintar.

Ini kerana, gajet ini seumpama komputer bergerak dan mempunyai akses kepada aplikasi seperti e-mel, rangkaian media sosial dan storan dalam talian seperti Dropbox. Berikut disenaraikan tip bagaimana menjaga telefon pintar dan memastikan data di dalamnya lebih terpelihara.


Rekodkan nombor IMEI

Setiap telefon mempunyai nombor pengenalan unik yang dikenali sebagai IMEI. Anda hanya perlu mendail *#06# dan kemudian simpan nombor yang terpapar. Sekiranya telefon dicuri, anda boleh menggunakan nombor tersebut sebagai rujukan kepada pihak berkuasa ketika membuat laporan.

Gunakan kod keselamatan

Masih ramai pengguna yang tidak mengaktifkan fungsi kod keselamatan dan apabila telefon mereka hilang atau dicuri, segala fungsi telefon dan data di dalamnya berada dalam genggaman pihak lain. Pastikan kod keselamatan diaktifkan agar hanya pengguna sendiri boleh mengaksesnya.

Pengguna dinasihatkan agar tidak menggunakan nombor kod yang mudah diteka seperti tarikh lahir, nombor telefon atau pendaftaran kenderaan. Sesetengah model telefon seperti iPhone 5s dan Samsung Galaxy S5 mempunyai pengimbas cap cari sebagai alternatif kepada kod keselamatan.

Matikan bluetooth jika tidak digunakan

Jangan biarkan bluetooth aktif sekiranya tidak digunakan kerana boleh menyebabkan telefon terdedah kepada serangan penggodam. Anda juga boleh menukar aturan agar bluetooth hanya aktif untuk tempoh yang pendek seperti beberapa minit setiap kali diaktifkan bagi membolehkan peranti yang ingin disambungkan dapat mengesan kehadiran telefon.

Aktifkan fungsi carian

Sesetengah model telefon pintar didatangkan dengan ciri carian yang membolehkan lokasi kasar telefon itu dikesan menggunakan sistem penentu kedudukan global (GPS). Sekiranya telefon hilang, anda hanya perlu melayari laman web dan memasukkan identiti pengguna dan kata laluan bagi mengesan telefon tersebut.


PENGGUNAAN kod keselamatan dapat mengelakkan maklumat di telefon anda dicerobohi pihak lain.

Gunakan aplikasi pencegah kecurian

Dalam situasi telefon gagal ditemui semula, harapan terakhir adalah dengan menghalang segala data daripada diakses individu lain. Aplikasi sekuriti ini membolehkan segala data di dalam telefon dipadamkan secara automatik sekiranya kod keselamatan telefon yang salah dimasukkan lebih beberapa kali.

Gunakan aplikasi antivirus

Sama seperti komputer, telefon pintar juga terdedah kepada serangan virus dan trojan. Pastikan telefon anda mempunyai aplikasi antivirus dan perisian sekuriti yang membolehkan imbasan dibuat terhadap laman web yang dilawati. Ia dapat mengelakkan pengguna terpedaya dengan laman web palsu dan aktiviti phishing yang berleluasa di internet.

Ketahui aplikasi yang dimuat turun

Elakkan memuat turun aplikasi daripada sumber yang diragui. Ini kerana, terdapat aplikasi yang menghantar khidmat pesanan ringkas secara sulit tanpa pengetahuan penggunanya bagi melanggani sesuatu perkhidmatan yang tidak diperlukan. Setiap pesanan dikenakan caj sehingga mengakibatkan pengguna pascabayar terpaksa menanggung bil yang tinggi dan pengguna prabayar kehilangan kredit.

Kemas kini sistem operasi dan aplikasi

Pengguna harus memastikan telefon pintar sentiasa dikemas kini dengan sistem operasi dan aplikasi terkini agar tidak terdedah kepada ancaman sekuriti yang telah dikenal pasti oleh pengeluar telefon atau pembangun aplikasi.

Buat salinan data

Salinan data ke komputer atau kepada penyedia khidmat storan dalam talian perlu dilakukan dengan kerap agar masalah kehilangan data boleh dikurangkan.

Padamkan data sebelum menjual telefon

Sesetengah pengguna gemar menjual telefon lama ketika membeli telefon baharu. Sebelum berbuat begitu, pastikan segala data sudah disalin keluar dan dipadamkan daripada telefon.

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN
Sumber: Kosmo

0 comments: