08 April 2014

Intervensi Awal Buka Jalan Untuk Pendidikan Anak Autisme



Filem Hollywood "Temple Grandin" lakonan Claire Danes dan "Rain Man" lakonan Tom Cruise adalah antara filem yang memaparkan watak utamanya seorang autistik.

Begitu juga filem terkenal Bollywood yang dilakonkan Shah Rukh Khan, "My Name Is Khan". Khan disifatkan sebagai seorang penghidap sindrom Asperger iaitu satu daripada sifat autisme.

Sungguhpun hanya di dalam filem, setidak-tidaknya bagi ibu bapa yang memiliki anak autisme, ia membuka harapan bahawa anak autisme mempunyai masa hadapan yang cerah sekiranya dibantu sejak awal. Malah menghilangkan keraguan mereka dalam mendidik anak yang mengalami sindrom serupa.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran filem-filem Hollywood sering menunjukkan watak autisme yang memiliki IQ yang tinggi. Sebenarnya masih banyak lagi ciri-ciri yang terdapat pada seseorang yang mempunyai autisme.


"Sungguhpun demikian ia memberi harapan kepada ibu bapa walaupun anak mereka mungkin tidak mencapai tahap IQ seperti yang pernah ditonton, tetapi sekurang-kurangnya mereka boleh berasa lega bahawa anak autisme ini dapat dibantu dengan adanya sokongan daripada orang di sekelilingnya," jelas Hasnah.

PERLU MODUL PEMBELAJARAN KHAS

Autisme adalah satu kecelaruan neurologi (urat saraf) di otak yang mengakibatkan kesan negatif terhadap kemahiran sosial, komunikasi dan imaginasi individu.

Terdapat pelbagai simptom yang berbeza terhadap kanak-kanak yang mengalami autisme antaranya tidak menghiraukan orang lain, tidak mahu bertentang mata atau menunjukkan ekspresi muka apabila bercakap, susah bekerjasama, berkongsi atau menunggu giliran.

Ada yang lebih suka bermain sendiri, tidak berminat dalam permainan yang perlu menggunakan imaginasi, lambat bercakap, tidak boleh berkomunikasi dengan baik dan mungkin mengulang perkataan sama, tetapi tidak faham maksudnya.

Selain itu ada juga anak autisme yang suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan. Mereka mudah terganggu jika disuruh melakukan perubahan. Menunjukkan minat pelik, contohnya terhadap peta, peralatan elektronik atau roda kereta mainan berpusing dan memutar objek serta tidak boleh duduk diam.

Sesetengahnya pula suka mengasingkan diri - biasanya kekecewaan ditunjukkan melalui tindak balas negatif seperti mengamuk, marah-marah, agresif (yang tidak ditujukan kepada sesiapa) atau perlakuan yang merosakkan seperti mencederakan diri dan banyak lagi ciri-ciri yang tidak sama antara satu individu dengan individu yang lain.

"Ciri-ciri yang ada inilah yang menyebabkan mereka sukar untuk belajar atau memahami pembelajaran apabila dihantar ke sekolah. Mereka sukar memberikan tumpuan. Lebih sukar apabila di sekolah mereka diletakkan di kelas pendidikan khas yang bukan untuk kanak-kanak autisme kerana guru-guru perlu menumpukan perhatian kepada pelajar lain juga," jelas Hasnah.

DIDIK MASYARAKAT

Pengalaman beliau di Amerika Syarikat membuktikan bahawa masyarakat juga harus dididik untuk mengenali autisme.

Memiliki seorang anak autisme, Hasnah pernah ditawarkan bantuan oleh seorang kenalan yang baru dikenali. Sebaik sahaja mengetahui beliau memiliki seorang anak autisme, kenalannya itu menawarkan diri menjaga anaknya jika Hasnah ingin ke mana-mana.

"Itu yang kita mahu. Mendidik masyarakat kita sehingga ke tahap itu. Mendidik anak autisme memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia bukan hanya tanggungjawab guru dan ibu bapa, tetapi juga masyarakat terutama dalam memberikan sokongan", katanya.

Hasnah, yang juga Ketua Penyelidik di Makmal Pembelajaran Autisme UKM, berpendapat sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan sebuah pusat penjagaan dan pembelajaran khas untuk kanak-kanak autisme.

Menurutnya jika tidak dimulakan dari sekarang, apa akan terjadi kepada kelompok ini tiga puluh tahun akan datang.

PEMBENTUKAN AWAL

Beliau menyokong langkah yang diambil oleh Permata, sebuah pertubuhan kerajaan bagi kemajuan pendidikan awal kanak-kanak, untuk menubuhkan Permata Kurnia iaitu satu program khusus untuk golongan autistik.

Mengambil contoh Makmal Pembelajaran Autisme UKM, beliau menekankan perlunya satu modul pembelajaran khusus untuk anak autisme. Modul berkenaan akan membantu para guru, juruterapi, ibu bapa dan masyarakat untuk menghadapi dan mendidik anak autisme.

Penekanan kepada intervensi awal adalah sangat penting. Anak autisme yang dibentuk dari awal ada yang menunjukkan perubahan besar sehingga mereka boleh bersekolah seperti kanak-kanak lain di sekolah aliran perdana.

Menurut Hasnah, intervensi awal membolehkan mereka dimasukkan ke dalam program pembelajaran khas. Dari situ perlahan-lahan mereka akan diajar sehingga boleh berdikari dan mengurus diri.

"Mereka juga ada yang berkebolehan dalam bidang muzik, seni dan matematik. Mereka juga akan diberi latihan bekerja dan jika layak akan dihantar mengikuti kursus-kursus kemahiran seperti yang ditawarkan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Kolej Komuniti.

"Jika IQnya tinggi mereka boleh dididik sehingga ke IPTA. Ia bukanlah mustahil kerana makmal kami juga kini sedang memantau seorang daripada bekas pelajar kami yang kini sedang menuntut di tahun satu UKM," jelas Hasnah yang positif dengan kebolehan setiap anak autisme.

Intervensi awal perlu kerana bantuan awal yang diberi akan dapat membentuk mereka dengan perhatian yang sewajarnya. Melalui pendekatan betul, kanak-kanak autisme yang sering dianggap bermasalah sebenarnya boleh belajar dengan baik dan berdikari.

"Mereka mungkin autisme, tetapi tidak bermakna mereka tidak boleh memiliki kehidupan yang baik dan gembira," tekan Hasnah.

Oleh Nurul Halawati Azhari
Sumber: BERNAMA

Bantu kanak-kanak autisme belajar

KANAK-KANAK autisme juga mempunyai hak dan peluang untuk berjaya seperti kanak-kanak yang normal. Mereka yang dilahirkan dengan keadaan dan tingkah laku yang unik ini sepatutnya tidak dipandang rendah kebolehan dan potensi yang mereka miliki.

Bagi ibu bapa yang dianugerahkan cahaya mata seperti ini, perhatian yang diberikan terhadap mereka dalam pelbagai aspek dapat membantu golongan ini menjalankan rutin harian seperti biasa disamping meningkatkan kualiti hidup.

Apa yang membezakan kanak-kanak ini dengan kanak-kanak biasa adalah kebanyakan mereka mempunyai masalah dari segi pembelajaran.

Berdasarkan kajian, kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran adalah mereka yang menghadapi kesukaran untuk memahami sesuatu subjek yang sedang dipelajari. Masalah ini tidak berkait dengan masalah kepintaran atau tahap motivasi.

Kanak-kanak ini juga bukanlah dalam kalangan mereka yang malas belajar ataupun tidak bijak, namun mereka mempunyai daya kreativiti yang berbeza dan kebanyakan kanak-kanak autisme mempunyai kepintaran yang lebih berbanding kanak-kanak biasa.

Sebenarnya, tahap penerimaan maklumat berlaku secara berbeza kepada kanak-kanak dan orang dewasa yang mempunyai masalah pembelajaran. Kebiasaannya terdapat beberapa jenis masalah pembelajaran yang dihadapi oleh golongan autisme. Ini termasuk sukar untuk membaca, menulis, mengira, mendengar dan berkomunikasi dengan orang ramai.

Justeru, bagi membantu kanak-kanak autisme mendapat pendedahan dalam bidang pendidikan, Early Autism Project (EAP) mengambil langkah proaktif mengadakan program khusus untuk kanak-kanak yang mengalami masalah ini.

Penyelia dan Penyelaras EAP, Charmaine Way berkata, seiring membantu kanak-kanak tersebut mempelajari kaedah belajar yang cepat dan mudah, EAP telah mempraktikkan kaedah pembelajaran menggunakan teknologi seperti permainan yang terdapat dalam iPad dan telefon pintar.

“Kajian menunjukkan penggunaan teknologi kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran dapat membantu mereka memahami dan mempelajari pembelajaran yang dikhususkan kepada mereka menerusi peningkatan kemahiran dari sudut sosial, interaksi dan komunikasi.

“Kebanyakan permainan yang diaplikasi dalam telefon pintar mahupun gajet ini digunakan kepada kanak-kanak dalam bentuk audio visual yang membantu meningkatkan pengetahuan mereka," katanya.

Kata Charmaine, kanak-kanak yang didedahkan dengan permainan dalam bentuk audio dan visual boleh dikenal pasti potensi mereka melalui kekuatan dan daya kepekaan yang ditunjukkan.

Permainan tersebut jelasnya, bukan semata-mata melibatkan aktiviti di hadapan skrin malah sebenarnya mendedahkan mereka cara berkomunikasi dan berkongsi maklumat dengan orang ramai.

Sebagai contoh, kanak-kanak yang mempunyai masalah untuk membaca tetapi mempunyai kemahiran mendengar yang baik, akan membantunya menjadi pelajar yang bijak melalui kaedah mendengar yang dipelajarinya melalui buku audio.

Tambah Charmaine, kanak-kanak yang menjalankan sesi pembelajaran di sini, akan dipantau oleh terapi yang berkelayakan semasa menggunakan teknologi tersebut.

“Antara aplikasi yang digunakan adalah permainan berbentuk gambar, permainan disertai dengan bunyi-bunyian dan permainan yang melibatkan aktiviti sentuhan skrin dan visual.

“Selain didedahkan menggunakan gajet, mereka juga menjalani rutin pembelajaran yang berbeza di kelas. “Ini termasuk tumpuan kepada aktiviti fizikal seperti permainan yang memerlukan mereka bergerak dan merangkak di atas lantai," katanya.

Perlu dipantau

Bagi Ketua Terapi EAP, Nurul Izzati Shaharuddin, kaedah pembelajaran kepada kanak-kanak autisme menggunakan gajet tidak dipraktikkan secara sepenuhnya dan perlu dipantau oleh pakar terapi dan keluarga mereka.

“Ketika menggunakan gajet-gajet tersebut, mereka masih berada dalam pemantauan kami dengan had masa telah ditetapkan.

“Kaedah ini juga dipraktikkan sebagai ganjaran apabila kanak-kanak tersebut berjaya melakukan aktiviti yang diberikan dengan baik. Contohnya apabila sesuatu tugasan yang berbentuk praktikal diberikan dan mereka berjaya menyiapkannya dengan cemerlang dan sebagai ganjaran mereka dapat bermain permainan menerusi gajet. Permainan tersebut juga berbentuk pendidikan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Jualan Kebangsaan, Intel Electronik (Malaysia) Sdn. Bhd., Norlizam Abdul Kadir berkata, tablet dan gajet seperti iPad dan telefon pintar telah meluas digunakan di rumah mahupun sekolah di seluruh dunia terutamanya untuk tujuan pembelajaran.

“Sebahagian kajian juga menunjukkan potensi dan penggunaan gajet tersebut telah merubah sistem dan pembelajaran dan pengajaran yang melibatkan guru-guru dan pelajar.

“Kanak-kanak yang didedahkan dengan kemudahan ini lebih meningkat motivasi dan minat dalam satu aktiviti, menggalakkan pelajar untuk lebih bertanggungjawab terhadap pelajaran dan membantu mereka mengeluar dan mempamerkan daya kreativiti.

“Kaedah ini juga memberikan sokongan kepada mereka dari aspek komunikasi dan interaksi termasuk guru, pelajar dan keluarga mereka," katanya.

Tambahnya, Intel juga sentiasa meningkatkan usahanya untuk menggalakkan pendidikan melalui teknologi diaplikasikan kepada kanak-kanak melalui produk dan gajet-gajet yang dicipta untuk kemudahan mereka ketika menggunakannya.

Oleh Siti Aishah Yusoff
Sumber: Utusan

0 comments: