07 April 2014
Orang Ramai Makin Sedar Kepentingan Insurans
KESEDARAN memiliki insurans dalam kalangan Bumiputera kini semakin meningkat jika dibandingkan dengan beberapa tahun dahulu, berikutan kesedaran pentingnya mempunyai perlindungan ke atas risiko yang bakal dihadapi.
Ketua Jabatan Pengurusan Sumber Dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, bagaimanapun jumlah itu masih rendah dan bagi memberikan galakan, pendidikan kewangan terutamanya dalam aspek berkaitan dengan pengurusan risiko perlu diberikan tumpuan.
"Masyarakat umumnya perlu diberi pendedahan dan kesedaran terhadap risiko yang bakal dihadapi sekiranya menghadapi masalah kesihatan ketika tidak mempunyai perlindungan.
"Bukan itu sahaja, persatuan insurans dan takaful juga haruslah menganjurkan seminar percuma kepada masyarakat berkaitan dengan pengurusan risiko, sekali gus memberikan pendedahan umum kepada orang ramai," katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung penyebab golongan Bumiputera kurang memiliki insurans pelindungan, Mohamad Fazli berkata, pendapatan yang hanya mencukupi untuk membeli keperluan asas dan semasa keluarga menjadi antara faktor utama.
"Oleh itu, majikan memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan kewangan di tempat kerja,agar kakitangan mampu menguruskan kewangan dengan berhemah.
"Manakala, kadar dan harga semasa membeli insurans dan takaful yang mahal juga menyebabkan orang ramai tidak mampu untuk menampung komitmen pembayaran setiap bulan," katanya.
Selain itu, tanggapan segelintir individu bahawa kemudahan kesihatan adalah tanggungjawab majikan juga masih diterapkan dalam kalangan masyarakat hari ini.
Bukan itu sahaja, katanya, pengalaman lampau ahli keluarga dan kawan-kawan yang berhadapan dengan ejen tidak bertanggungjawab dalam hal-hal tuntutan menjadi punca orang ramai kurang membeli insurans.
Sumber: Sinar Harian [31032014]
Takaful bantu popularkan insurans
BEBERAPA tahun lalu, kadar dan jumlah pemegang polisi insurans dalam kalangan Bumiputera terutama Melayu adalah pada tahap paling rendah kerana kurangnya kesedaran tentang kepentingan insurans itu sendiri.
Namun perkembangan industri takaful, yang menawarkan insurans patuh syariah dilihat banyak memainkan peranan dalam membantu golongan Bumiputera terutama yang beragama Islam mendapatkan pelbagai jenis insurans dan perlindungan diri.
Industri takaful sudah berkembang pada 1985 lagi, berikutan keperluan umat Islam pada ketika itu untuk mempunyai alternatif kepada insurans konvensional. Bagaimanapun hari ini, keistimewaan yang ditawarkan oleh insurans takaful telah membuka minat kaum lain yang bukan Islam untuk turut membeli polisi menerusi takaful.
Menurut data yang diperoleh, pasaran takaful keluarga yang berdaftar menyumbang RM2.7 bilion pada Januari hingga Disember 2011, peningkatan 4.18 peratus berbanding RM2.6 bilion pada tahun sebelumnya.
Pasaran takaful keluarga kemudian melonjak 29.9 peratus kepada RM3.5 bilion bagi tempoh yang sama pada 2012.
Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Zainudin Ishak berkata, jumlah pemegang polisi takaful semakin meningkat sejak empat tahun lalu, yang mana industri takaful mencatatkan peningkatan pertumbuhan tiga kali ganda dalam tempoh empat tahun iaitu dari 2010 hingga 2013.
"Dalam tempoh itu, pertumbuhan purata 20.24 peratus dicatatkan. Sembilan bulan pertama 2013 sahaja merekodkan RM2.772 bilion sumbangan kasar, meningkat sebanyak 4.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2012 iaitu RM2.642 bilion," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
Menurutnya, kadar penembusan takaful dalam kalangan pengguna juga semakin meningkat sejak 2012 kepada 13.1 peratus.
"Bagaimanapun, jumlah itu masih rendah berbanding kadar penembusan dalam industri insurans keseluruhan sebanyak 55.7 peratus," akuinya.
Generasi baru celik kewangan Bagaimanapun Zainuddin berkata, menurut statistik, majoriti pemegang insurans takaful adalah Bumiputera beragama Islam, yang sekali gus secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan industri takaful itu sendiri.
"Jika dibandingkan tahap kesedaran Bumiputera, mereka sekarang sudah celik kewangan. Kalau dulu ada duit lebih, mereka akan habiskan wang untuk keperluan lain seperti membeli telefon mahupun membaiki rumah. Sekarang, orang mula sedar kepentingan pelaburan, persaraan dan perlindungan," katanya.
Menurutnya, dengan permintaan yang semakin meningkat, jumlah syarikat pengendali insurans takaful yang mulanya hanya satu syarikat kini telah bertambah kepada 11 syarikat.
Katanya, pertambahan syarikat ini turut menyumbang kepada peningkatan kesedaran kerana strategi yang dilakukan oleh setiap syarikat untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai.
Tahun lalu sahaja, industri takaful berjaya menjual sebanyak 602,285 polisi, menunjukkan pertumbuhan ketara.
"Tidak semua Bumiputera tidak mempunyai minat untuk membeli insurans. Namun mungkin ada yang mempunyai perancangan kewanganyang lemah atau juga mungkin kerana mereka masih tidak sedar akan keperluan memiliki insurans mahupun perlindungan," katanya.
Menurut data yang diperoleh, pelan perlindungan kesihatan dan pelan perlindungan pendidikan menjadi antara pelan yang paling digemari majoriti pemilik polisi di negara ini.
Bagaimanapun, masyarakat kini juga mula berminat dengan produk yang berkaitan dengan pelaburan. Turut mencatatkan peningkatan adalah jumlah ejen insurans Bumiputera sebanyak 30 peratus kepada 46,285 orang berbanding 35,441 pada 2012.
Difahamkan ramai yang tidak memiliki insurans kerana berpendapat mereka telah pun mendapat perlindungan insurans daripada syarikat masing-masing, namun kadang kala ia tidak mencukupi.
Lebih banyak kempen kesedaran perlu dibuat bagi menekankan kepentingan mendapatkan perlindungan insurans terutama dalam kalangan Bumiputera sebagai sandaran keselamatan.
Oleh: CONNIES MONICAL
Sumber: Sinar Harian [31032014]
Insurans bantu kurang kos rawatan
DEKAD-dekad yang lampau selepas mencapai kemerdekaan menyaksikan Malaysia melalui satu perubahan ketara dalam sektor penjagaan kesihatan dengan kerajaan mendirikan banyak hospital moden yang dilengkapi peralatan canggih selain menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.
Kini terdapat lebih ramai pakar terdiri daripada doktor perubatan dan pakar bedah yang berkhidmat untuk orang ramai di hospital dan pusat perubatan awam.
Serentak dengan keadaan ekonomi yang lebih kukuh di mana Malaysia sedang mengorak langkah mencapai status negara maju pada tahun 2020, hospital swasta juga tumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negara.
Tetapi ini juga bererti kos penjagaan kesihatan turut meningkat dan walaupun negara mempunyai puluhan hospital awam yang moden dan mempunyai cukup pakar serta peralatan yang canggih, adakalanya terdapat pesakit yang terpaksa mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta kerana pelbagai faktor yang timbul.
Antara faktor-faktornya ada kes yang memerlukan rawatan segera atau kekurangan pakar berkaitan dengan bidang tertentu seperti vaskular, ortopedik dan kardiak (jantung).
PAKAR
Seorang pengurus bank, Roslan Sulaiman menceritakan tentang pengalamannya terpaksa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di bandar Sunway kerana jangkitan kuman yang akut menyebabkan beliau mengalami demam yang teruk.
"Ia adalah satu kes kecemasan dan saya perlukan penghospitalan segera untuk antibiotik dimasukkan terus ke tubuh. Saya tidak punya banyak wang tetapi nasib baik ada perlindungan insurans perubatan yang diberikan majikan.
"Kos rawatan sembilan hari mencecah RM9,000 dan bilnya ditanggung pihak insurans. Kalau tidak saya terpaksa meminjam bagi menjelaskan bil itu," katanya.
Bagi Roslan, adalah baik jika seseorang itu mendapatkan perlindungan insurans bagi dirinya dan ahli keluarga memandangkan kos penjagaan kesihatan kini sememangnya tinggi.
MANFAAT
Aktivis sosial Gurmukh Singh menjelaskan bahawa perlindungan insurans kesihatan memberi beberapa manfaat yang tidak ada dalam sistem kesihatan penjagaan kesihatan awam.
"Anda mungkin tanya, adakah berbaloi mempunyai perlindungan insurans kesihatan. Dalam banyak kes, adanya insurans perubatan membantu anda dalam memberikan masa yang singkat untuk prosedur surgeri elektif atau pilihan (jika dibandingkan dengan sistem penjagaan kesihatan awam).
"Anda boleh pilih untuk dirawat oleh siapa (dengan pakar yang anda selesa dan mahu) dan pada bila masanya. Bergantung dengan apa yang ditanggung (pihak insurans), kos untuk khidmat bukan hospital seperti bayaran fisioterapi ciropraktik dan beberapa terapi alternatif yang lain juga ditanggung insurans.
"Tetapi harus juga diingat bahawa insurans kesihatan anda tidak menanggung semua kos. Kalau semua ditanggung, konsumer akan perlu bayar lebih bagi perlindungan insurans kesihatan mereka," jelas Gurmukh.
KOS
Kata Gurmukh, kalau seseorang memilih hospital awam, beliau tidak akan dikenakan caj yang lain melainkan untuk rawatan.
"Tetapi ada beberapa kelemahan seperti seseorang itu tidak boleh pilih doktor yang merawat. Prosedur akan dijalankan oleh pakar yang ditentukan hospital, dan pesakit tidak dibenarkan memilih siapa yang akan memberi rawatan.
"Pesakit juga tiada pilihan tentang fasiliti rawatan serta bila prosedur rawatan akan dijalankan (bergantung kepada adanya pakar bertugas). Semuanya ditentukan pihak hospital awam.
"Kemungkinan pesakit akan diletakkan di bawah senarai menunggu bergantung kepada keadaan penyakit dan ini boleh memakan masa berbulan-bulan lamanya (dan ada yang sampai bertahun-tahun).
"Kalaulah prosedur rawatan memerlukan pesakit tinggal di hospital, pesakit akan ditempatkan dalam wad yang dikongsi bersama pesakit lain dan tiada peluang untuk mendapat keistimewaan bilik untuk seorang," katanya.
Kata Gurmukh lagi orang yang sihat pun memerlukan perlindungan insurans kesihatan bagi diri sendiri dan keluarga.
"Ia boleh melindungi seseorang daripada beban kewangan jika ada kemalangan atau penyakit yang timbul," kata beliau.
KETENANGAN
Seseorang tidak akan tahu bila penyakit atau kemalangan akan timbul jadi sendainya beliau dan keluarga tidak mempunyai perlindungan insurans, kemungkinan besar beliau tidak mampu menanggung kos yang tinggi bagi rawatan yang diperlukan.
Juga, beban kewangan kerana penyakit atau kemalangan yang serius adalah tinggi, jelas Gurmukh.
"Mempunyai perlindungan insurans akan banyak membantu kerana kemalangan dan sebarang penyakit tidak tahu bila akan berlaku. Jadi tidak susahlah bagi seseorang itu mengeluarkan simpanan yang ada untuk hari tua bagi menanggung kos rawatan," tambah beliau lagi.
Sumber: Sinar Harian [24 Jun 2013]
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan