10 April 2014

Jangan Bimbang Naiki Pesawat



MENURUT Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, Lt. Kolonel (Dr.) Lotfi Anuar, ramai orang perasan diri mereka mengalami pelbagai jenis fobia apabila usia meningkat.

“Ia adalah normal dan banyak dipengaruhi oleh pengalaman hidup. Tetapi awas apabila fobia ini mengganggu fungsi kehidupan, ia tidak lagi dianggap normal," katanya.

Dari sudut perubatan, perasaan takut naik pesawat dipanggil aerophobia atau aviatophobia. Bagi mereka yang mengalami aerophobia atau aviatophobia, menaiki kapal terbang merupakan satu pengalaman yang mengerikan.

Perkara ini jelas Dr. Lotfi tidak boleh dipandang ringan kerana ia mengehad perkembangan kerjaya dan sosial seseorang. “Bayangkan bagaimana seorang ahli perniagaan yang perlu ke luar negara untuk membeli barang-barang keperluan perniagaan yang memang diketahui harganya lebih murah di sana.


“Atau bagaimana seseorang yang tidak dapat menziarahi ahli keluarga yang tinggal jauh atau tidak dapat menunaikan umrah dan haji di Mekah disebabkan masalah ini," katanya.

Dr. Lotfi berkata, biasanya seseorang yang mempunyai masalah aerophobia tidak tahu mereka mempunyai masalah ini sehinggalah mereka terpaksa menaiki kapal terbang untuk ke satu-satu tempat.

Tanda-tanda aerofobia boleh dialami seawal dua minggu dan keadaan semakin teruk apabila tarikh penerbangan semakin hampir. “Antara tanda-tanda tersebut ialah perasaan tertekan atau kerisauan melampau. Pelbagai persoalan bermain di fikiran.

“Antaranya berkenaan dengan bagaimanakah keadaan cuaca semasa dalam penerbangan nanti, kemungkinan sama ada pesawat akan mengalami ribut udara dan dalam keadaan ekstrem ada yang sehingga memikirkan kemungkinan sama ada pesawat yang dinaiki akan dirampas oleh pengganas atau terhempas di tengah lautan," katanya.

Mereka akan mengalami keadaan kecut perut dan berdebar-debar semasa menunggu di balai berlepas. Pernafasan mereka juga menjadi laju dan kelihatan resah gelisah. Semasa di dalam pesawat pula, mereka mendapat serangan panik atau muntah.

Pelbagai ragam tingkah laku boleh dilihat berdasarkan kepada apa persoalan yang bermain di fikiran mereka. Antaranya, ada penumpang yang hanya duduk diam di tempat duduk dan menahan diri daripada pergi ke tandas kerana takut jika berjalan akan menyebabkan keadaan pesawat tidak seimbang.

Ada juga yang mengelak daripada makan dan minum semasa penerbangan. Terdapat mereka yang suka duduk berdekatan tingkap kerana beranggapan mudah melihat sebarang perubahan cuaca di luar.

Ada yang sengaja menempah tempat duduk berhampiran pintu kecemasan dengan anggapan boleh menjadi orang pertama menyelamatkan diri sekiranya berlaku sesuatu malapetaka.

Dr. Lotfi berkata, merokok dan minum minuman keras akan memburukkan lagi keadaan. “Tetapi ada penumpang yang cuba menghilangkan kerisauan dengan merokok atau minum minuman keras secara berlebihan semasa menunggu di balai berlepas.

“Merokok tidak dibenarkan dalam penerbangan dan perokok tegar boleh mendapat nicotine withdrawal semasa di udara.

“Bagi penumpang kelas perniagaan yang mempunyai akses kepada minuman keras semasa penerbangan berisiko mengalami keadaan intoksikasi alkohol," katanya.

Kedua-dua keadaan ini, jelas Dr. Lotfi boleh menyebabkan air rage atau kelakuan agresif semasa dalam penerbangan.

“Sesiapa sahaja boleh mengalami masalah aerofobia. Dianggarkan satu daripada enam orang dewasa mengalami masalah ini. Aerofobia boleh berlaku dalam kalangan 35 peratus anak kapal dan juruterbang jika mereka terbang sebagai penumpang," katanya.

Jika berlaku nahas udara, keadaan menjadi lebih teruk apabila anak-anak kapal tidak hadir jalankan tugas.

Menyebut tentang punca aerofobia, Dr. Lotfi berkata, pengalaman silam tidak menyenangkan semasa menaiki pesawat buat kali pertama - boleh menjadi sebab utama.

Selain itu, ada juga mereka yang terkesan atau menjadi trauma dengan isu nahas udara yang pernah berlaku dan diberi liputan meluas di media.

Dr. Lotfi berkata, aerofobia juga boleh dikaitkan dengan jenis fobia yang lain. Masalah ini biasanya hanya dikenal pasti apabila mereka hadir untuk rawatan. Antaranya:

* Fobia kepada ketinggian semasa pesawat terbang.
* Fobia kepada ribut udara semasa pesawat terbang.

* Fobia kepada tempat terkurung semasa berada dalam pesawat.
* Fobia kepada tempat sesak atau ramai orang semasa berada dalam pesawat.

* Fobia kepada orang yang tidak dikenali semasa berhadapan dengan penumpang lain.
* Fobia tidak mampu mengawal keadaan sekiranya berlaku sesuatu yang buruk di dalam penerbangan.

* Fobia kepada serangan pengganas atau rampasan kapal terbang, fobia jenis ini paling banyak berlaku selepas insiden tragedi 9/11.

“Untuk mengatasi masalah aerofobia kita perlu fikir dahulu secara rasional data statistik keselamatan penerbangan sedia ada," katanya.

Pertama, pesawat udara dikenali sebagai pengangkut manusia paling selamat di dunia selepas penggunaan tangga bergerak atau lif.

Kedua, risiko seseorang terlibat dalam nahas udara adalah satu dalam 11 juta berbanding risiko kemalangan jalan raya iaitu satu dalam 5,000. Ini menunjukkan memandu kereta ke lapangan terbang lebih berbahaya daripada menaiki kapal terbang.

Ketiga, bagi mereka yang fobia kepada ribut udara, dimaklumkan 99 peratus daripada kecederaan penumpang disebabkan perkara ini kerana tali pinggang keledar tidak diikat ketat atau barangan jatuh dari tempat simpanan di atas kepala.

Ketiga-tiga data diharapkan dapat meredakan kerisauan golongan ini.

“Cara seterusnya adalah dengan mengawal kerisauan tersebut. Anda boleh dapatkan tips ringkas atau mendapatkan rawatan pakar melalui kaedah psikoterapi atau ubat-ubatan. “Ubat-ubatan terbukti lebih mudah mengawal kerisauan dan membantu anda tidur semasa perjalanan," katanya.

Sumber: Utusan

0 comments: