05 April 2014
Jimat Dengan Produk Cekap Tenaga
PENGGUNA tempatan cenderung tidak membeli produk cekap tenaga kerana harga yang mahal.
BAGI yang mengguna banyak peralatan eletrik di rumah, sebenarnya ada cara untuk mengurangkan bil elektrik anda, antaranya membeli barangan cekap tenaga.
Di Malaysia, produk elektrik cekap tenaga ini boleh dikenalpasti melalui label kecekapan tenaga 5 bintang.
Menurut Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, produk cekap tenaga didapati mengguna kuasa elektrik yang rendah tetapi masih berfungsi seperti produk elektrik yang biasa.
Beliau berkata, penggunaan barangan elektrik cekap tenaga juga dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida yang dikenalpasti sebagai satu daripada penyebab pemanasan global.
Memetik perangkaan Suruhanjaya Tenaga 2009, Piarapakaran memberitahu, sektor domestik menggunakan hampir 20 peratus daripada keseluruhan penggunaan elektrik negara dan menghasilkan 12.17 juta tan karbon dioksida.
"Sekiranya penggunaan elektrik oleh sektor domestik dapat dikurangkan di samping penjimatan dalam kalangan sektor komersial dan industri, tentu ia bukan sahaja menjimatkan tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar", jelas beliau.
DALAM mengawal pengeluaran dan pemasaran produk cekap tenaga, satu piawaian diperkenalkan dikenali sebagai Piawaian Minima Prestasi Tenaga.- Gambar hiasan
Produk murah
Bagaimanapun, pengguna perlu berhati-hati dengan lambakan produk cekap tenaga berkualiti rendah. Ini nasihat Piarapakaran kepada pengguna yang mungkin sudah membuat keputusan untuk membeli produk cekap tenaga.
Beliau menjelaskan, dalam mengawal pengeluaran dan pemasaran produk cekap tenaga, satu piawaian diperkenalkan dikenali sebagai "Piawaian Minima Prestasi Tenaga" (MEPS).
Kebanyakan negara maju, pasaran Eropah (EU) dan beberapa negara Asia Pasifik telah mula menguatkuasakan MEPS yang lebih ketat bagi beberapa kategori produk. Antara produk itu ialah peti sejuk, penghawa dingin, lampu, cerek elektrik, penyedut hampagas dan mesin basuh.
Katanya, peraturan MEPS yang ketat menyebabkan produk yang tidak cekap tenaga (kerana tidak dapat melepasi MEPS yang ditentukan) tidak dapat dijual di negara berkenaan.
"Produk ini kemudian membanjiri negara yang tidak mempunyai undang-undang atau peraturan yang menghalang kemasukan produk tidak cekap tenaga seperti Malaysia," kata Piarapakaran.
Masih kurang
Penggunaan produk cekap tenaga di negara ini masih di tahap yang belum memuaskan meskipun MEPS telah lama dilaksanakan di negara-negara maju juga beberapa negara di Asia Tenggara seperti Australia, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand.
Menurut Piarapakaran, pengguna di Malaysia lebih cenderung membeli produk tidak cekap tenaga memandangkan ia dijual dengan harga yang lebih murah. Pengguna yang membeli barangan itu tidak tahu produk sedemikian menggunakan kuasa elektrik yang tinggi sepanjang hayat penggunaannya.
"Dengan program rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan, kos tarif elektrik dijangka meningkat lagi. Ini sudah tentunya akan membebankan pengguna dalam jangka masa panjang jika mereka memiliki produk yang tidak cekap tenaga," jelas beliau.
Pasaran tempatan
Di pasaran Malaysia, produk cekap tenaga yang paling banyak dijual ialah produk pencahayaan iaitu lebih 60 peratus. Piarapakaran yang memberitahu penulis tentang perangkaan ini menambah produk cekap tenaga yang lain masih dalam peratus rendah.
"Dalam tinjauan dan perundingan dengan pemborong dan kedai kecil, kami dapati ia lebih disebabkan kos pelaburan awal yang tinggi serta ketiadaan pelaksanaan pelabelan kecekapan tenaga 5 bintang yang menyeluruh," katanya.
Mengenai punca utama harga produk cekap tenaga sangat mahal, beliau berkata ia disebabkan kartel dan pencatutan oleh pembekal serta pembuat produk ini.
"Kadang-kadang harga produk cekap tenaga boleh mencecah dua hingga 10 kali ganda produk tidak cekap tenaga," katanya.
Ditanya sama ada perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan mempengaruhi harga produk cekap tenaga, Piarapakaran berkata cukai itu adalah bagi produk berjenama.
"Jika mengikut kriteria, banyak produk cekap tenaga akan dikenakan GST. Pihak AWER ingin menyeru Kementerian Kewangan mengecualikan GST ke atas produk cekap tenaga yang tidak mempraktikkan kartel dan pencatutan.
"Buat masa ini, hampir semua produk cekap tenaga mempraktikkan kartel dan pencatutan," tambahnya.
PENGGUNAAN barangan elektrik cekap tenaga juga dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida. - Gambar hiasan
Piawaian minimum
Menurut Piarapakaran, pihak berkuasa tempatan mula melaksanakan MEPS mulai tahun 2014 apabila AWER melaporkan penemuan kajian yang dibuat pada tahun 2012 antaranya berhubung dengan lambakan produk murah dan tidak cekap tenaga.
AWER menjalankan kajian mengenai kecekapan tenaga bagi produk elektrik dan elektronik di Malaysia sejak tahun 2011 dan menyebarkan hasil kajian mulai tahun 2012.
Kajian ini adalah sebahagian daripada Projek Pembuatan dan Penggunaan Lestari yang ditaja Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, menurut Piarapakaran, nilai MEPS yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga, pada masa kini adalah pada nilai yang rendah.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan lambakan produk termasuk peti sejuk dan penghawa dingin yang tidak dapat melepasi MEPS di negara lain seperti Hong Kong, Singapura dan Eropah berada dalam pasaran negara ini.
Tegasnya, Suruhanjaya Tenaga perlu menangani masalah ini bagi mengelakkan Malaysia menjadi tapak pelupusan teknologi lama serta produk tidak cekap tenaga.
"Suruhanjaya Tenaga mesti meningkatkan nilai MEPS yang setaraf dengan negara lain pada kadar segera supaya produk yang tidak melepasi MEPS di negara lain tidak membanjiri pasaran Malaysia.
"Melalui kaedah ini, kerajaan dapat memastikan industri yang mematuhi undang-undang di Malaysia (termasuk Akta Persaingan dan MEPS) memperoleh manfaat.
"Ini juga akan menggalakkan lebih banyak produk cekap tenaga memasuki pasaran Malaysia," katanya.
Oleh Melati Mohd Ariff
Labels:
Teknologi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan