29 April 2014

Komitmen Kementerian Kesihatan Untuk Anak Autisme



Sejak tahun 1950-an lagi, kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia dapat menikmati kesihatan yang baik menerusi perkhidmatan penjagaan dan program kesihatan yang disediakan di seluruh negara.

Yang demikian, pertumbuhan kanak-kanak terutama dari segi berat dan tinggi, tahap perkembangan motor kasar, halus, pendengaran dan penglihatan serta psikososial / tingkahlaku sentiasa diberi perhatian sehingga mereka mencapai usia remaja.

Kanak-kanak negara ini turut berpeluang menjalani aktiviti pendidikan kesihatan, aktiviti pencegahan seperti imunisasi, pengesanan awal penyakit atau ketidakupayaan, rawatan awal dan rehabilitasi.


Menurut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), perkhidmatan itu disediakan untuk bayi baru lahir dan kanak-kanak melalui 1,025 klinik kesihatan dan 1,831 klinik desa serta 219 pasukan klinik bergerak.

Semua klinik kesihatan ini menjalankan penilaian perkembangan bagi pengesanan awal masalah ketidakupayaan. Perkhidmatan tersebut melibatkan penjagaan yang berterusan dan kehadiran ke klinik mengikut jadual.

Menurut KKM ia penting untuk menilai tahap kesihatan bayi dan kanak-kanak. Bagaimanapun, mengesani masalah kesihatan yang sukar dilihat seperti autisme adalah benar-benar satu cabaran.



Hari Kesedaran Autisme Sedunia

Hari Kesedaran Autisme Sedunia atau World Autism Awareness Day telah diadakan setiap tahun sejak 9 September 1989. Sambutan ini telah ditetapkan di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada 18 Disember 2007, dalam resolusi "62/139. Hari Kesedaran Autisme Sedunia". Resolusi ini dicadangkan oleh perwakilan Qatar, dan disokong oleh semua anggota PBB. [Sumber: Wikipedia]

KANAK-KANAK AUTISME

Autisme adalah masalah gangguan perkembangan otak sepanjang hayat yang mempengaruhi bagaimana seseorang penghidap autisme itu berkomunikasi, berinteraksi secara sosial serta memahami dunia di sekeliling mereka dan mengalami masalah tingkahlaku spesifik.

Ia adalah satu keadaan spektrum yang menyebabkan penghidap autisme berhadapan dengan kesukaran tertentu. Keadaan sedemikian akan memberi kesan kepada mereka dalam cara yang berbeza.

Bagi kanak-kanak autisme, mengenalpasti ciri-ciri autisme di peringkat awal umur dan menjalankan intervensi awal boleh mengatasi kekurangan yang dialami.

Intervensi awal ini dapat membantu meningkatkan kualiti hidup dan fungsi berdikari mereka.

SARINGAN M-CHAT

Data KKM pada 2004 menunjukkan hanya 20 peratus kes autisme dikesan awal iaitu di bawah umur empat tahun manakala sebahagian besar dikesan semasa alam persekolahan iaitu antara 4-12 tahun.

Pada tahun 2005, KKM melakukan kajian mengenai penggunaan senarai semak untuk saringan autisme m-chat (modified-checklist for autism in toddlers). Saringan itu dijalankan di pusat penjagaan kesihatan primer di lima negeri.

Saringan kes autisme menggunakan m-chat dijalankan ke atas bayi berumur antara 18 bulan dan tiga tahun. Hasil dapatan kajian mengesyorkan senarai semak m-chat dimasukkan ke dalam buku rekod kesihatan kanak-kanak.

Ekoran daripada itu, bermula tahun 2008, buku rekod ini telah dilaksanakan secara berperingkat dan diperluaskan ke semua negeri pada akhir 2012.

Oleh yang demikian pelaksanaan m-chat bagi memastikan pengesanan awal autisme menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan. Sehingga kini, pengesanan awal kanak-kanak autisme dapat ditingkat sebelum berumur empat tahun.

PENEKANAN SEWAKTU PEMERIKSAAN KESIHATAN

Terdapat dua prinsip utama perlu diikuti semasa pemeriksaan kesihatan iaitu mengenalpasti ketidakupayaan seawal mungkin dan menjalankan intervensi awal berdasarkan masalah yang dihadapi.

Hal ini penting kerana kadar tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak berlaku dengan pesat pada peringkat usia bawah lima tahun, iaitu yang disebut sebagai "tempoh kritikal pertumbuhan dan perkembangan".

Ibu bapa juga perlu berbincang dengan anggota kesihatan jika mereka berpendapat bayi dan kanak-kanak mempunyai masalah khusus.

SIMPTOM PERLU DILIHAT

Kejayaan dalam program pengendalian masalah autisme memerlukan usahasama pelbagai disiplin. Jururawat yang dilatih menjalankan saringan m-chat dan merujuk kes kepada pakar/pegawai perubatan. Pakar perubatan keluarga di klinik kesihatan membuat diagnosis kes autisme.

Intervensi awal dapat dimulakan oleh pasukan pelbagai disiplin bersama pakar pediatrik, pakar psikiatrik, juru pulih perubatan, pegawai kerja sosial perubatan, jururawat, penjaga dan agen selain berkaitan.

Antara bahan rujukan yang digunakan semasa intervensi adalah 'Care of Children With Special Needs: Manual on the Management of Children with Personal and Social Problems (2007, KKM).

Selain itu, anggota kesihatan menjalankan intervensi bagi autisme di Pusat Pemulihan Komuniti (PDK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Promosi dan pendidikan kesihatan yang berterusan dilaksanakan kepada masyarakat, guru sekolah dan pekerja PDK. Selain bahan pendidikan kesihatan seperti poster yang diedarkan ke semua fasiliti kesihatan bagi memaklumkan ciri-ciri autisme.

Pengesanan dan intervensi awal ini adalah untuk memastikan kanak-kanak sentiasa sihat dan dapat mencapai tahap perkembangan yang optimum dan menjadi orang dewasa yang produktif untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Ia memerlukan sokongan serta penglibatan setiap penjaga dan ahli keluarga dalam penjagaan kanak-kanak autisme.

Oleh Nurul Halawati Azhari
Sumber: BERNAMA

0 comments: