28 April 2014
Periodontal Masalah Gigi Yang Serius
Apabila menyebut masalah sakit gigi, pasti ramai yang mencuka kerana tidak mahu mengingati peristiwa sakit gigi, berjumpa dengan pakar pergigian atau menahan sakit mencabut gigi.
Lazimnya, kesihatan mulut dan gigi ini adalah perkara yang kurang diberi perhatian tetapi hanya apabila sudah mengalami sakit gigi barulah perkara ini diambil berat.
Pakar Pergigian, Dr. Soon Tat Tiew berkata, masalah gigi yang paling menggerunkan dan pada tahap yang serius dikenali sebagai periodontal.
Beliau yang berpengalaman lebih 15 tahun merawat penyakit tersebut menjelaskan, ia adalah masalah yang boleh menyebabkan gigi mudah longgar dan tercabut.
Periodontal ialah masalah jangkitan di sekitar gigi, struktur gigi, gusi, tulang dan gusi periodontal akibat pengumpulan bakteria pada plak.
“Statistik yang mendedahkan kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia berdepan dengan masalah gusi dengan lebih 30 peratus berada pada tahap serius.
“Apabila plak bakteria ini terkumpul, ia menyebabkan gusi mengalami radang lalu bertukar merah dan teksturnya menjadi lembik,” ujarnya.
Akibatnya, gusi terasa pedih kerana bengkak dan mudah berdarah semasa menggosok gigi, makan mahupun ketika menelan air liur.
Keadaan ini adalah simptom periodontal selain masalah seperti gusi berbau busuk. Simptom paling serius berlaku apabila gusi mengecil sehingga akar-akar terdedah dan menyebabkan gigi menjadi sangat sensitif.
Lebih mengejutkan, Tat Tiew juga mengaitkan masalah gusi dengan penyakit kronik seperti masalah jantung apabila bakteria dalam mulut terperangkap dalam badan dan masalah penyakit diabetes kepada ibu hamil dan bayi baru lahir.
Semuanya berlaku kerana tidak menjaga kebersihan mulut. Akibatnya, bakteria memakan sisa makanan dan merembeskan toksik yang menyebabkan gusi lekang daripada gigi, seterusnya membentuk lekuk antara gigi dan gusi.
JANGAN memandang remeh masalah kesihatan gigi kerana ia boleh membawa kepada implikasi yang tidak dijangka seperti periodontal.
Masalah periodontal sebenarnya terbahagi kepada tiga peringkat bermula dengan masalah gigivitis. Ia adalah peringkat yang boleh diperbetulkan dengan mengawal masalah jangkitan bakteria.
Mengosok gigi, membersihkan mulut, flos, diet yang baik dan rawatan laser boleh membantu tahap awal masalah gigi seperti periodontal. Ia diikuti tahap awal peridontal dan tahap akhir yang berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan mulut.
Bagi mengelak dan menjaga kebersihan mulut, semua orang disaran agar membuat pemeriksaan gigi.
“Namun 95 peratus pesakit hanya datang selepas mereka mengalami sakit, kebanyakan mereka pada tahap yang serius iaitu selepas gusi bertukar warna kepada merah gelap. Akibatnya, mereka terpaksa melalui beberapa sesi rawatan untuk pembersihan setiap tiga bulan sekali,” jelas beliau.
Sumber: Kosmo
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan