30 April 2014

MaGIC Bantu Usahawan Beroperasi

MAGIC
Bangunan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya.

Penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) yang dilancarkan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Cyberjaya pada 27 April  2014 bakal menjadi saksi kepada lahirnya satu lagi landasan untuk memberi sokongan dan semangat kepada keusahawanan tempatan.

Selepas pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Sidang Kemuncak Keusahawan Global kali keempat di Kuala Lumpur, Oktober 2013 lalu, kini MaGIC akan memulakan operasi.

Hasrat untuk menjadikan ia pusat sehenti kepada usahawan akan merancakkan kegiatan keusahawanan di negara ini.


Apakah MaGIC

MaGIC bakal memberikan kelebihan kepada belia dan usahawan muda untuk melonjakkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Program '1Malaysia Entrepreneurs' (1MET) bagi menggalakkan belia menyertai program keusahawanan berkenaan.

Gagasan MaGIC ini diumumkan oleh Perdana Menteri ketika merasmikan Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) Keempat di Kuala Lumpur Oktober 2013. MaGIC bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik dengan membolehkan pengusaha tempatan dan antarabangsa memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pusat ini direka untuk menjadi pusat sehenti untuk usahawan, yang akan menyediakan setiap kemudahan yang diperlukan oleh seorang usahawan, daripada mendapatkan pembiayaan dari bank-bank atau pemodal teroka untuk menyediakan inkubator bagi membangunkan syarikat permulaan untuk memperbaiki produk atau perkhidmatan mereka.

Pusat itu juga akan membantu dalam pendaftaran harta intelek dan menyediakan kemudahan untuk latihan, bimbingan dan mentor.

Peranan

MaGIC diwujudkan bertujuan untuk mengumpul usahawan-usahawan bagi diberikan bimbingan, kemudahan pembiayaan serta membentuk serta membangunkan produk mereka sendiri.

Secara khususnya, MaGIC mahu melahirkan ramai usahawan tempatan yang akhirnya berjaya menghasilkan jenama-jenama bertaraf antarabangsa seperti Facebook, Apple mahupun Samsung, jenama terkenal Korea Selatan.

MaGIC merupakan pusat yang menyediakan landasan mudah cara lengkap untuk membantu usahawan tempatan mengembangkan operasi mereka.

Paling terbaharu, MaGIC berjaya membentuk kerjasama dengan dua organisasi terkemuka Amerika Syarikat iaitu Universiti Stanford dan UP Global untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang lebih bertenaga di Malaysia.

Universiti Stanford merupakan satu daripada institusi pengajian tinggi terkenal dari Lembah Silikon di California dan akan bekerjasama untuk menyerapkan kurikulum keusahawanan dalam universiti di Malaysia. UP Global pula akan bekerjasama untuk meningkatkan aktiviti keusahawanan dan pembentukan syarikat baharu di Malaysia.


Najib Tun Razak dan Barack Obama bersama peserta-peserta program Code for Malaysia sempena pelancaran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya.

Magic bantu usahawan muda ke antarabangsa

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tujuan kerajaan mewujudkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) adalah bagi membuka peluang kepada golongan muda merealisasikan impian mereka. Perdana Menteri memberitahu, kerajaan mempunyai tanggungjawab membantu golongan muda untuk mencapai matlamat tersebut.

Beliau turut menyifatkan inisiatif yang diilhamkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama itu sebagai kaedah yang berkesan untuk membantu usahawan teknologi muda.

"Jika kita ingin mengubah dunia, kita perlu memulakannya dengan golongan muda. Golongan muda mempunyai tenaga, semangat dan kreativiti namun mereka memerlukan ekosistem yang membolehkan mereka menjadikan impian sebagai realiti," katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran MaGIC di Cyberjaya.

Najib menambah, MaGIC bersedia membantu usahawan teknologi muda dengan menyediakan modal teroka dan modal permulaan untuk perniagaan mereka. Bimbingan juga diberikan dari segi teknikal, perancangan perniagaan serta penyelidikan dan pembangunan.

"Saya amat teruja dengan inisiatif ini dan percaya MaGIC boleh menjadi pemangkin kepada kemunculan lebih ramai usahawan teknologi muda," ujarnya.

Perdana Menteri juga yakin kejayaan usahawan teknologi muda di bawah MaGIC akan memberi kesan positif terhadap ekonomi negara dan dunia.

Kemudahan

‪Berdasarkan perancangan, pusat tersebut berperanan membantu usahawan untuk memohon pembiayaan kewangan dari institusi perbankan dan menyalurkan modal teroka kepada syarikat inkubator serta syarikat baharu yang berdaya saing.‬

‪MAGIC turut akan menyediakan kemudahan latihan, bimbingan dan pementoran serta pendaftaran harta intelektual.

‪"Kewujudan pusat tersebut adalah bersesuaian dengan fungsi Cyberjaya yang menempatkan syarikat yang berkecimpung dalam bidang multimedia kreatif, penyelidikan dan pembangunan, khidmat luaran serta pengurusan data," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

‪Kerajaan turut memperuntukkan modal pemula RM50 juta kepada MaGIC untuk melahirkan golongan usahawan yang lebih membangun terutama dari segi kualiti dan daya saing.‬

CEO MaGIC

‪Bagi menjamin matlamat itu tercapai, usahawan muda, Cheryl Yeoh dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MaGIC.‬

‪Yeoh, 30, tidak asing lagi dalam dunia keusahawanan kerana peranannya sebagai pengasas syarikat pemula atau 'startup' berasaskan teknologi, inovasi dan kreatif iaitu Reclip.It dan CityPockets.‬

‪Reclip.It merupakan syarikat yang menyenaraikan kupon digital dan iklan secara berkala dari jenama besar seperti Walmart, Macy’s, Target dan banyak lagi.‬

‪"Saya teruja untuk memberi sumbangan dan terlibat secara dekat dengan MaGIC. Ia adalah  peluang buat saya untuk membalas jasa baik kerajaan selepas memberi saya biasiswa penuh bagi melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat," katanya dalam laman blog Startup War Stories from Chery Yeoh.

‪Yeoh turut memperoleh pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa antaranya ’44 Usahawanita Yang Anda Perlu Tahu’ oleh Mashable dan 10 Wanita Terkenal Dalam Dunia Digital oleh L’Oreal.‬

‪Pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang kejuruteraan di Cornel University itu juga diberi penghormatan untuk berucap pada persidangan TEDxKLwomen 2013 yang diadakan di Kuala Lumpur, Disember 201.‬ Dalam persidangan itu, Yeoh berkongsi cerita mengenai pengalamannya dan pencapaian yang diperoleh untuk memberi inspirasi kepada usahawan wanita di negara ini.‬

Sumber Asal Artikel:
1. Artikel Oleh: SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM, Sumber: MStar [20042014]
2. Artikel Oleh: JOHARDY IBRAHIM, Sumber: Utusan [27042014]
3. Artikel Daripada Sinar Harian [27042014]
4. Artikel Daripada Utusan [28042014]

0 comments: