24 April 2014
Malaysia Perlu Tenaga Boleh Baharu
RAMAI tidak sedar kepentingan Tenaga Boleh Baharu atau Renewable Energy (RE) kepada negara. Mereka tertanya-tanya mengenai caj tambahan sebanyak satu peratus dikenakan kepada semua pengguna elektrik termasuk pengguna industri dan komersil sejak 1 Disember 2011, sebelum caj itu dinaikkan kepada 1.6 peratus bermula tahun 2014.
Pengecualian hanya diberikan kepada pengguna kediaman yang menggunakan elektrik kurang 300 kWh sebulan.
Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) Dr Ali Askar Sher Mohamad berkata, Tenaga Nasional Bhd (TNB) bertanggungjawab mengutip amaun itu setiap bulan dengan cara caj tambahan itu dimasukkan ke dalam bil elektrik TNB.
“Setelah mengutip bayaran tersebut, TNB akan menghantar jumlah yang dikutip setiap bulan kepada Seda untuk dimasukkan dalam Tabung Tenaga Boleh Diperbaharui (TBB),” katanya.
Ali Askar berkata, sehingga September 2013, jumlah kutipan (caj 1 peratus) untuk RE melebihi RM400 juta.
Loji tenaga boleh diperbaharui biogas Biopower Climate Care di Palong, Negeri Sembilan.
Caj 1.6 peratus bukan disebabkan tarif elektrik
Berkuat kuasa 1 Januari 2014, kadar elektrik naik 14.98 peratus atau 4.99 sen kepada 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan lima sen bagi Sabah dan Labuan.
Sementara itu, caj untuk TBB turut dinaikkan daripada satu peratus kepada 1.6 peratus mulai 1 Januari 2014.
Ramai menganggap kenaikan caj itu disebabkan kenaikan tarif elektrik tetapi Ali Askar menafikannya.
“Kenaikan caj RE disebabkan kerajaan mahu perbanyakkan lagi kapasiti tenaga boleh diperbaharui di negara ini. Perancangan asal adalah untuk menaikkan kepada dua peratus mulai 1 Januari 2013,” katanya.
Namun katanya, ia ditangguhkan sehingga 1 Januari 2014 dan dikurangkan kepada 1.6 peratus sahaja.
Kebaikan tenaga boleh baharu
Ali Askar berkata, RE masih baharu di negara Malaysia dan penggunaannya memberikan kebaikan terutama kepada alam sekitar, sumber asli dan ekonomi.
“Penggunaan RE boleh menjamin keselamatan bekalan tenaga elektrik negara kerana mengurangkan pergantungan kepada bahan api yang diimport seperti arang batu. Ia juga memberikan kepelbagaian sumber penjanaan tenaga elektrik supaya kita tidak bergantung kepada satu jenis sumber sahaja.
“RE juga membantu memelihara alam sekitar kerana pengeluaran gas rumah hijau lebih kecil berbanding dengan membakar bahan api fosil. Selain itu, dengan adanya industri RE di Malaysia, ia mewujudkan peluang pekerjaan dalam teknologi baharu,” jelas beliau.
Insentif kepada pengguna RE
Kerajaan memberikan pelbagai manfaat kepada pengguna RE. Pengguna yang memasang sistem fotovoltaik di rumah akan mendapat bayaran bulanan dari TNB untuk elektrik yang dijana selama 21 tahun.
“Pengguna yang tidak memasang sistem ini juga dapat manfaat dari segi alam sekitar lebih bersih kerana pengurangan penjanaan tenaga elektrik dari bahan api fosil,” katanya.
Ali Askar berkata, kos yang digunakan untuk menggunakan RE berbeza mengikut teknologi dan saiz projek dan akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju atau pemilik sendiri.
Tetapi selepas itu, mereka akan mendapat bayaran bulanan untuk elektrik yang dijana melalui pembayaran tarif galakan (FiT).
“Kami harap semua pengguna elektrik di Malaysia dapat menyokong usaha kerajaan untuk meluaskan penjanaan tenaga boleh baharu di Malaysia.
“Sumbangan kita sebanyak 1.6 peratus adalah sangat kecil berbanding dengan faedah yang akan diperolehi oleh negara dari segi jaminan bekalan tenaga, pengurangan pengeluaran gas rumah hijau dan pewujudan peluang pekerjaan dalam industri baharu,” katanya.
Menurutnya, Seda menyasarkan tahun ini, penjanaan tenaga boleh baharu akan bertambah sebanyak 100 MW lagi.
Projek Seda disambut baik pengguna
Menurut Ali Askar, pada masa ini, Seda melaksanakan pelbagai projek RE iaitu hidro kecil, biojisim, biogas dan fotovoltaik di seluruh negara.
Sistem fotovoltaik terbahagi kepada sistem komersil dan sistem individu yang sesuai untuk pengguna rumah kediaman.
“Projek ini ada di seluruh negara kecuali Sarawak sebab Akta Tenaga Boleh Baharu tidak terpakai di sana,” katanya.
Ali Askar berkata, walaupun masih baru dan belum meluas, projek ini mendapat sambutan baik rakyat.
“Permohonan untuk fotovoltaik komersil jauh lebih banyak daripada kuota yang tersedia. Sistem fotovoltaik untuk rumah kediaman juga mendapat sambutan amat menggalakkan sejak beberapa bulan lalu sehingga semua kuota habis dilanggani,” katanya.
Oleh: NORSHAHZURA MAT ZUKI
Sumber: Sinar Harian [24 Mac 2014]
Labels:
Teknologi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan