23 April 2014

Perodua Menuju Standard Global



PENUBUHAN Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) pada tahun 1993 yang merupakan kerjasama antara syarikat Malaysia dan Jepun membuka lembaran baharu dalam landskap industri automotif tempatan.

Setahun selepas kewujudannya, Perodua memperkenalkan produk pertamanya iaitu Perodua Kancil. Tindakan itu membuktikan kebijaksanaan Perodua memahami keperluan para pengguna tempatan. Perodua Kancil membolehkan lebih ramai pengguna memiliki sebuah kereta terutama dalam kalangan pengguna berpendapatan sederhana.

Tidak terhenti di situ sahaja, Perodua kemudiannya tampil dengan pelbagai model untuk kegunaan masyarakat berpendapatan rendah hingga tinggi. Sehingga kini, lebih kurang dua juta kenderaan Perodua berjaya menemui pemilik baharu. Syarikat automotif itu berjaya menyentuh, mengubah dan memudahkan kehidupan sebahagian besar rakyat Malaysia. Terima kasih Perodua.


Setelah berusia 20 tahun, Perodua mengumumkan hajat mahu mengubah perjalanan syarikat agar lebih berdaya saing dan mahu duduk sebaris di persada global. Hajat itu diterjemahkan menerusi pengumuman pelan Tahun Transformasi Perodua.


ASPEK kebersihan menjadi amalan para pekerja Perodua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, transformasi itu amat penting kerana trend pasaran semasa sudah berubah sejak beberapa tahun lalu.

Dia memberitahu, Perodua dan Proton tidak lagi memiliki dominasi seperti mana yang pernah dikecapi sebelum ini dan pengumuman Dasar Automotif Negara (DAN) menjadikan landskap pasaran semakin berdaya saing.

Perkara itu diumumkan Aminar Rashid dalam satu taklimat khas bersama pengamal media di ibu pejabat Perodua di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Pelan tranformasi itu merangkumi rancangan holistik apabila merangkul beberapa perkara penting termasuk pembinaan kilang baharu, kecekapan pelaksanaan kerja, kos, pembangunan modal insan serta soal kebajikan para pekerja.


TEKNOLOGI robot akan membantu mengurangkan kadar kerosakan penghasilan kenderaan di fasiliti pengeluaran baharu milik Perodua.

“Bercakap mengenai transformasi, sebahagian daripadanya ialah kos. Apa yang penting ialah QCD iaitu kualiti, kos dan penghantaran. Kita memang sasarkan penjimatan tetapi ia adalah satu proses yang berterusan. Kos yang kita jimatkan sudah tentu kita turunkan kepada pengguna melalui model-model yang dikeluarkan,” jelas Aminar Rashid.

Kilang bersih

Langkah transformasi pertama bermula dengan pengumuman pembinaan kilang baharu yang akan menghasilkan model-model terkini syarikat itu. Kilang yang menelan perbelanjaan sebanyak RM790 juta itu bakal dilancarkan pada separuh kedua tahun ini. Fasiliti itu juga dilengkapi sebuah litar untuk melaksanakan ujian produk-produk baharu. Kilang itu dinamakan sebagai Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd. (PGMSB).

Bagi mengoptimumkan kecekapan, kilang itu bakal menggunakan nisbah teknologi robot sebanyak 70 peratus berbanding dengan kilang sedia ada yang hanya mengguna pakai 30 peratus sahaja.

Penggunaan robot melibatkan tugas-tugas kimpalan kenderaan akan meningkatkan tahap kualiti sedia ada sekali gus membantu Perodua mencapai sasaran kadar kecacatan pada paras 0.005 seunit. Kilang baharu itu membuka peluang pekerjaan kepada 1,200 orang. Kilang lama pula menggunakan seramai 6,000 tenaga kerja buat masa ini.

Bagi memastikan aliran tempat kerja lebih berkualiti, Perodua mengutarakan idea menggunakan watak anime Pokemon, Pikachu sebagai maskot untuk melonjakkan semangat kerja dalam kalangan pekerjanya. Gambar maskot itu akan ditampal di bahagian-bahagian yang berjaya menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.


MASKOT Pikachu ditampal pada semua bahagian yang berjaya menepati piawaian kebersihan.

Pembangunan Modal Insan Pekerja

Perodua turut melabur bagi menzahirkan objektif Pembangunan Modal Insan para pekerjanya yang merangkumi pakaian, keselamatan dan kelakuan di tempat kerja. Bagi pekerja yang sudah disahkan jawatannya, mereka bakal mengikuti kursus Dojo.

Kursus Dojo akan mendedahkan perincian lanjut kepada setiap pekerja berhubung fungsi setiap bahagian dalam sebuah kereta dan apakah fungsinya selain mengenal pasti punca-punca kerosakan pada kenderaan.

Perodua bukan sebuah entiti yang tahu mengira untung rugi dalam akaun semata-mata. Syarikat itu sebenarnya menyayangi institusi kekeluargaan dan kebajikan para pekerjanya. Sifat itu dizahirkan dengan tindakan mendirikan sebuah masjid untuk kesenangan kakitangan dan masyarakat setempat. Selain itu, Perodua turut menyediakan sebuah pusat jagaan harian untuk anak-anak pekerjanya.

“Kos penjagaan harian itu diberikan subsidi dan saya rasa ia memberi ketenangan kepada pekerja kami apabila anak-anak kecil berada dekat dengan mereka.

“Jika ada kerja tertangguh, mereka tidak akan tertekan kerana lewat untuk menjemput anak-anak mereka di pusat jagaan swasta,” kata Aminar Rashid.

Kenderaan cekap tenaga

Menyentuh status semasa kenderaan model baharu yang akan ditawarkan kelak, Aminar Rashid mendedahkan bahawa ia juga tergolong dalam kategori penjimatan bahan api. Pendek kata, ia sebuah kenderaan cekap tenaga (EEV) dan selari dengan hala tuju Dasar Automotif Negara (DAN) 2014.

“Model baharu ini lebih menjimatkan berbanding model-model yang dikeluarkan sebelum ini. Walaupun kompak tetapi ia menawarkan ruang yang luas di samping reka bentuk yang menarik,” katanya.

Jika diamati keseluruhan rancangan transformasi Perodua, ia jelas menggambarkan syarikat itu tidak mahu berada dalam liga persaingan sedia ada. Institusi itu mahu bangkit bersaing dengan lebih dinamik.

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Sumber: Kosmo

0 comments: