20 April 2014

Pilih Kursus Ada Akreditasi MQA



Penuntut yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dinasihati supaya memilih kursus yang mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Dr Syed Ahmad Hussein berkata, pemilihan kursus yang mempunyai akreditasi MQA penting bagi pengiktirafan ijazah atau diploma untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan dalam sektor awam mahupun swasta.

“Bagi MQA tugas kami yang utama memastikan bahawa program yang ditawarkan oleh IPT, sekurang-kurangnya memenuhi standard yang minimum dan ia tidak statik, saban tahun jaminan kualiti IPT terbabit akan bertambah baik melalui akreditasi MQA,” katanya.


Daripada jumlah itu 1,076 program berakreditasi sementara diluluskan manakala 731 permohonan diluluskan bagi program berakreditasi penuh” Syed Ahmad Hussein” Ketua Pegawai Eksekutif MQA

Jaminan kualiti

Syed Ahmad berkata, MQA adalah institusi tunggal di negara ini yang menetapkan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan menjadi pusat rujukan untuk kriteria atau standard kelayakan sesuatu bidang pengajian.

Pada 2013, MQA menerima 1,093 permohonan program akreditasi sementara dan 753 permohonan untuk akreditasi penuh.

“Daripada jumlah itu 1,076 program berakreditasi sementara diluluskan manakala 731 permohonan diluluskan bagi program berakreditasi penuh,” katanya.

Penuntut yang ditawarkan kursus tetapi kemudian mendapati kursus berkenaan tidak mempunyai akreditasi MQA boleh membuat aduan kepada pihaknya untuk tindakan.

Syed Ahmad berkata MQA sentiasa menyambut baik sesiapa sahaja yang mahu berbincang dan bertanya mengenai status sesebuah program di universiti tempatan.

“Kita minta pelajar dan ibu bapa datang dan berbincang dengan kami dahulu. Tanyalah apa-apa sahaja, kami bersedia membantu,” katanya.

Pelajar yang ingin mengetahui status akreditasi dan maklumat sesuatu program boleh melayari laman sesawang di http://www.mqa.gov.my/mqr/.

Sumber: BHarian [2014/04/19]