21 April 2014

Aplikasi Sistem Galas Getah Asli Dalam Struktur Binaan


Galas Getah ~ Tahan gempa 8 Skala Ritcher

SEKALI lagi kejayaan Malaysia terpahat di mata dunia apabila Jambatan Kedua Pulau Pinang atau nama rasminya Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dilengkapi dengan sistem galas getah redaman tinggi atau 'high damping rubber bearing system' (HDRB) yang mampu menahan kesan gegaran gempa bumi sehingga 8.2 pada Skala Richter pada jarak 300 kilometer daripada punca gempa bumi.

Jambatan ini adalah yang pertama dan terpanjang dilengkapi HDRB menggunakan teknologi dan saintis tempatan dari Lembaga Getah Malaysia (LGM). HDRB ialah produk daripada getah asli yang direka bentuk oleh Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di United Kingdom dengan kerjasama Pusat Teknologi Getah (RTC) di Sungai Buluh, Selangor - kedua-duanya makmal milik LGM.

Jambatan berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 1 Mac 2014 yang kemudian dinamakan bersempena Yang di-Pertuan Agong Ke-14.


Projek mega yang menelan belanja RM4.5 bilion itu dikendalikan oleh kontraktor China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC) dan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) sebagai pemegang konsesi selama 45 tahun.

Panjang jambatan ini ialah 24 kilometer, 17 kilometer daripada jambatan ini merentasi Selat Selatan, selat yang menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Perai, 1.5 kilometer berada di kawasan Batu Maung, sementara enam kilometer berada di kawasan Batu Kawan selain terdapat enam persimpangan lebuh raya.

Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr. Salmiah Ahmad berkata, sejarah penggunaan galas getah asli telah lama digunakan. Galas getah digunakan untuk mengurangkan gegaran, menyerap hentakan dan penebat bunyi.

“Contoh klasik galas getah ialah Pelham Bridge, London yang masih teguh sehingga kini. “Jambatan rel kereta api ini yang dibina pada tahun 1957 adalah jambatan pertama di dunia menggunakan galas getah bagi menyerap gegaran di jambatan," katanya.

Kemudian sebuah lagi bangunan di London, tapak Albany Court menggunakan galas getah bagi menyerap gegaran daripada stesen dan laluan kereta api yang berhampiran.

Dr. Salmiah berkata, LGM dengan kerjasama makmalnya, TARRC menghasilkan HDRB bagi kegunaan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

“Perkara ini diputuskan ekoran tsunami Aceh yang melanda pada 2004 telah menyebabkan kerosakan di beberapa kawasan di sepanjang pantai Barat Semenanjung Malaysia seperti Langkawi dan Pulau Pinang," katanya.



Perbincangan antara LGM, TARRC dan RTC telah menghasilkan HDRB yang boleh menyerap gempa bumi sehingga lapan Skala Ritcher.

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Naib Pengerusi Pusat Penyelidikan TARRC, Dr. Kamarudin Ab-Malek berkata, galas getah asli mempunyai banyak kegunaan selain menyerap gegaran ia juga digunakan untuk menyerap bunyi.

“Pembinaan HDRB bagi jambatan ini dilakukan dengan kerjasama makmal RTC di Sungai Buluh dan TARRC di London.

“"Semuanya dilakukan dengan teliti bermula dengan prototaip, ujian dan pengesahan sehingga pemasangan ke tapak projek," katanya.

Galas getah HDRB yang digunakan, dikeluar dan diuji oleh sebuah syarikat tempatan di Klang, Selangor di bawah pengawasan RTC Sungai Buluh. Reka bentuk galas getah dan kualitinya bertepatan dengan piawaian seismik Eropah EN 1998 Eurocode 8.

Ditanya mengenai kos tambahan yang diperlukan untuk galas getah, Dr. Kamarudin berkata, kos yang diperlukan tidak banyak berbeza dibandingkan dengan kaedah konvensional.

Mengenai jangka hayat galas getah yang digunakan, Dr. Kamarudin berkata, galas getah yang digunakan di Pelham Bridge sejak tahun 1957 masih utuh walaupun tanpa penyelengaraan rapi.

Kerajaan United Kingdom (UK) juga menggunakan galas getah bagi melindungi fasiliti kapal selam nuklear mereka.



“Galas getah ini banyak digunakan untuk melindungi bangunan kritikal seperti peralatan tentera dan hospital.

“Contoh terbaik ialah gempa bumi yang berlaku di Northbridge, Amerika Syarikat (AS) pada 1994 dengan kekuatan 6.7 skala Ritcher, di mana terdapat dua buah hospital dalam jarak satu kilometer mengalami gempa bumi," katanya.

Hospital Universiti USC (USCUH) yang didirikan di atas 149 galas getah anti seismik dapat menyerap sehingga 70 peratus gegaran. Malah pakar bedah dapat melakukan pembedahan di tingkat empat hospital berkenaan dengan selamat semasa gempa bumi.

Manakala Hospital Besar LA County (LACGH) yang tidak menggunakan galas getah musnah dan mengalami kerugian beratus juta dolar AS dan terpaksa dirobohkan.

Galas getah telah banyak digunakan di serata dunia termasuk Jepun, Indonesia, Algeria, Iran, AS dan UK.

Namun sesuatu yang menarik untuk diperkatakan tentang apabila kerajaan Malaysia pada tahun 1980-an mengambil keputusan tidak mempatenkan inovasi galas getah bagi menggalakkan negara membangun menggunakan teknologi berkenaan untuk membantu menyelamatkan nyawa dan harta benda.

TARRC telah menerima Anugerah Prince Philips di Istana Buckingham, London hasil inovasi galas getah pada tahun 1990.

Sumber: Utusan

0 comments: