23 Mei 2014

Indahnya Nikmat Ibu Mengandung

ibu hamil
Wanita hamil yang kurang berkemampuan diberi kemudahan lakukan beribadah - Gambar hiasan

MENGANDUNG adalah saat yang diimpikan seorang wanita bergelar isteri. Kelebihan ibu hamil adalah ALLAH SWT memberikan keringanan (rukhsah) dalam melakukan ibadah seperti solat.

Jika bersolat di surau atau masjid, kita mungkin melihat ibu mengandung menunaikan solat secara duduk atau duduk di atas kerusi. Pernah terdengar orang mengata, “Tadi berjalan elok je, kenapa bila solat, dia duduk.”

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Riwayat Ahmad)


Pensyarah Akademik Pengajian Islam Kontemporari (Acis), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood menyifatkan situasi itu adalah kemudahan diberikan ALLAH kepada mereka yang mempunyai alasan kukuh.

“Solat adalah perkara diwajibkan ke atas umat Islam, tak kira dalam keadaan sihat atau sakit selagi dia berada dalam ruang lingkup syarat wajib solat.

“Solat tidak boleh ditinggalkan kerana itu adalah ibadah utama Muslim. Bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk mengerjakan solat secara berdiri, dibolehkan baginya solat mengikut kemampuannya seperti duduk ataupun baring.

“Begitu juga wanita hamil yang mengalami kesukaran berbeza antara satu sama lain. Jika wanita itu mampu bersolat secara berdiri dengan sempurna, maka diwajibkan ke atasnya solat berdiri.

“Sekiranya dia tidak mampu berdiri, dibolehkan ke atasnya solat duduk atau baring mengikut kemampuannya ketika mengerjakan solat,” katanya.

Menurutnya, hak wuduk bagi wanita hamil dalam istihadah sama seperti wanita lain yang mengalami istihadah. Merujuk Kitab al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah karangan Syeikh ‘Abdurrahman al-Jazairi : Menurut Mazhab Syafi’ie satu wuduk hanya untuk satu solat fardu sahaja. Jika dia ingin mengerjakan berbilang-bilang solat fardu (seperti solat qadak, nazar atau menjamakkan) dia wajib mengulangi wuduknya.

Untuk mengerjakan solat sunat, harus dia mengerjakan seberapa banyak solat sunat yang diingini dengan satu wuduk.

Namun menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali; harus dia mengerjakan dengan satu wuduk seberapa banyak solat fardu yang dikehendaki, iaitu tiada beza dengan solat sunat.

Di sebalik segala kesusahan dan kesukaran yang dihadapi oleh wanita ketika proses kehamilan, di situlah terbitnya salah satu rahsia apabila ALLAH mewajibkan kita mentaati ibu dan ayah.

baby

Teliti darah jenis apa

Kebiasaan wanita mengandung tidak mengalami perdarahan ketika kehamilan. Namun apabila berlaku permasalahan kesihatan ketika kehamilan, tidak dinafikan ada wanita yang mengalami perdarahan.

Siti Fatahiyah berkata, sebagai Muslimah, penting untuk menentukan apakah jenis darah yang keluar bagi menentukan limitasi ibadah yang perlu dilaksanakannya.

Untuk menilai apakah jenis darah yang keluar, maka kita perlu rujuk kepada hukum asal jenis darah itu.

Menurut Kitab Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah hasil penulisan Dr Abdul Karim Zaidan, pada dasarnya seseorang wanita mengalami beberapa jenis perdarahan iaitu darah haid, nifas dan istihadah.

“Darah haid adalah darah yang keluar ketika dalam kitaran haid yang normal. Ulama juga membahaskan dari aspek bilangan hari keluarnya darah haid.

“Secara ringkas dapat disimpulkan bilangan darah haid yang keluar mengikut Mazhab Syafi’ie adalah antara enam hingga tujuh  hari pada kebiasaan wanita atau yang paling lama 15 hari."

Beliau menambah, Mazhab Hanafi pula berpendapat ia antara tiga ke 10 hari. Mazhab Maliki pula berpendapat tempoh maksima haid adalah antara15  hingga 17 hari.

“Berbalik kepada persoalan perdarahan yang dialami ketika proses kehamilan, perlu dinilai dengan teliti apakah jenis darah yang dialami. Ia amat penting bagi menentukan apakah limitasi ibadah yang perlu dilaksanakan termasuk limitasi perkara yang perlu dielakkan,” katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan kepada jenis darah yang telah diterangkan, maka apabila wanita mengalami perdarahan ketika proses kehamilan yang membawa ke arah pengguguran bayi, maka perlu diambil kira apakah bayi itu cukup sifat atau tidak.

Jika dirujuk ilmu sains perubatan, tempoh masa bagi cukup sifat berlaku ketika minggu ke 10 kehamilan. Dengan itu, apabila berlaku perdarahan ketika kehamilan lebih daripada 10 minggu, maka darah yang keluar adalah darah nifas. Jika ia berlaku sebelum masuk minggu ke sepuluh, maka darah yang keluar adalah darah istihadah.

Manakala jika darah yang keluar ketika hamil tidak membawa ke arah pengguguran, maka kebanyakan  ulama berpendapat ia adalah darah istihadah.

Jika dirujuk kepada pakar perubatan pendapat mereka sama. Kecuali jika ia mengalir dengan tiada henti di usia kandungan 3-6 bulan maka mengikut Mazhab Maliki adalah darah haid.

Qadak, bayar fidyah?

Bagi wanita yang hamil, jika dia risau keselamatan dirinya dan bayi dalam kandungan, dia dibolehkan berbuka puasa. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya ALLAH menggugurkan (meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir, menggugurkan (memberi rukhsah) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan anak akan kewajipan berpuasa”. (Riwayat Tirmidzi, an-Nasa’i & Abu Daud)

Namun ulama membahaskan berkaitan kewajipan wanita hamil tersebut perlu qadak sahaja atau qadak dan membayar fidyah ataupun dibolehkan membayar fidyah sahaja kerana tiada nas yang jelas disebutkan berkaitan cara qadak yang perlu dilaksanakan oleh wanita hamil dan yang menyusukan anaknya.

Merujuk kepada Kitab Fiqh Syafi’ie, Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad berpendapat jika wanita hamil itu berbuka puasa kerana risau akan keselamatannya maka diwajibkan ke atasnya untuk qadak puasa tersebut (tidak perlu berturut-turut harinya).

Tapi jika wanita menyusu berbuka puasa kerana risaukan anaknya, maka diwajibkan ke atasnya untuk qadak puasa dan membayar fidyah.

Wanita mengandung yang tidak dapat berpuasa sepenuhnya kerana  dikenal pasti pakar perubatan jika berpuasa memudaratkan dan mengancam nyawanya, hukumnya tertakluk seperti hukum ke atas orang tua yang sudah terlalu lemah atau orang sakit yang tidak diharapkan sembuh kerana apabila dia berpuasa akan memudaratkan lagi sakit tersebut.

Oleh: SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Sumber: Sinar Harian

0 comments: