PASANGAN panda Fu Wa dan Feng Yi ditempatkan di Zoo Negara
Pasangan panda tiba dari China
Ketibaan pasangan panda gergasi dari China pada Rabu 20 Mei, 2014 adalah signifikan dalam konteks hubungan antara Malaysia dan China. Ini kerana kedua-dua negara bakal merayakan sambutan ulang tahun ke-40 jalinan hubungan diplomatik mereka yang terjalin secara rasmi sejak 31 Mei 1974. Demikian kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel.
Pasangan panda gergasi diberi nama Fu Wa (panda jantan) dan Feng Yi (panda betina) itu dipinjamkan selama sepuluh tahun menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi. Pasangan panda itu dibawa daripada Chengdu, China dan tiba di Malaysia melalui Kompleks MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dari KLIA, pasangan panda tersebut terus dibawa ke Zoo Negara dan bakal dikuarantin selama lebih kurang sebulan di ekshibitnya (penempatan khasnya) yang telah siap dibina. Ia dijangka dapat ditonton oleh pengunjung Zoo Negara, akhir Jun 2014 ini," kata Palanivel.
Program Peminjaman Panda China
Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi antara Malaysia dan Republik Rakyat China itu telah ditandatangani pada Jun 2012. Melalui program itu, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi, selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan.
Pengalaman serta kepakaran ini boleh digunakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai usaha konservasi haiwan, selain menghargai keunikan dan kepentingan konservasi hidupan liar serta biodiversiti," kata Palanivel.
Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA), menandatangani memorandum persefahaman (MoU) meminjam dua beruang panda daripada republik itu selama sepuluh tahun.
Selain Malaysia, sebanyak 47 ekor panda berada di 18 buah zoo di 13 buah negara iaitu di Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Scotland, Austria, Perancis, Sepanyol, Jepun, Thailand, Taiwan, Australia, Singapura dan Belgium.
"Kita perlu menjaga dengan baik dengan menempatkan pasangan panda ini pada suhu yang sejuk dan perlu dikuarantin terlebih dahulu agar bebas daripada jangkitan kuman serta bakteria," kata Palanivel.
[Sumber: Utusan, BHarian]
Kediaman pasangan panda yang serba canggih di Zoo Negara
Panda gergasi tarikan terbaharu Zoo Negara
Pasangan panda gergasi dari Chengdu, China, Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) yang dipinjamkan menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi bakal menjadi tarikan terbaharu pengunjung ke Zoo Negara.
Feng Yi yang bermaksud Phoenix/unik luar biasa dan Fu Wa (bertuah) dilahirkan pada 23 Ogos 2003 di Pusat Pemuliharaan Panda Gergasi Wolong di wilayah Sichuan. Mereka berdua adalah antara lapan panda yang mendapat perhatian ramai dan turut menyerikan Olimpik Beijing 2008.
Tingkat Pengunjung Ke Zoo Negara
Palanivel berkata, kehadiran pengunjung Zoo Negara dijangka meningkat kepada 1.3 juta orang apabila pasangan panda itu dipamerkan kepada orang ramai.
Beliau berkata, jumlah itu akan dapat dicapai apabila dijangka tambahan sebanyak 500,000 pengunjung untuk menyaksikan pasangan panda tersebut.
"Terdapat seramai 800,000 pengunjung melawat Zoo Negara pada setiap tahun dan kehadiran pengunjung yang dijangka semakin bertambah itu secara tidak langsung dapat menampung jumlah perbelanjaan sebanyak RM60 juta untuk pasangan panda tersebut," katanya.
Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Datuk Zaharin Md Arif berkata harga tiket untuk menyaksikan panda gergasi itu adalah RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak. [Bernama 925062014]
Orang ramai melihat dengan lebih dekat panda jantan gergasi yang diberi nama baru, Xing Xing sempena majlis perasmian Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara
Eksibit Khas Kediaman Panda
Pihak Zoo Negara sudah bersiap sedia untuk menyambut ketibaan pasangan panda itu dengan penyediaan sebuah bangunan yang direka khas dengan suhu sekitar 15 hingga 22 darjah celsius untuk memberikan keselesaan kepada pasangan panda berkenaan.
Eksibit khas tersebut bernilai RM25 juta, berkeluasan 4,000 meter persegi serta dibangunkan oleh kerajaan persekutuan dengan kerjasama 1Malaysia Development Berhad dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi memastikan haiwan tersebut selesa.
"Kompleks tertutup yang berkonsepkan mesra alam ini mempunyai fasiliti merangkumi tiga ruang pameran utama yang dilengkapi sistem berhawa dingin dengan suhu di bawah 24 darjah Celsius untuk menyamai habitat asal beruang panda tersebut.
"Binaan kompleks itu turut mempunyai kawasan senaman, kurungan malam, ruang penyediaan makanan, makmal, klinik veterinar, bilik inkubator, nurseri dan bilik pemantauan keselamatan," jelas Presiden Zoo Negara, Datuk Seri Zaharin Md. Arif.
Buluh yang menjadi makanan utama beruang panda tersebut turut ditanam di kompleks haiwan berkenaan.
"Bangunan itu juga dilengkapi dengan bilik makmal khas dan pemantauan yang akan beroperasi selama 24 jam bagi memantau perkembangan Fu Wa dan Feng Yi," kata Rosly Ahmat Lana.
Ketibaan panda gergasi dari China itu adalah signifikan dalam konteks hubungan antara Malaysia-China dan haiwan itu dijangka menetap di Zoo Negara untuk tempoh 10 tahun.
Rahmat berkata, Pusat Konservasi Panda itu hanya akan dibuka kepada pengunjung sebaik tempoh kuarantin yang dikenakan ke atas haiwan itu tamat.
Panda tersebut perlu dikuarantin selama sebulan bagi tujuan kesihatan dan seramai lima pegawai veterinar dari Malaysia dan China ditugaskan memantau perkembangan kesihatannya.
Pemakanan Panda
Dalam aspek pemakanan pula, Fu Wa dan Feng Yi akan diberi makan buluh betung, buluh madu dan buluh pagar memandangkan pasangan itu sudah boleh memakan buluh dari Malaysia sejak kita menghantarnya ke China untuk percubaan pada Disember tahun 2013," kata Rosly Ahmat Lana.
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Kuala Lumpur yang bertanggungjawab menanam tumbuhan itu juga telah menjalankan penyelidikan bagi mendalami jenis buluh yang dimakan oleh haiwan tersebut.
Terdapat kira-kira 15 jenis buluh yang dimakan spesies haiwan terbabit antaranya buluh pagar, buluh betung, buluh siam, buluh botol, buluh semantan, buluh madu dan buluh galah.
Pegawai Penyelidik Cawangan Pengurusan Hutan Ladang, Bahagian Bioteknologi FRIM, Abd. Razak Othman berkata, pihaknya mendapati haiwan tersebut lebih gemar makan batang buluh jenis galah dan pagar berbanding semantan.
Ini kerana, kulit buluh galah dan pagar mudah dikopek haiwan tersebut selain gemar memakan daun dan ranting buluh madu. Haiwan tersebut gemar makan buluh yang muda berusia antara 18 bulan hingga dua tahun.
"Pasangan ini memakan hampir lapan kilogram buluh setiap kali makan dan boleh mencapai sehingga 80 hingga 100 kilogram sehari bergantung kepada mood dan kehendak mereka," jelasnya.
[Sumber: Utusan, Kosmo]
Pelbagai Kos
Mengenai kos, Palanivel berkata, setakat ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM60 juta termasuk untuk pembinaan rumah haiwan berkenaan yang berjumlah RM25 juta, RM20 juta untuk tempoh sewaan selama empat tahun dan RM15 juta untuk kos penyelenggaraan.
Banyak persiapan perlu dilakukan terutama dari segi aspek teknikal dan logistik sebelum ketibaan panda itu yang memerlukan persekitaran yang selesa.[Sumber: Utusan]
Beruang panda Feng Yi dalam sangkar sementara yang direka khas.
Nama Baru Panda Dengan Identiti Tempatan
Pada 25 Jun, 2018, Datuk Seri Najib Tun Razak menamakan dua beruang panda yang menjadi ikonik hubungan antara Malaysia dengan China, dengan nama Xing Xing dan Liang Liang sebagai nama tempatan bagi panda gergasi jantan Fu Wa dan betina Feng Yi.
Menurut Perdana Menteri, Xing Xing (panda jantan) membawa maksud kemewahan manakala pasangannya, Liang Liang (panda betina), pula bererti cantik
Perdana Menteri berkata nama-nama itu dipilih berdasarkan 'Pertandingan Menamakan Pasangan Giant Panda' anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2012.
"Kita tahu pasangan panda gergasi ini ada nama China tapi kita cadang memberi nama Malaysia terutama bila mereka akan berada di sini untuk tempoh 10 tahun akan datang," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Konservasi Panda Gergasi dan sambutan ulang tahun ke-50 Zoo Negara di Hulu Klang
Menurutnya pasangan panda itu perlu diberi dengan nama yang lebih menggambarkan identiti tempatan bagi menarik minat orang ramai menyaksikan haiwan itu dan mengunjungi Zoo Negara.
Sementara itu, guru, Soon Choon Yen, 54, yang mencadangkan nama Liang Liang kepada panda betina memberitahu beliau telah lama meminati rupa panda yang bulat berwarna putih dengan 'lingkaran hitam' pada mata.
"Perkataan cantik sentiasa bermain di fikiran setiap kali melihat panda. Lebih menarik, Liang Liang juga berbunyi seakan-akan 'riang' dalam Bahasa Melayu, dan saya rasa ia adalah nama yang paling sesuai untuk panda itu," katanya.
Nama Xing Xing dicadangkan pelajar Chia Chee Nee, 22, dari Sandakan yang kini sedang melanjutkan pelajaran di United Kingdom.
Idea kreatif mereka menamakan kedua-dua panda itu membolehkan Soon dan Chia dinobatkan sebagai pemenang pertandingan sekali gus membawa pulang sebuah kereta Proton Preve setiap seorang.
Kos Bina Pusat Konservasi dan Lawatan Percuma Kepada Yang Layak
Mengenai pembinaan pusat konservasi panda gergasi itu yang menelan belanja RM25 juta, Najib berkata ia adalah wajar memandangkan jumlah perdagangan antara Malaysia dan China yang berjumlah US$200 juta pada 1974, telah meningkat kepada lebih US$106 bilion tahun lepas.
Beliau berkata pembinaan pusat itu juga berupaya menarik lebih ramai pengunjung ke negara ini terutama ke lokasi tarikan pelancong seperti Zoo Negara.
"Bukan semua perbelanjaan RM25 juta itu dikeluarkan oleh kerajaan tetapi sebaliknya hanya RM10 juta dikeluarkan kerajaan manakala RM15 juta lagi dibiayai oleh Yayasan 1Malaysia Development Bhd," jelas Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Najib berkata pusat konservasi panda gergasi itu akan mula dibuka kepada orang awam pada 28 Jun ini dan beberapa golongan berpeluang melihat pasangan panda itu secara percuma.
"Kanak-kanak, anak yatim dari rumah kebajikan, warga emas dan golongan orang kurang upaya akan diberi masuk secara percuma ke pusat itu selama 30 hari," katanya.
[Sumber: Sinar Harian (25062014), Bernama (25062014)]
Peraturan Melawat Panda
Orang ramai yang melihat panda gergasi di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara di sini perlu mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kesihatan dan keselamatan haiwan itu sentiasa berada dalam keadaan baik.
Ketua Jabatan Perhubungan Awam Zoo Negara, Nursolehah Abdul Rahim berkata, peraturan itu dikenakan ke atas pengunjung kerana pasangan panda yang dinamakan sebagai Xing Xing dan Liang Liang itu sensitif terhadap suasana persekitaran.
“Larangan yang dikenakan ke atas pengunjung adalah tidak boleh menggunakan ‘flash’ semasa mengambil gambar, tidak buat bising, tidak boleh lontar objek dan tidak boleh memberi makanan. Perbuatan itu boleh membuatkan panda menjadi panik dan hilang ‘mood’ serta menjadi pasif,” katanya
Sumber: Kosmo [29062014]
Panda diasing elak bergaduh
Pasangan beruang panda gergasi yang dibawa khas dari Chengdu, China, Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) kini ditempatkan di Pusat Konservasi Panda, Zoo Negara secara berasingan bagi mengelakkan haiwan berkenaan bergaduh sesama sendiri.
Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Rosly Ahmat Lana berkata, hal itu kerana panda jantan dan betina secara amnya hanya bersama dalam tempoh 72 jam setahun untuk tujuan pembiakan.
"Biasanya panda lebih memilih untuk duduk bersendirian sama ada di pokok atau di celah batu kerana mereka hanya akan bersama pada tempoh tertentu dan turut bergantung kepada kesediaan dan kemahuan mereka.
Pasangan beruang panda gergasi, Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) hanya akan disatukan selama 72 jam dalam tempoh setahun bagi proses mengawan.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana berkata, panda betina hanya mempunyai waktu subur tiga hari dalam setahun dan tempoh itu ditentukan melalui ujian hormon.
Jika pasangan Fu Wa dan Feng Yi melahirkan anak, Malaysia hanya boleh memelihara anak berkenaan selama dua tahun sebelum dipulangkan kepada China.
"Di sini, Feng Yi diletakkan dalam kawasan seluas 599 meter persegi manakala Fu Wa ditempatkan dalam kawasan berdekatan dengan keluasan kira-kira 520 meter persegi tetapi berasingan," katanya.
“Walaupun kedua-duanya diletakkan secara berasingan, namun kami akan memantau paras hormon pasangan panda ini dan apabila sampai masanya ia akan dilepaskan untuk mengawan.
“Malah kami yakin Feng Yi (panda betina) cukup subur untuk beranak di Malaysia walaupun hanya dapat bersama kira-kira 72 jam dalam setahun,” katanya.
Pasangan panda berusia tujuh tahun yang dipinjamkan menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi itu kini ditempatkan di sebuah bangunan yang direka khas dengan suhu sekitar 15 hingga 22 darjah celsius selama 30 hari untuk memberikan keselesaan kepada haiwan berkenaan.
[Sumber: Utusan]
FU WAN dan Feng Yi hanya akan dilepaskan untuk bersama selama tiga hari dalam setahun.
Feng Yi bersedia untuk menjadi ibu
"Biologi reproduktif panda betina sebenarnya unik berbanding dengan haiwan lain. Tempoh reproduktif panda betina adalah dalam masa 72 jam setahun. Oleh itu, kita bolehlah dikatakan bertuah kerana pada ketika ini, Feng Yi sedang mengalami tempoh tersebut.
"Tanda-tanda Feng Yi bersedia untuk mengawan ialah dia mengeluarkan bunyi khas secara berterusan selain daripada tanda-tanda fizikal yang terdapat pada panda betina itu. Ini bererti, panda betina sekarang ini berada pada tahap tinggi untuk mengawan," kata Dr. Mat Naim.
[Sumber: Kosmo, Utusan]
TAPIR yang terdapat di Zoo London.
Malaysia dijangka pinjamkan tapir kepada China
Malaysia dijangka memilih tapir atau nama saintifiknya tapirus indicus untuk dipinjamkan kepada China sebagai balasan dan menghargai langkah negara itu meminjamkan pasangan panda gergasi dari Chengdu, China, Fu Wa dan Feng Yi.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, perkara itu telah disampaikan Duta Besar China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang dalam perbincangan persahabatan antara kedua-dua pemimpin baru-baru ini.
Menurut beliau, beberapa haiwan lain mungkin turut dipinjamkan namun belum ada sebarang perbincangan serius dijalankan termasuk tarikh penghantarannya.
"China sudah menyampaikan kepada saya mungkin dalam beberapa bulan lagi, mungkin dua ekor (akan dihantar) dan kita memang sudah melakukan perbincangan persahabatan untuk menghantar tapir ke sana," katanya.
[Sumber: Utusan]
Kanak-kanak beratur menyambut ketibaan pasangan panda Fu Wa dan Feng Yi di Zoo Negara
Penggunaan Panda Dalam Hubungan Diplomatik China
Fu Wa dan Feng Yi adalah dua ekor panda gergasi China yang dipinjamkan kepada Malaysia melalui Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.
Peminjaman kedua-dua ekor panda tersebut adalah signifikan kerana 2014 merupakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Bukan menjadi satu rahsia lagi bahawa China sejak enam dekad lepas telah menggunakan panda sebagai pemudah cara untuk berurusan dengan negara lain. Berikut adalah antara sejarah penggunaan Panda dalam hubungan diplomatik China dengan negara-negara lain di dunia.
Pada 1957, pemimpin tertinggi China, Mao Tse-Tung menghadiahkan seekor panda kepada Rusia sebagai tanda penghargaan kepada Moscow yang telah mengiktiraf Republik Rakyat China sebagai negara berdaulat.
Diplomasi panda memasuki fasa penting pada 1972 apabila China menghadiahkan Ling-Ling dan Hsing-Hsing kepada Amerika Syarikat (AS) apabila Presiden Richard Nixon melakukan lawatan rasmi ke Beijing sebagai permulaan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Jika Ling-Ling dan Hsing-Hsing dianggap simbol hubungan diplomatik Sino-AS maka perkara yang serupa boleh diumpamakan dengan hubungan Sino-Anglo yang mempunyai pasangan panda Chia-Chia dan Ching-Ching yang dihadiahkan sempena lawatan Perdana Menteri Edward Heath ke China pada 1974.
Oleh kerana pada ketika ini terdapat hanya kira-kira 1,600 panda sahaja yang hidup di luar kurungan, maka setiap negara yang menjadi sasaran bentuk diplomasi ini berada dalam keadaan yang agak istimewa.
[Sumber: Utusan]
Baca Juga:
1. Panda Gergasi
2. Panda China Ditempatkan Di Zoo Negara Pada Mei 2014
3. Buluh Khas Untuk Beruang Panda Di Zoo Negara
4. Malaysia-China Memeterai Perjanjian Pinjam Panda Gergasi
0 comments:
Catat Ulasan