22 Mei 2014

Keburukan Arak Sebagai Minuman Pilihan



Menurut Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya 45 peratus penduduk dunia tidak mengambil minuman beralkohol!

Congak-congakkanlah berapa ramai yang meneguk minuman ini jika diambil kira jumlah penduduk dunia yang kini melebihi enam bilion orang.

Laporan badan dunia itu juga menyebut pengambilan alkohol yang berbahaya ini menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.

WHO turut menyatakan kebimbangan amalan yang tidak sihat ini semakin melibatkan generasi muda serta peminum di negara sedang membangun.

Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 WHO ini dilancarkan pada akhir mesyuarat empat hari di Geneva, Switzerland sebagai inisitaif perlaksanaan Strategi Global Mengurangkan Penggunaan Berbahaya Alkohol.


TREND MEMBIMBANGKAN

Di dalam negara, situasi yang agak membimbangkan turut dikongsi beberapa 'rakan strategik' Persidangan Meja Bulat "Arak dan Pencegahannya: Pengalaman Agensi-agensi Berkaitan" anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

Persidangan Meja Bulat mengenai arak ini adalah program kedua anjuran Ikim selepas muzakarah bertajuk "Arak dan Permasalahannya" pada 30 Okt 2009.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah trend pengambilan minuman beralkohol yang semakin meningkat di kalangan remaja bukan Islam dan Islam (terutama Melayu).

Nisbah pengambilan minuman beralkohol antara lelaki dan wanita juga semakin mengecil di mana semakin ramai wanita yang mengambil minuman keras ini.

Statistik yang dikongsi wakil Kementerian Kesihatan, Dr Rozanim Kamaruddin pula menunjukkan 24.6 peratus mereka yang mengambil minuman beralkohol ini sebab untuk mabuk.

"Di bidang kesihatan ini adalah satu kemudaratan kesihatan yang apabila berterusan di masa hadapan akan menyebabkan mereka ketagih kepada minuman beralkohol ini.

"Berbeza dengan ketagih dadah, mereka yang ketagih alkohol tidak boleh serta merta menghentikan pengambilan alkohol. Jika ini dilakukan, risiko mereka untuk maut tinggi. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan mereka mendapat sawan.

"Mereka yang ketagih kita nasihatkan pergi ke hospital kerana ada pemantauan berterusan dan akan diberi ubat untuk membantu mereka berhenti daripada mengambil minuman beralkohol ini," kata Dr Rozanim yang menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Penyalahgunaan Alkohol, Kementerian Kesihatan.

BANYAK RISIKO

Alkohol bergantung kepada corak pengambilan minuman dan berapa banyak seseorang itu meminumnya bukan sahaja menyebabkan kemabukan tetapi ia juga mempunyai kesan toksik terhadap organ badan.

Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol ialah penyakit cardiovascular, kanser mulut, tekak dan payu dara serta penyakit hati.

Pengambilan minuman beralkohol juga boleh menyebabkan kecelaruan tingkah laku dan mental akibat gangguan fungsi otak.

Menurut Dr Rozanim, 48 peratus daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku adalah berpunca daripada pengambilan alkohol selain daripada bahan-bahan psikoaktif yang lain seperti dadah, heroin dan ganja.

"Daripada laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat 2008, 5.3 peratus daripada keseluruhan kes keganasan rumah tangga adalah berkaitan dengan alkohol.

"Sebanyak 4.5 peratus daripada keseluruhan kes baru penderaan kanak-kanak juga berkaitan dengan alkohol.

"Daripada laporan Polis Diraja Malaysia 2007, 0.5 peratus daripada keseluruhan kemalangan maut adalah berkaitan dengan pengambilan alkohol atau memandu di bawah pengaruh alkohol," kata Dr Rozanim.

LAGI STATISTIK POLIS

Statistik tangkapan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol di seluruh negara dalam operasi trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekod 536 kes pada 2010 berbanding hanya 163 kes pada 2009.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat jumlah tangkapan mabuk paling tinggi pada tahun lepas iaitu 216 kes berbanding 134 kes pada tahun sebelumnya.

Ini diikuti Sarawak dengan 120 kes pada 2010 dan 14 kes sahaja pada 2009. Pulau Pinang berada di tempat ketiga dengan 80 kes tangkapan mabuk pada 2010 berbanding hanya 2 pada 2009.

Statistik ini dikongsi Datuk Dr Ab Rahman Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Keurusetiaan Cawangan Khas PDRM ketika sesi pembentangan "Arak dan Pencegahannya: Pengalaman Jabatan Peguam Negara".

"Ini menggambarkan gejala minuman keras ini terus berkembang dalam masyarakat kita terutama di kalangan golongan muda termasuk yang beragama Islam," kata beliau.

Beliau turut mendedahkan bahawa mabuk juga mencetus insiden pergaduhan kaum di mana rekod PDRM menunjukkan sehingga 22 Feb tahun ini melibatkan lapan kes.

Statistik untuk insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes sementara 79 kes dicatat pada 2009, 60 kes pada 2008, 131 kes pada 2007 dan 77 kes pada 2006.

IMPORT ARAK

Setiap pengimport arak perlu mendapat lesen aktiviti pengimportan arak dikawal Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengeluarkan lesen mengimport arak di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kastam 1977.

Wakil JKDM ke Persidangan Meja Bulat mengenai Arak dan Pencegahannya, Habsah Harun berkata Wilayah Persekutuan mempunyai jumlah pengimport arak tertinggi di negara ini iaitu 131.

Ini disusuli Selangor (70), Pulau Pinang (35) dan Pulau Langkawi (32) sementara tiada lesen pengimport arak dikeluarkan bagi Terengganu dan Kelantan.

Beliau yang menyandang jawatan Penolong Kanan Pengarah Kastam, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM turut berkata minuman keras adalah satu daripada komoditi yang dikenakan cukai yang tinggi selepas kereta dan rokok.

Cukai yang tinggi juga menggalakkan penyeludupan minuman keras di mana jumlah kes meningkat dari 590 kepada 812 pada 2010. Untuk 2011 sehingga 20 Feb sebanyak 83 kes rampasan minuman keras direkod oleh JKDM.

HALANGAN PENGUATKUASAAN

Seksyen 19, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dengan jelas menyebut larangan ke atas orang Islam.

Ia bukan sahaja melarang minum apa-apa minuman yang memabukkan di mana-mana kedai atau tempat awam tetapi juga membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan.

Bagaimanapun tindakan penguatkuasaan adalah tidak semudah "ayat-ayat yang terkandung di dalam seksyen 19" kata Yaakob Abdul Rahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika membentangkan kertas kerjanya.

"Meskipun dapat banyak aduan, apabila kita membuat tangkapan, buat penahanan banyak perkara teknikal yang timbul. Yang kecil jadi besar dan yang besar bertambah besar.

"Apabila kita pergi ke premis-premis ada sekatan dan halangan untuk kita masuk. Ada pengawal dan sememangnya kerja kita berisiko tinggi," jelasnya yang turut menyatakan bahawa pihaknya membuat tindakan penguatkuasaan berdasarkan aduan di samping operasi yang lazim dilakukan Jawi.

Beliau menyebut antara halangan tersebut ialah mendapatkan penyaksian, mengesan dan menyimpan bahan bukti untuk mensabitkan kesalahan.

"Biasanya nak masuk ke premis yang eksklusif kita terpaksa melalui pengawal, kadang kala lima atau enam pengawal. Bila kita maklum ke pengawal di depan dan dia maklumkan ke dalam, bila kita masuk premis kosong.

"Kadang-kadang kita masuk dia kata dia duduk sembang-sembang dan kata dia baru duduk dan botol minuman bukan dia punya, orang lain yang punya. Di situ akan timbul masalah teknikal, mereka ini lagi licik daripada kita.

"Pada 2010 kita buat beberapa serbuan tetapi sampai sekarang kes tak selesai sebab masalah teknikal," katanya

Pemantauan Jawi ke atas beberapa kawasan yang diwartakan sebagai kawasan pelancong di mana premis-premis di situ dibenar beroperasi sehingga lewat pagi turut mendapati ada remaja Melayu yang keluar masuk ke premis seumpama.

BUDAYA HIBURAN

Wakil daripada Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa ketika membentangkan kertas kerjanya "Arak dan Pencegahannya: Pengalaman Jabatan Peguam Negara" menyentuh budaya hedonisme atau budaya hiburan di samping gejala sosial yang keterlaluan yang sekarang ini mendominasi khususnya anak remaja Melayu.

"Mereka melihat arak ini sebagai satu minuman yang berprestij.

"Dia minum dia rasa hebat. Pertama kita lihat di mana dihidangkan minuman ini? Hotel lima bintang. Ia tidak dihidangkan di bawah pokok ceri. Tempat yang menghidangkan arak ini adalah tempat berkelas tinggi," kata Mahamad Naser.

Menurut beliau yang lebih merisaukan ialah apabila ada wanita Islam yang terlibat dalam penyalahgunaan arak ini iaitu mereka yang bekerja sebagai GRO khususnya di tempat hiburan.

"Di kalangan GRO boleh dikatakan hampir semua mereka minum arak, mabuk sebab bila mabuk boleh melayan pelanggan dengan sepenuhnya, hingga ke tempat lain.

"Dan terjadilah perkara-perkara yang disebut dalam hadis Rasululullah, arak itu adalah ibu kepada segala kejahatan.

Beliau yang menyandang jawatan Timbalan Bahagian Ketua Penasihat (Syariah), Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara turut menegur pihak disko dan pub yang terbuka serta kawasan yang menghidang arak yang ada dikunjungi orang Islam.

ANTARA CADANGAN

Perkemaskan undang-undang berkaitan arak (yang berselerak dalam perbagai undang-undang) dalam satu undang-undang. Ia boleh dipanggil sebagai Akta Kawalan Arak atau Akta Penyalahgunaan Arak, demikian pandangan peribadi Mahamad Naser.

Akta berkenaan perlu menyifatkan arak dalam apa bentuk jua pun digambarkan sebagai sesuatu yang memudaratkan sebagaimana dadah, dilarang terhadap umat Islam dan hukuman bagi semua bentuk kesalahan perlu ditingkatkan.

Mahamad Naser melahirkan pandangan peribadinya supaya publisiti serta kempen mengenai gejala keburukan arak perlu ditingkatkan melebihi rokok dan dadah supaya arak dipandang sebagai sesuatu yang keji dan hina.

Beliau turut mencadangkan agar pesakit yang ketagihan arak dikehendaki menanggung sendiri perbelanjaan dan dilarang daripada mendapatkan perubatan awam.

"Kesimpulannya undang-undang yang digubal seharusnya mampu meletakkan arak sebagai sesuatu yang negatif dan tidak wajar dijadikan sebagai sumber hasil negara dan ditadbir sebagai barang yang boleh dikenakan cukai," kata Mahamad Naser.

Oleh Melati Mohd Ariff
Sumber: Bernama

0 comments: