03 Jun 2014

Galak Anak Bermain Di Luar Rumah Untuk Vitamin D Secukupnya


Pendedahan si cilik kepada sinaran matahari elak masalah kekurangan vitamin D

Kumpulan penyelidik Tinjauan Nutrisi Asia Tenggara (SEANUTS) mendapati, hampir separuh daripada golongan kanak-kanak yang tinggal di bandar dan luar bandar menghadapi masalah kekurangan vitamin D.

Masalah itu lebih serius berlaku terutama dalam kalangan kanak-kanak perempuan yang tinggal di kawasan bandar.

Ketua program, Sains Pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Penyelidik Utama SEANUTS Malaysia, Prof Dr Poh Bee Koon, berkata data itu mengejutkan kerana Malaysia sememangnya negara yang kaya sinaran matahari mencukupi untuk membantu badan membina vitamin D secara semula jadi.


“Salah satu faktor yang menyumbang kejadian ini berkemungkinan kerana ramai ibu bapa bimbang keselamatan anak dan menghalang mereka keluar bermain di luar rumah,” katanya.

Kajian SEANUTS dijalankan pada tahun 2009 ke atas kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 12 tahun di seluruh negara.

Dalam kajian sama mendapati, satu daripada 20 orang kanak-kanak didapati kurang berat badan manakala satu daripada lima kanak-kanak mengalami berat badan berlebihan (obesiti), di Asia Tenggara.

Tumbesaran terbantut

Dr Poh berkata, kanak-kanak menanggung isu beban yang berganda terhadap malnutrisi; bermakna mereka mengalami situasi kekurangan dan berlebihan nutrisi, namun berlebihan nutrisi tampak lebih ketara sekiranya dibuat perbandingan.

Beliau juga menyatakan, kanak-kanak lelaki dan perempuan di bandar yang berusia enam hingga 10 bulan dan kanak-kanak lelaki dan perempuan di kawasan luar bandar yang berusia satu hingga tiga tahun serta tujuh hingga 12 tahun, kebanyakannya mengalami masalah tumbesaran terbantut bagi peringkat umur mereka disebabkan tabiat pemakanan yang tidak betul.

Keadaan berat badan berlebihan (obesiti) juga lebih jelas didapati dalam kalangan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang tinggal di bandar dan kanak-kanak lelaki yang tinggal di kawasan luar bandar dengan kadar yang tinggi.

Sementara itu, pelajar sekolah yang berusia tujuh hingga 12 tahun dilaporkan menjalani aktiviti fizikal yang rendah.

Vitamin D melalui diet

Sementara itu, pakar perunding pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil menjelaskan, vitamin D adalah nutrisi penting untuk tulang sihat dan mengawal kuantiti kalsium yang terdapat di dalam darah.

“Kanak-kanak memerlukan vitamin D untuk pembinaan dan tumbesaran tulang dengan membantu menyerap kalsium. Apabila kulit terdedah kepada sinaran UVB matahari, badan akan menghasilkan vitamin D secara semula jadi.

“Kebanyakan orang mendapat vitamin D melalui diet, tetapi hanya sesetengah jenis makanan semula jadi seperti ikan dan telur yang mengandungi kandungan vitamin yang diperlukan.

“Sinaran matahari adalah bekalan utama untuk vitamin D dan vitamin D hanya boleh dihasilkan sekiranya kulit terdedah pada sinaran matahari,” katanya.

Beliau menasihati ibu bapa supaya menggalakkan anak untuk keluar bermain bagi memperoleh lebih banyak sinaran matahari dan vitamin D secara semula jadi.

Kekurangan vitamin D boleh mengakibatkan osteoporosis dan peningkatan risiko tulang rapuh pada jangka masa panjang.

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
Sumber: BHarian

GENERASI TIDAK AKTIF
 
Mehander berkata, gaya hidup sedentari adalah begitu membimbangkan. Ini kerana, mereka kini cenderung menjadi generasi kurang aktif.

Kajian Nutrisi Asia Tenggara (Seanuts) yang melibatkan empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand mendedahkan kebanyakan kanak-kanak sekolah berumur antara tujuh dan 12 tahun dilapor kurang melakukan aktiviti fizikal.

Pola perkembangan tidak sihat ini turut ditunjukkan oleh kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Nestle. Bayangkan, daripada 100 responden hanya 27 peratus sahaja yang membabitkan diri dalam aktiviti fizikal pada masa lapang.

"Berbanding pada waktu dahulu ketika teknologi belum menguasai, kanak-kanak begitu aktif dan lasak. Mereka berjalan kaki ke sekolah, bermain sepanjang hari.

Tetapi, kini mereka lebih gemar bermain Play Station. Dengan hanya menghadap komputer, Play Station ataupun menonton televisyen berjam-jam lamanya tidak mampu untuk mengeluarkan peluh yang dapat mencergaskan lagi tubuh badan mereka.," jelas Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Dr Mehander Singh.

Hakikat ini sesuatu membimbangkan kerana sukan dan waktu bermain adalah sangat penting dalam kehidupan dan perkembangan kanak-kanak.

Makan dengan betul juga penting, tetapi bersukan membolehkan proses pengeluaran peluh dilakukan sekali gus menyumbang kesihatan lebih baik.

"Aktiviti fizikal adalah penentu utama penggunaan tenaga dan penting untuk mendapatkan keseimbangan tenaga dan kawalan berat badan," katanya.

Malahan, pelbagai kajian sebelum ini menunjukkan bahawa dengan hanya aktif bersukan dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit.
     
KEKURANGAN VITAMIN D
 
Disebabkan itu, sesuatu perlu dilakukan segera bagi menangani peningkatan populasi kanak-kanak pasif atau tidak aktif.

Selain berisiko menjadi obes kerana tidak banyak melakukan pergerakan sambil tabiat pemakanan tidak sihat, mereka juga dikhuatiri mengalami masalah kekurangan vitamin D.

Kajian Seanuts menunjukkan hampir separuh daripada kanak-kanak di bandar dan luar bandar mengalami masalah itu terutamanya dalam kalangan perempuan bandar.

Antara faktor penyebabnya adalah kurangnya pendedahan cahaya matahari yang merupakan sumber utama vitamin D.

Penemuan ini dianggap menarik oleh Ketua Program Sains Nutrisi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Poh Bee Koon kerana negara menerima cahaya matahari secukupnya.

"Kita sepatutnya tidak kekurangan vitamin D. Satu daripada penyumbangnya adalah kebanyakan ibu bapa risau keselamatan anak sehingga tidak membenarkan mereka bermain di luar.

"Selain itu, masyarakat kita mendefinisikan kecantikan sebagai berkulit cerah, putih. Jadi ada ibu bapa tidak mahu anak mereka terdedah kepada cahaya matahari kerana risaukan perubahan warna kulit," katanya.

Disebabkan itu, mereka memilih untuk menghadiahkan anak dengan permainan digital, telefon pintar, komputer dilengkapi kemudahan Internet supaya kanak-kanak ini senyap dan leka dengan teknologi itu.

Sedangkan, ibu bapa sepatutnya memanfaatkan sepenuhnya usia pembesaran anak dengan menggalak mereka melakukan pelbagai aktiviti fizikal dan bukannya hanya berkurung dalam rumah.

BAHAYA TULANG

Kekurangan vitamin D tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan nutrien penting diperlukan untuk kesihatan tulang selain mengawal jumlah kalsium dalam darah, kata Perunding Pediatrik Dr Yong Junina Fadzil.

Ini kerana, kekurangan vitamin D dalam kalangan kanak-kanak boleh membahayakan perkembangan pembesaran mereka selain berisiko mendapat penyakit riket (penyakit tulang), sakit-sakit badan, kelemahan otot dan meningkatkan risiko keretakan tulang.

"Kanak-kanak memerlukan vitamin D untuk pertumbuhan dan pembangunan tulang kerana ia membantu menyerap kalsium. Apabila sinaran UVB matahari kena pada kulit, tubuh akan mensintesis vitamin D secara semulajadi.

Cahaya matahari adalah sumber utama vitamin D, bagaimanapun tegas Dr Junina semua itu hanya boleh diperoleh apabila terdedah kepada cahaya itu.
     
ROLE MODEL
 
Bagaimana menanganinya?

Menurut Dr Poh, tidak banyak makanan yang mengandungi vitamin D secara semula jadi, tetapi susu adalah antara sumber terbaik. Biarpun begitu, sudah tiba masanya ibu bapa merenungi balik peranan mereka menerusi penggalakan aktiviti sihat.

Mereka seharusnya menjadi 'role model kepada anak dengan meluangkan masa melakukan pelbagai jenis aktiviti fizikal seperti berenang, bermain badminton mahupun bersenam.

"Banyak kajian menunjukkan kanak-kanak aktif mempunyai IQ lebih baik daripada mereka yang obes ataupun mengalami tumbesaran terbantut," katanya.

Sumber: Sinar Harian

0 comments: