30 Jun 2014
Jaga Kebersihan ~ Suatu Kemenangan Jepun Di Piala Dunia 2014
SEORANG peminat skuad bola sepak Jepun mengutip sampah di tempat duduk penonton di Stadium Arena das Dunas, Natal.
Pasukan bola sepak Jepun sudah tersingkir daripada kejohanan Piala Dunia 2014 yang sedang berlangsung. Seperti dijangka, Jepun menyertai tiga lagi wakil Asia iaitu Australia, Iran dan Korea Selatan 'balik awal.' Daripada tiga perlawanan, juara Asia itu sekadar mengutip satu mata sahaja.
Para penyokong skuad Samurai Biru yang menggalas cabaran Asia di Brazil, sudah pasti kecewa. Walaupun terkeluar, Jepun sebenarnya pasukan paling awal mencatat 'kemenangan' di kejohanan berprestij itu.
Pasukan Jepun menjadi tumpuan satu dunia apabila para penyokongnya mempamerkan satu sikap budiman yang jarang dapat dilihat dalam mana-mana perlawanan bola sepak.
Ketika kalah 1-2 kepada Ivory Coast pada perlawanan pertama mereka, sekumpulan penyokong tegarnya tidak berdukacita atau marah, jauh sekali 'memberontak' sebagaimana perbuatan yang sangat biasa dilakukan oleh penyokong pasukan yang tewas, apatah lagi jika kalah tipis.
Sewaktu para pemain Jepun berbaris di tengah padang sambil menundukkan kepala sebagai tanda terima kasih kepada para penonton di Arena Pernambuco di Recife, para penyokongnya pula bergotong-royong membersihkan kawasan tempat duduk mereka.
Berbekalkan beg plastik sampah, mereka mengutip segala sampah sarap di situ. Gambar sikap mulia para penyokong pasukan itu dirakam dan menjadi viral di internet. Foto tersebut mencetuskan perbualan hangat di laman-laman media sosial dengan sebahagian besarnya memuji sikap penyokong pasukan tersebut.
Perbuatan sedemikian sangat jarang dapat dilihat dalam mana-mana perlawanan bola sepak atau acara sukan. Biasanya stadium atau venue adalah 'lapangan membuang sampah terbuka.' Penonton yang hadir tidak ada masa mencari tong sampah. Sisa-sisa makanan, bekas dan kertas pembalut makanan, botol-botol minuman, beg plastik serta macam-macam jenis sampah lagi dibuang ke lantai begitu sahaja.
Walaupun tong sampah ada disediakan, sampah tetap dibuang merata-rata. Alasan biasa, mungkin kerana tong sampah terlalu kecil atau kedudukan tempat membuang sampah terlalu jauh dari tempat duduk penonton atau memang sudah ada sifat pengotor semula jadi.
Kerja-kerja membersihkan stadium setiap kali berakhir satu-satu acara sukan khususnya bola sepak kadang kala memakan masa berhari-hari. Apatah lagi kalau stadium itu berupaya mengisi sehingga ratusan ribu penonton!
Apa yang dilakukan peminat bola sepak Jepun itu sangat kontras dengan apa yang sering dilihat dalam kebanyakan perlawanan bola sepak. Kalau pun ada yang prihatin pasal kebersihan stadium, jumlahnya sangat sedikit.
Stadium biasanya ditinggalkan dalam keadaan yang sama seperti mana pasar malam selepas waktu perniagaan. Mengambil cakna tentang kebersihan stadium, jauh sekali. Mana ada stadium atau venue sukan yang dibersihkan peminat atau penonton setiap kali berakhir satu-satu acara besar.
Lebih teruk, pihak yang tewas biasanya memberontak sehingga berlaku pergaduhan dengan penyokong pasukan lawan. Insiden seperti itu adalah satu pemandangan biasa. Boleh dikatakan berlaku pada setiap perlawanan bola sepak.
Walaupun apa yang dilakukan oleh para penyokong Jepun itu seperti sesuatu yang 'ganjil,' di mata dunia luar, perbuatan itu bukan sesuatu yang luar biasa di Jepun. Itu adalah antara budaya murni peminat bola sepak dan sukan-sukan lain di Jepun.
Mereka melakukan perkara yang sama pada penghujung satu-satu perlawanan bola sepak liga tempatan atau acara-acara besar mahu pun majlis-majlis kecil lain. Malah pada satu peringkat, khabarnya mereka sanggup membawa pulang sampah yang dikutip itu jika tong sampah sudah penuh atau tidak ada tempat membuang sampah.
Amalan ini sudah menjadi budaya turun temurun dan diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi lain. Tidak hairanlah amalan ini terbawa-bawa ketika mereka berada di luar negara.
Para peminat sukan di Malaysia boleh mengambil sedikit iktibar dan mencontohi sikap peminat bola sepak Jepun. Mereka menikmati keseronokan pasukan kebangsaan berlawan secara sihat. Mereka juga tampil dengan pelbagai gimik dan gaya menarik sebagaimana dilakukan penyokong pasukan lain tetapi pada masa yang sama mereka sangat menjaga tingkah laku.
Mereka tidak terikut-ikut dengan perangai buruk segelintir penyokong pasukan lain yang bertanding. Orang Jepun membawa imej negara maju yang masih menitikberatkan tata susila masyarakat timur. Mereka juga sangat menjaga kebersihan. Apa yang mereka lakukan, bukan sengaja dibuat-buat untuk menunjuk-nunjuk tetapi datang secara semula jadi.
Peminat dan penyokong pasukan tempatan yang bertandang ke stadium juga boleh melakukan perkara yang sama mulai hari ini. Mereka hanya perlu memastikan kawasan tempat duduk masing-masing bersih sebelum meninggalkan stadium.
Perkara ini tidak mustahil boleh dilakukan dan tidak perlu merasa malu melakukannya kerana perbuatan itu mulia. Lebih mudah lagi kerana pada masa ini setiap pasukan mempunyai pelbagai kumpulan sorak, penyokong atau 'ultras' tersendiri. Kesedaran ini mungkin boleh digerakkan menerusi 'ultras' masing-masing.
Jika ini berlaku, ia sudah pasti menjadi satu anjakan sikap baharu dalam kalangan pencinta sukan negara yang berkunjung ke stadium. Mereka sudah banyak meniru perilaku orang Barat bersukan dan menonton sukan. Tidak salah kali ini mencontohi pula apa yang orang Jepun sudah lama lakukan.
Oleh: Rozaman Ismail
Sumber: Utusan
Labels:
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan