USD5,000 kepada keluarga setiap penumpang MH17
Malaysia Airlines (MAS) menawarkan bantuan kewangan USD5,000 (RM16,000) kepada keluarga setiap penumpang pesawat Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine.
MAS dalam satu kenyataan berkata dana tersebut ditawarkan sebagai tanda muhibah dan membantu keluarga terdekat penumpang meringankan keperluan ekonomi mereka.
"Dana telahpun disediakan untuk tujuan ini. Citibank telah membantu MAS dengan aturan logistik bagi pemindahan dana. Bantuan kewangan ini tidak akan diimbangi dalam bayaran ganti rugi muktamad atau menjejas hak tuntutan sah keluarga berkenaan," jelas kenyataan itu.
Ia menyatakan, fokus utama MAS ialah keprihatinan terhadap anggota keluarga yang terjejas akibat tragedi MH17. MAS akan membantu keluarga itu pada saat-saat penuh dugaan ini dan akan menyediakan mereka akomodasi hotel, makan dan bantuan pengangkutan.
Sumber: Sinar Harian [21072014]
Waris bakal terima pampasan RM160,000
Selain daripada itu, waris terdekat penumpang dan anak kapal Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dijangka menerima pampasan awal AS$50,000 (RM160,000) dalam tempoh terdekat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata pampasan awal itu disediakan pihak MAS bagi membantu mengurangkan kesulitan yang sedang dihadapi ahli keluarga mangsa.
“Bayaran (pampasan) kepada waris terbabit dapat dibuat dalam masa terdekat berikutan kita sudah sedia maklum apa yang berlaku kepada pesawat itu,” katanya.
Sumber: BHarian [2014/08/05]
Waris mangsa nahas MH17 layak pampasan Perkeso
Waris 15 anak kapal serta 12 dari 28 penumpang warga Malaysia pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 layak menerima bayaran bulanan bermula RM475 berdasarkan tangga gaji di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot Jaem berkata, kesemua anak kapal layak mendapat bayaran di bawah Skim Bencana Pekerjaan kerana berada di dalam pesawat waktu bekerja.
"Bagi 12 penumpang pula mereka telah mencarum dengan Perkeso dan layak mendapat sama ada Skim Bencana Pekerjaan jika semasa di dalam pesawat untuk urusan kerja atau Skim Pencen Ilat jika di dalam pesawat bukan untuk urusan kerja," katanya
Beliau berkata, di bawah Skim Bencana Pekerjaan, jika mangsa memperoleh gaji bulanan RM3,000 dan ke atas mereka layak mendapat bayaran sehingga RM2,750 dan jika gaji bawah RM3,000 kadar harian minimum adalah RM30 sehari berdasarkan tangga gaji.
Katanya di bawah Skim Pencen Ilat pula waris atau tanggungannya layak mendapat 50 hingga 65 peratus daripada gaji bulanan dan jumlah minimum pembayaran RM475.
Beliau berkata, bayaran tersebut akan diterima serta merta selepas semua urusan selesai dan selain itu waris serta tanggungan mangsa turut layak mendapat faedah pengurusan mayat berjumlah RM1,500.
Sumber: Sinar Harian [21072014]
0 comments:
Catat Ulasan