23 Julai 2014

Waspada Dehidrasi Ketika Berpuasa



Cecair badan mudah hilang dalam keadaan cuaca panas serta kering. Perpeluhan berlaku dengan aktif apabila seseorang bergerak cergas melakukan kerja-kerja berat di bawah cuaca panas sedemikian.

Bagi seseorang yang sedang berpuasa dalam keadaan cuaca panas yang tidak menentu ini, langkah-langkah tertentu yang sewajarnya perlu diambil bagi memastikan bekalan air dalam badan sentiasa dijaga.

Air sebenarnya bersifat pelarut yang membantu proses biokimia di dalam tubuh kita. Tanpa air, kita tidak mungkin mampu bertahan lama kerana air merupakan agen pengangkutan dalam tubuh yang berhubung terus dengan sel-sel tubuh.


Jadi, amat penting untuk kita tahu kepentingan mengekalkan kelembapan tubuh terutamanya di bulan puasa.

Doktor Pusat Pemeriksaan Kesihatan (PSWC) Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Angeline Hee Tze Chyin berkata, badan mudah menjadi lesu dan letih apabila badan tidak mampu mengawal atur proses penghidratan dengan sempurna.

"Tubuh memerlukan sekurang-kurangnya antara enam hingga tujuh gelas air sehari bagi memastikan sel-sel tubuh dapat berfungsi dengan baik.

"Kekurangan air ini boleh menyebabkan tubuh menghadapi masalah dehidrasi kerana 70 peratus daripada komposisi tubuh terdiri daripada air.

"Apabila kita berada di persekitaran yang panas, keperluan tubuh kita terhadap cecair juga meningkat disebabkan tubuh kita akan mengeluarkan peluh yang banyak," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ujarnya, pengambilan air yang mencukupi setiap hari adalah penting kerana organ-organ penting dalam tubuh seperti jantung, buah pinggang dan sebagainya dapat menjalankan tugas dengan sempurna,

"Pengambilan air amat penting ketika berbuka kerana ia akan menggantikan air yang telah hilang, mencuci buah pinggang selepas pengambilan pelbagai jenis makanan ketika berbuka puasa dan berupaya membersihkan organ-organ dalaman kita yang lain," katanya.

Menurut Dr. Angeline, antara tanda-tanda tubuh mengalami penyahidratan adalah rasa dahaga, mulut kering, kencing pekat, ulser yang teruk, letih, pitam, cirit birit, hinggalah kepada kegagalan fungsi buah pinggang.

Kekurangan cecair dalam sistem otak boleh mempengaruhi cara individu membuat keputusan.

Otak yang mengalami dehidrasi adalah lemah sehingga mendorong kepada ingatan jangka pendek yang teruk disertai sakit kepala serius.

"Selain itu, degupan jantung akan menjadi lebih kencang, pening kepala dan tekanan darah rendah juga boleh terjadi berpunca daripada penurunan darah.

"Dalam kes yang kronik, dehidrasi boleh menyebabkan koma dan akhirnya mengundang maut," katanya.

Selain itu menurutnya, perlu juga dipastikan sendi, organ dan tisu tubuh mendapat perlindungan bagi membolehkan kekal cergas dan sihat sepanjang bulan puasa.

Jadi, amat penting untuk memastikan tubuh tidak mengalami penyahidratan melampau.

Tambah Dr. Angeline lagi, jika perlu umat Islam perlu mengurangkan aktiviti luar atau tidak berada di luar dalam jangka masa yang panjang terutamanya ketika panas terik.

"Ini tidak bermaksud berpuasa dijadikan alasan untuk tidak aktif. Mereka boleh bersenam dan melakukan aktiviti kecergasan secara sederhana di tempat yang teduh malah boleh melakukan aktiviti fizikal seperti regangan dan senaman ringan di rumah," katanya,

Kurangkan minuman berais

Bagaimanapun, Dr. Angeline berkata kehilangan air dalam bentuk ini boleh diatasi dengan mengamalkan meminuman jus buah-buahan dan mengambil sayur-sayuran ketika bersahur atau berbuka.

Ini kerana, kedua-dua makanan ini mempunyai kandungan air yang banyak.

"Umat Islam yang berpuasa tidak digalakkan minum minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, teh dan cola kerana akan menyebabkan kesan deuratik.

"Apabila seseorang itu mengalami deuratik akan meransang pengeluaran air kencing dalam kuantiti yang banyak dan dikuatiri akan menghadapi dehidrasi melampau," katanya.

Beliau mengakui, dalam cuaca panas yang berterusan sepanjang bulan puasa ini menyebabkan ramai ingin berbuka dengan minuman berais dan menolak anggapan bahawa ia tidak bagus untuk perut selepas seharian tidak menjamah makanan.

"Minuman berais boleh diambil ketika berbuka puasa tetapi perlulah dikawal dan tidak mengambilnya bersama makanan bergoreng dan mempunyai kandungan lemak yang banyak.

"Begitu juga dengan minuman bergas, digalakkan untuk mengambil minuman isotonik bagi memberi tenaga bagi menjalankan aktiviti seharian," jelasnya.

Dalam pada itu, bagi mengekalkan kesegaran sepanjang berpuasa, semasa bersahur, digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat.

Pengambilan makanan yang tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti bijiran penuh serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar.

Oleh NURSYAMIMI SAIDI
Sumber: Utusan

0 comments: