21 Julai 2014
Pendekatan RMS Tingkat Kesihatan Psikologi
ADA masanya kita tidak sedar apa puncanya kita marah-marah. Mungkin disebabkan perasaan cemburu atau kecil hati. Atau persekitaran yang memberi kita tekanan sehingga menimbulkan perasaan marah.
Bayangkan jika anda terpaksa berdepan individu yang tiba-tiba marah apatah lagi jika tidak diketahui apa puncanya. Apabila sudah marah, ada saja yang tidak kena. Lebih parah lagi orang yang dibelenggu perasaan marah sering tidak mampu mengawal diri lantas bertindak di luar kewarasan fikiran.
Sebagai contoh, satu insiden mengejutkan baru-baru ini apabila tersebar luas rakaman video wanita yang berang akibat kereta Peugeot 208 yang dipandunya dilanggar daripada belakang oleh seorang warga emas.
Menerusi rakaman video itu, kelihatan wanita terbabit menghentak pengunci stereng pada kereta lelaki tua itu sambil mengherdik dan mengeluarkan kata-kata makian akibat terlampau marah.
Walaupun lelaki warga emas itu telah beberapa kali memohon maaf kerana melanggar secara tidak sengaja, namun wanita itu tetap tidak berpuas hati.
Menurut Pakar Perunding Jabatan Pendidikan dan Kaunseling Psikologi, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr. Haslee Sharil Lim Abdullah, untuk memahami kemarahan, seseorang perlu memahami psikologi.
Kemarahan tidak akan berlaku tanpa sebab. Ia seperti satu transformasi yang berubah disebabkan sesuatu. Misalnya, kecewa dan putus asa boleh melarat kepada perasaan marah. Marah sebaiknya diluahkan daripada dipendam tetapi bergantung kepada individu sama ada dilepaskan secara negatif atau positif.
Lebih mudah, marah terjadi kerana ada sesuatu bertindak sebagai pencetus. Jika seseorang berfikiran negatif, maka dia tidak boleh menguruskan kemarahan tersebut dengan baik," jelasnya.
Tambah Dr. Sharil, marah terdiri daripada dua jenis iaitu marah yang terkawal dan tidak boleh dikawal.
Seseorang yang mengalami kemarahan tidak terkawal boleh mengamuk dan bertindak tidak rasional. Individu seperti ini ialah orang yang berfikiran negatif.
Manakala mereka yang boleh mengawal kemarahan mempunyai minda yang boleh berfungsi dan berfikir untuk memperbaiki keadaan dan bukan memburukkan situasi," ujarnya.
Untuk mengawal kemarahan, seseorang perlu ada kesedaran. Jika mereka sedar, kita ada kesempatan memperbaiki keadaan dan diri. Jika kita tangani peristiwa itu secara positif, seseorang boleh berada dalam keadaan gembira dan reda.
Tafsiran sesuatu peristiwa mempengaruhi fikiran dan jika positif, kita dapat membuat pilihan mengawal dengan baik.
Dalam contoh kes di atas, wanita tersebut sedang mengalami rampasan emosi apabila keretanya dilanggar sehinggakan tindakannya di luar kawalan dan membahayakan orang lain. Jika seseorang kerap mengalami rampasan emosi dan bertindak di luar kawalan, individu itu perlu mendapatkan rawatan," jelas beliau.
Pendekatan RMS
Justeru itu, Dr. Sharil telah menghasilkan pendekatan RMS untuk membantu meningkatkan kesihatan psikologi. Kaedah ini lebih praktikal diguna bukan sahaja dalam kaunseling tetapi boleh diamal oleh semua orang.
RMS merupakan singkatan untuk Reda, Maaf dan Syukur. Reda ialah menerima takdir dengan hati yang terbuka. Oleh itu, jiwa akan tenang. Selain itu, setiap orang perlu ada sifat pemaaf kerana kita tidak akan menyimpan setiap kemarahan di dalam hati.
Kita akan melepaskan perasaan itu dan membiarkannya pergi. Jika kita tidak memaafkan orang lain, kita akan sakit hati dan bersikap keras hati. Justeru, perasaan bengang akan timbul dan mengganggu cara berinteraksi dengan orang lain," jelasnya.
Seseorang juga perlu ada perasaan syukur. Apabila seseorang bersyukur, bermaksud dia sentiasa berterima kasih setiap apa yang dimilikinya. Namun, Dr. Sharil memberitahu, ramai yang tidak bersyukur dengan kelebihan dan memperbesar-besarkan kekurangan. Jika ini berlaku, maka banyak benda negatif akan berlaku.
Persoalan mengawal kemarahan ini datang daripada diri sendiri. Keupayaan mengawal kemarahan dan emosi mencerminkan kematangan psikologi seseorang itu. Orang yang matang dapat mengawal emosi, keadaan dan tidak membiarkan diri dikawal oleh keadaan.
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Sumber: Utusan
Labels:
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan