13 Julai 2014

Iftar Warga Kota Di Dataran Merdeka



TEPAT pukul 6 petang, tikar-tikar mula dibentang di Jalan Raja, berhadapan mercu tanda ibu negara iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka pada hari Ahad yang lalu di bulan Ramadhan.

Tikar yang dianggarkan sepanjang 50 meter setiap barisan yang dibentang oleh kakitangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ternyata menarik perhatian pelancong yang lalu-lalang di situ.

Mereka kelihatan teruja dengan situasi tersebut malah ada yang bertanyakan kepada kakitangan JKKN kegunaan tikar-tikar itu.

Usai tikar dibentang, kakitangan JKKN menyusun buah tamar, bubur lambuk dari Kampung Baru dan dua jenis kuih tradisional Melayu. kira-kira 45 minit kemudian, tikar yang sudah disediakan hidangan makanan itu mula dipenuhi pengunjung.


“Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa umat Islam di negara ini sedang menyambut Ramadan. Tetapi saya tidak tahu ada majlis berbuka puasa secara beramai-ramai di sini. Ini merupakan salah satu pengalaman unik kepada saya dan rakan kerana berpeluang bergaul dengan masyarakat di Kuala Lumpur,” jelas pelancong dari California, Amerika Syarikat, Tyler Bell, 20.

Menarik perhatian

Ujar pengembara sepenuh masa itu, selain hidangan makanan yang diberi secara percuma, tazkirah yang disampaikan di pentas utama juga menarik perhatiannya untuk turut serta dalam acara itu.

Tyler merupakan salah seorang daripada ratusan pengunjung menyertai Program Merakyatkan Seni Budaya: Jom Buka Puasa anjuran JKKN.


SEBAIK sahaja tikar dibentang, petugas JKKN mula menyusun bubur lambuk Kampung Baru.

Jom Buka Puasa yang dianjurkan pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Ramadan ini merupakan antara enam acara dalam kalendar festival itu.

Penganjuran majlis berbuka puasa di tengah-tengah jalan raya di ibu negara itu merupakan satu langkah terbaik untuk memberi gambaran sambutan bulan Ramadan masyarakat negara ini kepada pelancong.

Festival Ramadan tahun ini merupakan penganjuran edisi ketiga selepas kejayaan festival tersebut sejak tahun 2013 lalu.

Selain juadah berbuka puasa yang ringkas kepada pengunjung, festival tersebut juga padat dengan pelbagai aktiviti santapan rohani sepanjang bulan Ramadan.

Objektif utama penganjuran program tersebut untuk menjadikan bulan Ramadan dipenuhi dengan kegiatan kerohanian dan kesenian Islam kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Selain itu, Jom Buka Puasa merupakan salah satu langkah keprihatinan JKKN kepada sesama insan melalui amalan-amalan kebajikan untuk mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat.

Berdasarkan jumlah juadah yang diagihkan pada Sabtu dan Ahad lalu, dianggarkan seramai 7,000 orang pengunjung menyertai program Jom Buka Puasa.

Tema

Tampil dengan tema Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Yang Menerima, penganjuran Festival Ramadan sejak dua tahun lalu ternyata berjaya mengumpul pengikut tersendiri.

Mohd. Fauzi Zulkarnain, 29, merupakan antara warga kota yang tidak sabar untuk menyertai program tersebut kerana telah merasai pengalaman berbuka puasa di Jalan Raja pada tahun 2013 lalu.


SELAIN berpeluang menikmati hidangan tempatan, Tyler juga teruja kerana dapat bertemu dan berbual dengan masyarakat Malaysia menerusi program Jom Buka Puasa.

Dia yang berasal dari Tawau, Sabah dan kini menetap di Jalan Klang Lama Kuala Lumpur berkata, suasana meriah berbuka puasa secara beramai-ramai merupakan antara faktor utama dia dan keluarganya hadir sekali lagi ke program itu pada tahun ini.

“Saya lihat bilangan pengunjung yang berbuka puasa di sini lebih ramai dan meriah berbanding tahun lalu. Tikar yang dibentang juga lebih panjang. Program ini merupakan satu-satunya lokasi berbuka puasa di atas jalan raya di Kuala Lumpur.

“Sebelum ini, hanya buah tamar, bubur lambuk dan kuih-muih disediakan. Pada tahun ini, pihak penganjur menambah nasi gulai kawah dan pelbagai jenis minuman,” ujar bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Sebelum masuk waktu Maghrib, pengunjung dihiburkan dengan alunan-alunan lagu kerohanian dan tazkirah yang disampaikan oleh penceramah.

Kemuncak acara Jom Buka Puasa, pengunjung diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang merupakan acara wajib sepanjang festival tersebut.

Selain Jom Buka Puasa, lima acara lain yang dianjurkan ialah Tadarus al-Quran, Kem Remaja Ramadan, Pertandingan Nasyid dan Marhaban, Peragaan Hijab dan Bazar Ramadan Raya di Busana@Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Sementara itu, pelancong dari Mesir, Tarek Ebrahim, 46, memberitahu, penganjuran program Jom Buka Puasa itu juga merupakan salah satu cara terbaik yang menggambarkan keharmonian sambutan bulan Ramadan di negara ini.

Ujar doktor otolaringologi di sebuah hospital di Mesir itu, program tersebut bukan sekadar berbuka puasa semata-mata malah turut menekankan aspek pendidikan agama Islam secara langsung.

“Walaupun saya tidak memahami tazkirah yang disampaikan dalam bahasa Melayu, tetapi ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh penceramah jelas menggambarkan kelebihan beribadah dalam bulan Ramadan.


KUMPULAN Kesenian Muzik JKKN menghiburkan pengunjung di sekitar Jalan Raja dan Dataran Merdeka dengan lagu-lagu ketuhanan sebelum waktu berbuka.

“Di Mesir, suasana berbuka puasa secara beramai-ramai ini merupakan acara wajib bagi kami. Tetapi di Malaysia terutama dalam acara ini, penganjur amat menekankan aspek kerohanian. Ia pastinya menyemarakkan sambutan Ramadan dalam kalangan umat Islam. Acara ini perlu dianjurkan pada setiap tahun,” ujarnya.

Tarek juga telah melancong ke Pulau Langkawi, Kedah, Pulau Pinang dan Shah Alam sepanjang seminggu berada di negara ini.

Dia bersama anak-anak dan isterinya telah berkesempatan menyertai program Jom Buka Puasa itu pada Sabtu dan Ahad lalu. Tarek juga berpeluang menunaikan solat tarawih di Masjid Jamek yang juga berdekatan dengan Jalan Raja.

Pada 20 Julai 2014 ini merupakan majlis terakhir program Jom Buka Puasa. Pada acara kemuncak itu, JKKN akan menyediakan 20 periuk bubur lambuk Kampung Baru dan 32 aneka bubur yang terkenal dari seluruh Malaysia untuk santapan para pengunjung.

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Sumber: Kosmo

0 comments: