20 Julai 2014

Pelancar Peluru Berpandu BUK


BUK M1-2 dikatakan mampu memusnahkan pesawat di ketinggian 25,000 meter

Sistem peluru berpandu BUK yang dikatakan digunakan untuk menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di Ukraine dibangunkan oleh Soviet Union dan ia mampu menembak sasarannya yang berada pada ketinggian sehingga 25,000 meter.

Penganalisis Pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, sistem peluru berpandu itu yang dibangunkan sejak tahun 1970-an sebelum dipertingkatkan pada tahun 1998 menjadi model BUK M1-2 dilengkap dengan empat peluru berpandu pada setiap unit pelancar.

Menurut beliau, BUK M1-2 didatangkan dengan unit radar pengesan yang mampu mengesan sesuatu objek sasaran sehingga jarak 85 kilometer (km) di udara.


"BUK M1-2 merupakan sistem peluru berpandu jarak sederhana permukaan ke udara (SAM) yang menyasarkan pesawat yang dikenal pasti sebagai musuh atau ancaman berpandukan isyarat dikesan pada radarnya.

"Ia bukan setakat mampu mengesan objek yang berada pada jarak yang jauh malah mampu melancarkan serangan sejauh sehingga 40,000 meter di daratan manakala serangan udara sehingga ketinggian 25,000 meter," kata beliau.

Muhammad Fuad memberitahu, BUK M1 dihasilkan antara tahun 1970-an hingga 1980-an dan pemodenan seterusnya iaitu BUK M1-2 dibangunkan pada 1998.

Tambah beliau, sebaik dilancarkan peluru berpandu itu akan mengaktifkan sistem penderia untuk menujah ke sasaran mengikut frekuensi yang ditetapkan.

"BUK tidak berpandukan kepanasan haba pada pesawat sasarannya dan sebab itu peluru berpandu ini bergerak laju menghentam dari arah bawah badan pesawat.

"Kebarangkalian bagi memusnahkan sasaran pula setinggi 95 peratus kerana peluru berpandu tersebut memang direka untuk tujuan tersebut," ujarnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, Rusia sebenarnya mempunyai beberapa lagi SAM yang mungkin boleh dikaitkan dengan serangan pesawat MH17 antaranya SA-6, SA-8 termasuk peluru berpandu jarak jauh S-300.

Sumber: Kosmo

0 comments: