07 Ogos 2014

Bahaya Hipotensi Ketika Hamil



PENYAKIT tekanan darah rendah atau hipotensi merupakan satu keadaan yang jarang berlaku dalam kalangan masyarakat jika hendak dibandingkan dengan tekanan darah tinggi.

Namun, masih ada pesakit yang mengalami tekanan darah rendah malah wanita hamil turut cenderung mendapat penyakit ini sehingga  boleh mengundang keguguran atau melahirkan bayi pra matang.

Tekanan darah adalah suatu pengukuran tekanan yang terdapat dalam saluran arteri ketika jantung sedang aktif mengepam darah dan  dalam keadaan rehat seketika.

Tekanan darah mempunyai dua bacaan. Bacaan systolic (bacaan atas) yang mengukur tekanan dalam saluran arteri ketika jantung sedang aktif mengepam darah keseluruhan badan.


Sementara bacaan diastolic (bacaan bawah) yang mengukur tekanan dalam saluran darah arteri ketika jantung sedang dalam keadaan rehat sebentar.

Sebagai garis panduan am, bacaan purata bagi tekanan darah yang normal adalah 120/80 mm Hg. Bacaan yang kurang dari ini dianggap rendah.

Bacaan tekanan darah ini boleh diukur secara tepat dengan menggunakan alat sphygmomanometer, tetapi bacaan ini selalunya mengalami turun dan naik.

Saluran darah mengembang

Ketika mengandung, tubuh ibu akan menyediakan suasana persekitaran selamat, di samping memberi nutrisi kepada bayi sedang membesar di dalam kandungannya.

Oleh sebab itu, seorang wanita mengandung akan mengalami perubahan fizikal dan fisiologi yang dramatik, termasuk melibatkan sistem peredaran darah dalam badan.

Perubahan sistem peredaran tubuh yang mencirikan proses mengandung normal adalah disebabkan oleh vasodilatasi (penambahan diameter pembuluh darah, khususnya arteri) periferal. Semasa mengandung, tekanan darah adalah lebih rendah akibat perubahan hormon dan menyebabkan saluran darah mengembang.

Salur-salur darah juga tidak akan mengalami pengecutan secepat mahupun secekap sebelum mengandung sebagai suatu tindak balas kepada perubahan gaya atau kedudukan tubuh.

Oleh sebab itu, seseorang yang berdiri dengan cepat tidak memberi masa secukupnya untuk sistem peredaran melakukan penyesuaian, seterusnya tidak cukup darah dan oksigen sampai ke otak dan ibu yang mengandung itu akan berasa pitam.

Semasa hamil, jantung akan bekerja mengepam darah kepada rahim dan bayi dalam kandungan dengan lebih kuat. Pengeluaran kardiak (berkaitan jantung) bertambah dari seawal lima minggu kehamilan.

Jumlah darah yang dipam oleh jantung meningkat 45 peratus apabila janin berusia 24 minggu. Denyutan jantung meningkat 30 peratus. Denyutan nadi boleh meningkat dari kadar 60 ke 70 denyutan seminit sebelum mengandung kepada 80 ke 90 denyutan seminit semasa hamil.

Walaupun terdapat penambahan dramatik pengeluaran kardiak, tekanan darah menurun semasa trimester kedua kehamilan dan kembali ke normal semasa trimester ketiga.

Wanita hamil sememangnya kerap mengalami tekanan darah rendah kerana ia adalah tindak balas biasa disebabkan oleh saluran darah yang mengembang akibat kesan dari hormon.

Selalunya ia berlaku pada wanita yang berusia muda ketika hamil, mempunyai tubuh yang rendah, berat badan yang ringan dan bentuk tubuh yang kurus.

Tekanan darah boleh menurun seawal trimester pertama dan berlangsung sehingga trimester kedua. Ini kerana tubuh mempunyai darah yang lebih banyak untuk di pam ke jantung. Tekanan darah akan stabil semula selepas melahirkan anak.

Dalam keadaan ini wanita hamil yang normal juga mengalami bacaan tekanan darah mereka berubah-ubah. Bacaan systolic boleh turun sebanyak 5-10 mm Hg. Sementara bacaan diastolik pula boleh turun sehingga 15 mm Hg.

Walaupun berlakunya perubahan tekanan darah yang banyak seperti ini, namun apa yang penting, bukan bacaan tekanan darah tetapi gejala mereka yang dialami.

Kebanyakan doktor mendefinisikan “tekanan darah yang rendah” sebagai tekanan darah yang mempunyai bacaan rendah sama ada bacaan systolic lebih rendah dari90 mm Hg atau bacaan diatolik lebih rendah dari60 mm Hg.

Sebagai contoh jika seorang wanita hamil mempunyai bacaan systolic 120 tetapi bacaan diastolic  50, ia sudah dikira sebagai bacaan yang rendah.

Pitam dan pening

Perubahan tekanan darah hanya 20 mm Hg dari bacaan110 mm Hg (systolic) kepada90 mm Hg (systolic) boleh menyebabkan rasa pening dan pitam kerana otak tidak menerima bekalan darah yang cukup. Oleh sebab tekanan darah sering berubah-ubah dan masih dalam keadaan normal, apa yang penting bukanlah bacaan tekanan darah tetapi gejala  yang dialami.

Sebagai contoh bacaan tekanan darah 90/60 dan mempunyai gejala pitam lebih bahaya daripada wanita yang mempunyai bacaan tekanan darah 86/58 tetapi tidak mengalami apa-apa gejala.

Antara gejala yang membimbangkan ialah rasa pening dan pitam yang keterlaluan sepanjang hari sehingga tidak mampu melakukan tugas seharian dan sering mengalami pengsan.

Apabila kerap mengalami rasa loya, pening dan muntah,  seorang wanita itu mungkin akan mengalami berat badan yang berkurangan.

Jika setakat mengalami pening dan pitam apabila berdiri lama atau bertukar dari posisi tubuh, dari posisi duduk kepada berdiri atau dalam posisi baring kepada posisi duduk atau berdiri, ia adalah fenomena biasa.

Bagaimanapun, jika tekanan darah bertambah teruk ia berbahaya kepada ibu yang hamil tetapi juga anak dalam rahim.

Banyak kajian mendapati bahawa wanita yang mempunyai tekanan yang sangat rendah lebih mudah melahirkan anak secara pramatang (kurang dari 34 minggu) dan mempunyai bayi yang dilahirkan kurang berat badannya malah ada juga mengalami keguguran.

Perlu rehat mencukupi

Bagi mereka yang mengalami simptom ini perlu memastikan mereka mendapat rehat yang mencukupi dan mengamalkan pemakanan yang seimbang serta berkhasiat, selain memastikan minum air secukupnya.

Pesakit juga harus duduk atau baring jika berasa lemah dan pitam bagi mengelak terjatuh dan mengalami kecederaan. Mereka juga dinasihatkan mengiring ke kanan semasa tido bagi meningkatkan aliran darah ke jantung.

INFO:

Punca Hipotensi
*    Peningkatan dalam isipadu darah
*    Penurunan secara sederhana dalam kepekatan sel darah merah
*    Penurunan kadar HB normal
*    Kurang pengambilan zat besi dalam diet
*    Kekurangan asid folid
*    Pendarahan gastrointestinal
*    Kehilangan darah dari pendarahan buasir

RISIKO HIPERTENSI:

A. Kesan kepada ibu
• Ibu boleh pitam atau mudah pitam/pengsan
• Mengalami keguguran
• Mengalami kegagalan jantung
• Pendarahan semasa mengandung dan bersalin
• Risiko alami penyakit berjangkit

B. Kesan kepada bayi dalam kandungan
• Intrauterine growth restriction (IUGR) atau Pertumbuhan janin terbantut
• Lahir sebagai premi atau tidak cukup bulan
• Berat bayi yang lahir kurang 2.5kg
• Anak lemas semasa lahir atau Asphyxia
• Mati ketika dilahirkan atau stillbirth

Pengakuan: 
Kerap pitam, berat badan menurun

Saya seorang ibu muda berusia 21 tahun. Saya kini sedang hamil. Semenjak hamil, tekanan darah saya semakin turun. Tekanan darah normal saya adalah 110/70 dan 110/60, tetapi telah mencecah kepada 90/53 dan kini 90/40. Saya tidak tahu adakah keadaan ini berbahaya atau petanda yang tidak baik?
Malahan, berat saya juga menurun sebanyak 4kg dalam masa tujuh minggu. Saya pernah pitam dan menjadi seram sejuk dengan tiba-tiba. Saya juga selalu hampir pitam apabila ingin berdiri ketika sedang duduk atau baring. Keadaan ini kerap berlaku.

Balqis, 21, penjawat awam

Oleh: NORAWAZNI YUSOF
Sumber: Sinar Harian

0 comments: