06 Ogos 2014

Boikot Produk Israel Dengan Ilmu Bukan Emosi

Hassan Mahmud Al-Hafiz
Hassan Mahmud Al-Hafiz

Dalam mengecam keganasan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin khususnya di Gaza, rakyat Malaysia tidak terkecuali memainkan peranan melalui tindakan memboikot produk-produk dan jenama yang dikaitkan dengan Israel.
 
Bagaimanapun, mutakhir ini terdapat beberapa tindakan yang dilihat keterlaluan oleh segelintir pihak yang memboikot termasuklah merendah-rendahkan golongan yang tidak menyertai usaha mereka, serta ada juga perlakuan buruk seperti memarahi dan meludah pekerja restoran yang diboikot itu.
 
Timbul persoalan di manakah kewajaran perbuatan buruk seumpama itu sedangkan tujuan asalnya adalah untuk bersama-sama membentuk solidariti bagi membantu umat Islam di Gaza yang ditindas rejim Zionis.


"Perbuatan itu semua bertentangan dengan ajaran Islam. Sedangkan pada zaman Rasulullah SAW juga berlaku urusan muamalat antara Nabi dan golongan Yahudi meskipun baginda mengetahui niat golongan itu mahu membunuh baginda," kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu) Ahmad Fazrin Yahaya ketika dihubungi Bernama.
 
Katanya sehingga kini masih belum ada ketetapan bahawa tindakan memboikot produk yang menyumbang kepada Zionis itu sebagai sesuatu yang wajib dilaksanakan.

"Sebagai umat Islam, kita tidak diajar menzalimi orang atau membalas kezaliman dengan kezaliman. Kekerasan hanya dibenarkan dalam peperangan," jelas Ahmad Fazrin.
 
Berita-berita 'kurang enak' mengenai usaha mengecam rejim Zionis kini banyak menghiasi laman-laman media sosial semalam termasuklah mengadakan ceramah di hadapan restoran makanan segera.
 
Selain itu, ada juga laporan mengenai tindakan seorang pemuda makan makanan yang dibeli di luar dengan sengaja di dalam restoran berkaitan sehinggalah kepada perbuatan meludah pekerja di sebuah kafe terkemuka oleh individu-individu yang kononnya memperjuangkan nasib penduduk Gaza.
 
Ahmad Fazrin berkata usaha memboikot haruslah dilaksanakan secara berilmu dan bukannya mengikut emosi atau sentimen, yang akhirnya menjurus kepada perbuatan-perbuatan yang tersasar dari syariat Islam.
 
"Kalau nak boikot jangan sampai melampau. Kononnya nak tunjukkan kita Islam tapi sebenarnya perlakuan zalim itu tidak jauh berbeza dengan Zionis yang sedang membunuh anak-anak Palestin. Walaupun perbuatan kita tidaklah sampai ke tahap itu," katanya.

Pendakwah terkenal, Ustaz Hassan Mahmud Al-Hafiz pula berkata usaha boikot boleh dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pihak yang menganiaya sesuatu pihak yang lain.
 
Bagaimanapun, katanya, setiap tindakan yang diambil itu haruslah bersandarkan adab dan budi pekerti supaya tidak menyakiti orang yang tidak bersalah.
 
"Buatlah ikut kemampuan. Tapi haruslah bersabar (dengan orang-orang yang tidak mengikut usaha boikot). Apa yang ada sekarang ini telah lama berakar umbi dalam masyarakat, dalam negara. Jadi mustahil untuk dibuang serta-merta," katanya.
 
Hassan turut menasihatkan golongan yang memilih jalan untuk memboikot agar tidak menaruh syak wasangka kepada pihak-pihak lain yang tidak menyertai usaha mereka.
 
"Cara menegur dan mengajak mereka juga tidak boleh dengan berkeras. Hendak menegur kena ada adab dan caranya supaya boleh diterima. Tunjukkanlah kemesraan, barulah berkesan," katanya.
 
Serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak 8 Julai 2014 dilapor mengorbankan lebih 1,800 nyawa setakat ini termasuk wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
 
Sejajar dengan itu, gesaan memboikot produk-produk keluaran syarikat yang menyokong kekejaman rejim Zionis dibuat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) negara ini bagi memberi tekanan kepada ekonomi negara tersebut.

Oleh Noor Farhana Ahmad Norain
Sumber: BERNAMA, Sina Harian



Boikot akan lemahkan ekonomi Israel

Langkah memboikot produk dan perniagaan Israel akan menjejaskan ekonomi regim zionis, sekali gus dapat mengekang Israel daripada terus melancarkan serangan terhadap penduduk Palestin.

Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia Muslim Abu Umar berkata, Israel mempunyai ekonomi beraneka yang mendapat kekuatan daripada beberapa sektor khususnya pembuatan dan tindakan memboikot produk itu akan melemahkan sektor berkenaan.
 
Beliau berkata, memboikot produk dan perniagaan Israel merupakan perjuangan penting yang semua orang di dunia boleh turut serta dalam mempertahankan penduduk Palestin daripada "peluru" regim zionis Israel.
 
"Ekonomi amat penting bagi Israel untuk kekal kuat, khususnya aspek persenjataan, jadi apabila ekonominya lemah, kami percaya aspek persenjataan juga akan lemah dan ini bermakna kurang serangan terhadap rakyat Palestin," katanya.
 
Muslim berkata, selain boikot produk dan perniagaan, boikot sepenuhnya peringkat antarabangsa melibatkan pelbagai sektor penting seperti perdagangan, politik dan akademik akan memencilkan Israel daripada dunia dan mewujudkan tekanan terhadap regim zionis untuk menghapuskan dasar apartheidnya terhadap penduduk Palestin.
 
"Tindakan boikot semakin meningkat khususnya di Eropah dan juga di sini di Asia, dan kini sudah terdapat universiti-universiti antarabangsa yang memutuskan hubungan dengan universiti Israel dan saya berharap dengan peningkatan sokongan daripada masyarakat antarabangsa, Palestin akan bebas satu hari nanti," katanya.
 
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'mor Osman berkata, tindakan memboikot barangan dan perniagaan berkait Israel hanya akan memberikan kesan mendalam sekiranya dilakukan dengan konsisten dan teratur.
 
"Krisis Palestin bukan krisis sehari dua, jangan pula sekarang ketika Israel menyerang Palestin kita boikot tetapi bila tidak serang kita tidak boikot, selagi Palestin itu tidak bebas daripada cengkaman Israel kita perlu terus konsisten boikot," katanya.
 
Beliau berkata orang ramai perlu bijak dalam memboikot barangan berkaitan Israel supaya tindakan itu mampu mendatangkan kesan kepada Israel dan tidak memberikan kesan negatif kepada rakyat Malaysia sendiri.
 
"Kaji dahulu barang apa kita hendak boikot dan cari barangan pengganti daripada pembuat Islam sendiri, realitinya sukar untuk kita boikot semua barang Israel ini atas pelbagai sebab, tetapi kita perlu bermula mungkin dengan dua atau tiga barangan itu suatu permulaan cukup baik," kata Ma'mor.
 
Beliau berkata, apabila boikot itu dilakukan secara berstrategi dan sistematik, pendapat yang mengatakan memboikot barangan dan perniagaan berkait Israel boleh memberikan kesan buruk kepada ekonomi rakyat Malaysia akan menjadi tidak relevan sama sekali.

Sumber: Bernama, Sinar Harian [16 Julai 2014]

0 comments: