05 Ogos 2014

Peluang Bumiputera Jadi Akauntan Bertauliah Melalui YPPB



Statistik jumlah keseluruhan akauntan negara yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2012 menunjukkan bahawa, golongan Bumiputera hanya merangkumi 28 peratus daripada bilangan akauntan tempatan.

Apabila data itu diperhalusi lagi, hanya lapan peratus sahaja iaitu 1,464 orang Bumiputera yang bertaraf profesional atau bergelar akauntan bertauliah berbanding jumlah keseluruhan 19,062 akauntan bertauliah tempatan.

Ini sudah tentu tidak seimbang dengan statistik populasi terkini negara yang mana golongan Bumiputera sebenarnya merangkumi 67.4 peratus daripada kira-kira 28 juta populasi negara.


Bimbang dengan data berkenaan, EPU mewujudkan agensi Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) yang bertanggungjawab untuk memperkasakan golongan Bumiputera dalam karier profesional.

Antara fungsi lain YPPB ialah untuk menangani isu kesukaran Bumiputera mendapat jawatan yang baik dan membantu meningkatkan bilangan golongan itu di dalam tenaga kerja berkemahiran tinggi memandangkan bilangan Bumiputera yang mengisi jawatan di tahap tenaga kerja pengurusan hanya empat peratus.

Baru-baru ini, YPPB mengambil inisiatif mengadakan sesi pertemuan di antara seorang ikon ekonomi negara iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dengan pelajar beberapa universiti terpilih.

Abdul Wahid, yang asalnya seorang akauntan, pernah mengubah iklim banyak syarikat terkemuka termasuk institusi kewangan, Maybank, ketika menduduki kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), sebelum dilantik menjadi Menteri Kabinet.

ASPIRASI NEGARA MAJU

Dalam sesi bertajuk 'Accountants-Life Beyond Calculators!!' itu, Abdul Wahid membincangkan kepentingan menceburi bidang perakaunan ekoran keperluan dalam pelbagai lapangan yang perlu diisi dalam usaha negara mencapai status negara maju Wawasan 2020.

"Kita memerlukan lebih ramai akauntan untuk membantu pelbagai Projek 'Entry Point' di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), malah selari dengan pembangunan berterusan negara, kita juga memerlukan lebih ramai Akauntan Bertauliah bagi menyokong aspirasi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi", tegasnya.

Beliau mengingatkan peserta bahawa hanya tinggal enam tahun sahaja lagi untuk Malaysia mencapai visi berkenaan, sekaligus memerlukan negara berusaha keras bagi membangunkan lebih banyak golongan profesional dan tenaga kerja mahir.

"Setakat Jun 2013, terdapat 29,624 akauntan berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA), sedangkan negara memerlukan 60,000 akauntan menjelang 2020 bagi menampung kepesatan pembangunan dalam pelbagai sektor", katanya.

PROFESION PILIHAN

Beliau juga menepis pelbagai salah faham terhadap karier itu sekaligus memberi galakan kepada pelajar untuk mengambil peluang menceburi bidang yang menjanjikan pendapatan lumayan itu.

"Saya sama sekali tidak bersetuju dengan persepsi yang ada dalam kalangan sebahagian rakyat yang merasakan kerjaya akauntan itu 'membosankan', 'bersifat duniawi' dan 'anti-sosial'", katanya.

Sebaliknya, beliau menganggap ia karier yang cukup menarik malah memberi contoh dirinya sendiri yang telah mendapat tempat serta peluang mengetuai pelbagai syarikat di dalam pelbagai sektor seperti infrastruktur, telekomunikasi dan institusi kewangan.

Beliau mengakui segala ilmu pengetahuan yang dikumpul semasa menjadi akauntan banyak membantunya memahami secara mendalam tentang dunia perniagaan, butiran terperinci kedudukan kewangan syarikat, amalan terbaik dalam pelbagai proses perniagaan, sekaligus menjadi diri beliau seperti hari ini.

"Akauntan bertauliah bertaraf profesional mempunyai lebih banyak peluang memajukan diri di dalam industri, malah terdapat ramai akauntan bertauliah yang muncul sebagai pemimpin korporat dan usahawan negara yang berjaya", katanya.

Beliau menyebut beberapa nama tokoh negara berlatarbelakangkan perakaunan sebagai contoh, CEO Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, usahawan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun serta pengasas Symphony House, Tan Sri Azman Yahya.

PENDAPATAN LUMAYAN

Lebih baik lagi, kata Abdul Wahid, profesion ini menjanjikan pendapatan lumayan sebagaimana yang dilaporkan oleh Robert Walters "Salary Survey Report 2013 for Malaysia".

Laporan itu menyatakan tawaran gaji pokok untuk jawatan peringkat pengurusan kanan seperti CFO, Ketua Auditor Dalaman dan Financial Controllar ialah antara RM200,000-RM500,000 setahun.

Gaji untuk profesional di peringkat pengurusan seperti penganalis perniagaan dan pengurus kewangan pula antara RM96,000-RM216,000 setahun, manakala jawatan di peringkat eksekutif pula boleh mencecah sehingga RM102,000 setahun.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kejayaan akauntan secara profesional adalah bergantung kepada latihan pasca-kelayakan serta pembangunan diri yang memerlukan mereka bersaing di dalam iklim terkini industri.

"Justeru, graduan perakaunan digalakkan untuk mengejar pensijilan profesional yang akan membantu mereka mengekalkan tahap jangkaan dan kecekapan serta menghadapi perubahan dan pembangunan dalam industri", jelasnya.

SIJIL PROFESIONAL

Mengenai tugas YPPB untuk memperkasakan Bumiputera dalam bidang profesional, Abdul Wahid mahu Bumiputera merebut sepenuhnya peluang bantuan yang disediakan melalui pelan pensijilan profesional yang diusahakan sejak tahun 2013.

Pelan jangka panjang yang bertujuan membangunkan lebih ramai profesional Bumiputera itu dikenali sebagai 'YPPB Roadmap To 2020' dan telah menggariskan pelbagai strategi bagi membantu meningkatkan kapasiti pembangunan, tahap keprofesionalan dan pendidikan.

"Walaupun program itu turut memberi tumpuan kepada profesion lain seperti arkitek dan jurutera, cabaran paling kritikal adalah untuk menghasilkan lebih ramai akauntan profesional bagi memenuhi permintaan industri dan negara", jelas Abdul Wahid.

Justeru, YPPB mewujudkan program yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu melonjakkan anak Bumiputera yang benar-benar bertekad mahu mengejar impian untuk menjadi akauntan bertauliah berjaya.

Ia menyasarkan pekerja berusia tidak lebih 40 tahun yang mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya diploma dengan keputusan cemerlang dalam bidang berkaitan perniagaan.

Wawasan yayasan itu ialah mahu membantu sekurang-kurangnya 3,500 Bumiputera menjelang tahun 2020, atau 500 orang setahun menerusi tiga program iaitu Peneraju Profesional Akauntan (PPA), Peneraju Profesional Pensijilan Perakaunan (PPP) dan Peneraju Skil Perakaunan (PSP).

LALUAN KARIER PANTAS

Abdul Wahid juga menyeru ibu bapa untuk mencungkil potensi anak pada usia yang lebih muda iaitu seawal tamat persekolahan, bagi membolehkan mereka merebut peluang mencapai kejayaan iaitu naik ke peringkat pengurusan kanan industri perniagaan dengan lebih cepat.

"Satu lagi program yang baru sahaja dilancarkan ialah Peneraju Profesional Akauntan Muda (PPAM) iaitu biasiswa atau pinjaman penuh atau separuh kepada pelajar lepasan SPM, diploma dan siswa cemerlang tahun ketiga atau keempat bagi mendapatkan sijil professional", tambahnya.

Program itu menyediakan laluan karier paling pantas untuk golongan muda mendapatkan Sijil Perakaunan Asas Antarabangsa iaitu CAT, CFAB dan CIMA-CBA serta Sijil Perakaunan Profesional Antarabangsa iaitu ACCA, ICAEW, MICPA-ICAA, CIMA dan CPA Australia di institusi pendidikan terpilih tempatan.

Buat masa ini program PPAM itu boleh didapati di Lembah Klang dan Kuching, Sarawak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program khas perakaunan untuk Bumiputera itu dan program profesional lain dengan melayari laman web YPPB di alamat www.penerajuedu.com .

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali
Sumber: BERNAMA, Kosmo

0 comments: