24 Ogos 2014

Hari Perkabungan Negara ~ Penghormatan Terakhir Buat Mangsa MH17


Ketibaan jenazah noktah penantian

Kebersamaan mendakap dugaan emosi

SETELAH melalui perjalanan jauh yang panjang, akhirnya sebahagian rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada 17 Julai lalu, 'pulang' ke pangkuan keluarga.

Semalam Jumaat, 22 Ogos 2014, 20 daripada 43 rakyat Malaysia yang merupakan antara 298 penumpang MH17 yang terkorban dalam tragedi jenayah udara di Ukraine itu 'mendarat' ke destinasi yang tertangguh sejak 37 hari, dalam keadaan jasad yang kaku, dalam keranda yang dibaluti Jalur Gemilang, diberi penghormatan tertinggi kerajaan.

Pertama kali dalam lipatan sejarah negara, Hari Perkabungan Negara diumumkan, serentak ketibaan kumpulan pertama jenazah mangsa rakyat Malaysia yang terdiri daripada sembilan anak kapal dan 11 penumpang, semalam.


Ketibaan jenazah dengan pesawat MH6129 selepas mendarat di pekarangan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.54 pagi itu telah disambut oleh lebih 500 hadirin termasuk ketua dan pemimpin negara serta orang kenamaan.

Upacara khas penerimaan dan penghormatan jenazah MH17 itu dilakukan dengan penuh istiadat ketenteraan sebagai tanda penghormatan kepada semua mangsa yang dianggap 'wira' negara. Hakikatnya, tragedi itu telah merubah corak industri penerbangan dunia yang lebih selamat dan terjamin pada masa depan.

Tepat pukul 10.54 pagi, sejurus keranda ke-20 dan terakhir yang menyimpan jasad Hasni Hardi Parlan diusung masuk ke dalam van jenazah, kesemua hadirin di KLIA berdiri dan bertafakur selama seminit.

Perkara sama dilakukan oleh hampir seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti istiadat itu secara langsung dari corong radio mahupun kaca televisyen di premis masing-masing.

Yang beragama Islam menyedekahkan al-Fatihah manakala yang bukan Islam berdoa mengikut kepercayaan masing-masing.

Liputan media di beberapa sekolah dan jabatan kerajaan menunjukkan rata-rata pelajar, guru, kakitangan dan orang awam yang berpakaian gelap, berdiri bertafakur bagi menghormati jenazah mangsa MH17.

Bahkan di beberapa kawasan tumpuan seperti di Jambatan Pulau Pinang; Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur; Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Johor; KLIA dan KLIA2 selain di bandar Kuching, Sarawak serta kawasan pasar berdekatan Hotel Hyatt, Sabah, orang ramai menghentikan aktiviti seketika untuk bertafakur.

Bagi ahli keluarga mangsa, tentunya penghormatan yang diberikan sedikit-sebanyak dapat mengubati kesedihan dan kepedihan atas kehilangan insan tersayang yang ada antaranya sudah lama tidak bersua muka.

Rata-rata rakyat memuji komitmen tinggi kerajaan khususnya dalam menguruskan kepulangan jenazah dan kebajikan keluarga mangsa sejak tragedi berlaku, malah kemudahan dua kenderaan untuk setiap waris disediakan bagi mengiringi jenazah pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan.


DERETAN kereta jenazah bersiap sedia dalam upacara Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17.

Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, liputan istiadat penghormatan jenazah mangsa MH17 itu secara tidak langsung memberi isyarat kepada dunia bahawa rakyat Malaysia kekal bersatu waima berhadapan pelbagai dugaan.

"Biarpun Malaysia diuji dua musibah besar pesawat (MH370 dan MH17), namun ia sedikit pun tidak menjejaskan moral rakyat biarpun ketika awal kejadian ada beberapa pihak cuba meletakkan kesalahan tragedi kepada kerajaan Malaysia.

"Insiden ini (berkabung dan bertafakur) menyaksikan rakyat bersatu hati bersama kerajaan dan ahli keluarga mangsa menyampaikan emosi dan membentuk persefahaman umum bagi menunjukkan kebersatuan dalam situasi suka dan duka," katanya.



Mengulas mengenai Hari Perkabungan Negara itu, Noor Sulastry berkata, ia adalah usaha murni yang wajar disertai oleh masyarakat majmuk di negara ini memandangkan itulah saat dan ketika untuk rakyat menunjukkan pelbagai perasaan terhadap apa yang berlaku dalam keadaan suasana tenang.

Perpaduan yang terbentuk dalam satu hari ini bukan untuk meratapi peristiwa sebaliknya perlu menganggap ia sebagai pengajaran dan pedoman agar tidak membuat sebarang kesimpulan terburu-buru menyalahkan mana-mana pihak dan tunggu sehingga siasatan selesai.

Hakikatnya, Malaysia dicemburui banyak negara dalam beberapa perkara dan keunikan perpaduan rakyat berbilang kaum serta pertumbuhan ekonomi negara merupakan antara yang menjadi ukuran penting kejayaan sesebuah negara.



Biarpun negara digambarkan berhadapan dengan konflik sosial dan politik tempatan, namun sebahagian besar rakyat kini sudah waras untuk membuat penilaian yang terbaik.

Memetik Noor Sulastry, peristiwa malang ini telah mengatasi perbezaan kaum dan fahaman politik.

Solidariti spontan yang ditunjukkan semasa negara berkabung atas kehilangan mangsa MH17 menyerlahkan sikap kesedaran, keinsafan dan setiakawan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bayangkan tanpa ada sebarang pertalian kekeluargaan, kesedihan dan keperitan yang ditanggung oleh keluarga mangsa turut dirasai rakyat dan ia dizahirkan dalam bentuk berkabung.

Empati kebersamaan ini sangat penting bagi setiap warga Malaysia lebih-lebih lagi kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-57 pada 31 Ogos 2014 ini.

Oleh RAJMAH HASAN
Sumber: Utusan

Ujian solidariti rakyat Malaysia


ORANG ramai daripada pelbagai latar kaum dan agama yang membanjiri Dataran Merdeka , Kuala Lumpur, berdoa dan bertafakur selama seminit bagi menunjukkan solidariti rakyat Malaysia terhadap tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada Hari Perkabungan Negara.

Tepat pukul 10.54 pagi semalam, sejurus selepas jenazah ke-20 mangsa tragedi MH17 dimasukkan ke kenderaan jenazah, seluruh negara bertafakur. Seluruh negara bersedih. Perasaan sedih ini menusuk jiwa sesiapa sahaja yang mengikuti siaran langsung ketibaan jenazah rakyat Malaysia dari Amsterdam, Belanda.

Suasana pilu dapat dirasai di mana-mana sahaja. Di jalan raya dan di atas jambatan, pemandu memberhentikan kenderaan masing-masing di tepi jalan pada detik itu.

Di pejabat-pejabat kerajaan dan syarikat swasta, kakitangan berhenti bekerja seketika. Di sekolah, guru, pelajar dan murid semuanya melakukan perkara yang sama. Semuanya bertafakur untuk berdoa dan memberi penghormatan kepada mangsa tragedi udara yang menyayat hati itu.

Hari perkabungan semalam membuktikan rakyat Malaysia berganding bahu dalam berhadapan isu-isu besar, apatah lagi jika insiden itu melibatkan negara sendiri.

Mereka bersatu menzahirkan satu solidariti tanpa mengira usia, pangkat, warna kulit dan agama ke atas seluruh mangsa pesawat MH17. Mereka mahu berkongsi kesedihan dan simpati ini dengan keluarga dan sanak saudara mangsa terlibat.

Sejak 37 hari yang lalu, ketika berita pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine, seluruh rakyat negara ini berkongsi rasa simpati ini. Insiden ini menjadi satu lagi rentetan peristiwa sedih yang menimpa rakyat Malaysia. Belum pun reda dengan insiden kehilangan pesawat MH370 yang sehingga sekarang tidak diketahui nasibnya, rakyat Malaysia sekali lagi dirundung perkhabaran sedih. Kali kedua dalam tempoh satu tahun.

Dalam berhadapan dengan dua tragedi besar ini, rakyat Malaysia seperti sebelum ini terus menunjukkan satu semangat penyatuan yang kuat. Sebelum pengumuman berhubung hari perkabungan negara pun, mereka sudah berbuat demikian. Rasa simpati dan sokongan yang kuat kepada saudara mara dan waris mangsa tidak putus-putus dizahirkan dalam pelbagai bentuk.

Satu kajian yang dijalankan oleh bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid dan pembantu penyelidiknya, Azrul Hisyam Wakichan membuktikannya. Kajian itu mendapati 96 peratus responden berkongsi rasa dukacita dan bersedia menghulur bantuan kepada mereka yang terlibat.

Pelbagai acara keramaian yang berbentuk hiburan dibatalkan. Majlis sambutan Aidilfitri paling banyak menerima kesan. Majoriti syarikat korporat besar membatalkan sambutan ini. Sesetengahnya mengadakannya dalam skala kecil, tertutup dan tertib. Semuanya dilakukan bagi menghormati hati dan perasaan keluarga mangsa MH17 kerana mereka berkongsi kesedihan yang sama.


Menulis ucapan takziah pada kain rentang memperingati mangsa tragedi MH17 di Kuala Lumpur.

Kemusykilan

Portal e-Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( Jakim) sudah menjelaskan dengan baik kemusykilan berkaitan isu bertafakur dan berkabung ini. Antara penjelasan yang diberikan ialah perbuatan bertafakur beberapa minit bagi menghormati orang yang meninggal dunia tidak bertentangan dengan syarak.

Tanda penghormatan itu bersifat universal dan tidak melibatkan apa-apa ritual bacaan dan pergerakan yang menyerupai amalan keagamaan agama lain.

Penekanan dalam perbuatan moment of silence ini menurut portal berkenaan lebih kepada bagi menunjukkan kesedihan, ingatan dan penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia. Namun sekiranya perbuatan tersebut disertai dengan ritual keagamaan agama lain seperti menyalakan lilin atau bacaan-bacaan tertentu maka ia menjadi tidak selari dengan amalan Islam dan dilarang oleh syarak.

Sementara perbuatan berkabung bagi menunjukkan tanda dukacita kepada orang yang meninggal dunia seperti mengibarkan bendera separuh tiang dan memakai pakaian berwarna serba hitam atau suram adalah dibenarkan. Perbuatan itu boleh dilakukan selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur atau ritual keagamaan bukan Islam yang bertentangan dengan syarak oleh orang Islam.

Oleh Rozaman Ismail
Sumber: Utusan


PERGERAKAN kenderaan dari tanah besar menghala ke pulau dihentikan selama seminit di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, untuk bertafakur memperingati mangsa tragedi MH17. - Foto NSTP

Pergerakan kenderaan dihentikan seminit di Plaza Tol Jambatan P Pinang

Pergerakan kenderaan dari tanah besar menghala ke pulau dihentikan selama seminit di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, untuk bertafakur memperingati mangsa tragedi MH17.

Keadaan sama dapat dilihat di Jambatan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah apabila semua kenderaan berhenti di Plaza Tol Batu Maung.

Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang Ishak Ahmad yang turut serta bertafakur di Jambatan Pulau Pinang berkata semua pemandu memberi kerjasama yang baik dengan memberhentikan kenderaan mereka untuk bertafakur.

"Walaupun berlaku kesesakan hampir tiga kilometer di laluan masuk ke Jambatan Pulau Pinang dari arah seberang ke pulau, tiada seorang pun pemandu membunyikan hon.

"Terima kasih kepada polis kerana membantu mengawal lalu lintas," katanya.

Sumber: BERNAMA, BHarian

0 comments: