11 Ogos 2014

Pesona Kubah Biru Masjid Shah Alam


KEINDAHAN masjid biru Shah Alam mempesonakan pengunjungnya.

DARI kejauhan, kubah biru yang terletak di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor menangkap pandangan orang ramai yang pasti terpesona dengan saiz dan reka bentuknya.

Masjid negeri Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu dirasmikan oleh Sultan Selangor pada 11 Mac 1988 bersamaan 23 Rejab 1408 Hijrah.

Fizikal luarannya iaitu merupakan kubah terbesar di dunia selain dikeliling empat menara tinggi menimbulkan rasa betapa besar kebesaran Allah.


Bayangkan, Tuhan Maha Esa memberi ilham kepada manusia sejagat bagi membina sesuatu yang hebat supaya manusia terus bertakwa dan beriman kepada-Nya.

Jika menyelusuri bahagian dalam masjid negeri, terdapat empat buah lampu candeliar yang tergantung indah di ruang solat dan pintu masuk utama.

Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sendiri yang menyumbang idea dan pandangan terhadap rekaan candeliar tersebut yang berharga kira-kira RM2 juta.

Jika diteliti bahagian dalam masjid, pastikan anda mencari sebuah jam antik berusia 600 tahun bernilai RM200,000 yang dibeli di Hong Kong. Jam antik tersebut juga merupakan sumbangan Almarhum Sultan Selangor.

Bahagian dalaman kubah pula tertera tulisan-tulisan khat ayat-ayat suci al-Quran yang merupakan hasil kerja penulis khat Mesir, Sheikh Abdel Moneim Mohamed Ali El Sharkawi.

Dinding Mihrab masjid negeri diselaputi batu marmar yang diimport menggunakan batu marmar antik Turki dihiasi ayat-ayat suci al-Quran dalam bentuk tulisan tradisional.

Dewan solat terbahagi kepada dua tingkat bagi jemaah lelaki dan wanita dengan luas kedua-duanya kira-kira 15,000 meter persegi.

Lantai ditutup dengan permaidani yang diperbuat daripada benang bulu bercorak geometrik berlatar belakang warna biru.

Tiang dan dinding disaluti oleh batu marmar putih Mahsuri dari Langkawi.

Pembinaan masjid yang bernilai RM160 juta itu berada di atas tapak seluas 14 hektar itu bermula pada 1 Oktober 1983.

Masjid negeri menjadi bertambah unik apabila warna biru yang menyerlah dari jauh dengan corak-corak geometri menarik sehingga menjadi inspirasi golongan wanita yang gemarkan aktiviti kesenian untuk dijadikan motif dalam karya mereka.

Bukan setakat mahu menampilkan keindahan luaran sahaja, masjid itu sendiri mempunyai misi untuk menjadi sebagai masjid terbaik, terindah serta menjadi contoh bertaraf dunia dan menjadi lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi negeri serta diredai Allah.

Sumber: Kosmo

0 comments: