10 Ogos 2014

MAT ~ Perangi Dadah Secara Perubatan


Penagihan dadah menjadi bebanan kepada negara sejak sekian lama. - Gambar hiasan

Menurut Kementerian Kesihatan, dianggarkan terdapat antara 400,000 hingga 800,000 pengguna dadah di negara ini, iaitu sebanyak 170,000 daripada mereka adalah pengguna dadah suntikan (IDU).

Penggunaan dadah jenis IDU ini membawa pelbagai jenis masalah sosial, ekonomi dan juga yang berkaitan dengan kesihatan seperti HIV dan Hepatitis C, akibat daripada amalan perkongsian jarum.

Kajian daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AAK) melaporkan, secara purata terdapat 397 penagih dadah baru dan 258 kes berulang penagihan dadah setiap bulan pada tahun 2013.


Laporan ini juga menunjukkan bahawa belia Malaysia yang berumur di bawah 30 tahun mewakili 69 peratus daripada jumlah penagih dadah di negara ini dari Januari hingga November tahun 2013.

Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan mentakrifkan penagihan dadah sebagai keadaan perubatan kronik berulang.

Penyalahgunaan dadah secara berterusan akan menyebabkan perubahan jangka masa panjang kepada struktur otak dan fungsi, yang akhirnya mencetuskan keinginan dadah yang kuat.

Oleh sebab itu, penggunaan ubat-ubatan diperlukan untuk mengawal ketagihan dan kejayaan pemulihan dan integrasi semula.

Presiden Persatuan Perubatan Penagihan Malaysia, Dr. Steven Chow, berkata, terdapat rawatan bantuan perubatan (MAT) yang berkesan untuk membantu pesakit menangani kesan kemusnahan yang kuat akibat ketagihan.

"Kajian menunjukkan bahawa MAT dan terapi tingkah laku yang diusahakan awal-awal lagi memberi peluang yang terbaik kepada pesakit untuk pulih dan akhirnya berjaya membebaskan diri daripada dadah.

"Penagihan dadah sering dilihat sebagai satu kelemahan masyarakat, tingkah laku atau moral yang tidak diingini, yang perlu dihukum.

"Begitupun, keadaan ini sebenarnya boleh diperbaiki melalui kaedah rawatan perubatan," katanya.

Tambah Dr. Steven lagi, pakar kini menganggap penagihan dadah sebagaimana keadaan penyakit kronik lain seperti diabetes mellitus atau penyakit darah tinggi, di mana rawatan jangka panjang diperlukan untuk mengekalkan status bebas penyakit serta untuk mengelakkan komplikasi.

Katanya, konsep yang sama juga dipakai dalam rawatan pergantungan terhadap dadah.

"Penyelidikan telah menunjukkan bahawa secara amnya orang mengambil dadah kerana mahu berasa lebih tenang dalam usaha untuk menangani masalah atau situasi yang sukar, termasuk tekanan, trauma dan gejala gangguan mental.

"Stigma yang dikaitkan dengan penagihan dadah telah menghalang ramai pesakit ‘tersembunyi’ ini untuk mendapatkan rawatan.

"Adalah penting untuk lebih memperbanyakkan program kesedaran dan pendidikan awam perlu diteruskan dengan bersungguh-sungguh untuk menjana kefahaman yang lebih mengenai dadah sebagai satu penyakit kronik berulang yang boleh dirawat secara perubatan," ujarnya.

Beliau juga mengakui, kaedah MAT merupakan suatu pendekatan bersepadu yang dilihat berkesan membantu pesakit membebaskan diri daripada dadah.

"Penggunaan MAT telah menunjukkan hasil yang positif dalam pengurusan pengguna dadah. Seramai 52,080 pesakit telah dilaporkan menjalani MAT sama ada di pusat-pusat perubatan kerajaan mahupun swasta sehingga Disember 2012.

"Menurut suatu kajian yang dibentangkan oleh Persatuan Antarabangsa Perubatan Ketagihan pada tahun 2011, rawatan jangka masa panjang seperti MAT meningkatkan peluang pesakit untuk pulih daripada ketagihan dadah.

"Di Malaysia MAT yang menggunakan buprenorphine-naloxone telah terbukti berjaya dalam merawat ketagihan dadah dan telah terbukti mempunyai kadar kekal lebih 80 peratus dengan pengawasan perubatan melalui kaedah pemulihan fisiologi, psikologi dan emosi," katanya.

Dalam pada itu, bagi membincangkan kemajuan terkini dalam bidang perubatan ketagihan, satu persidangan Kebangsaan mengenai Perubatan Ketagihan (NatCAM) telah mengumpulkan pakar tempatan dan antarabangsa dan pakar ketagihan.

NatCAM bertujuan meningkatkan pembangunan khusus perubatan ketagihan dan menggalakkan lagi pembangunan rawatan berasaskan komuniti untuk penagihan dadah.

Sumber: Utusan

0 comments: