27 September 2014

Bayi Perempuan Parah Digigit Biawak Di Tioman


GAMBAR-gambar Nurhidayah yang digigit biawak air di Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan parah digigit biawak di rumahnya di kuarters pekerja sebuah resort di Pulau Tioman, di sini, kira-kira jam 10 pagi 23 September, 2014.

Bayi malang itu cedera parah selepas diterkam dan digigit haiwan liar berkenaan selepas diletakkan sebentar di ruang tamu rumah oleh ibunya, Nor Raudah Abdullah, 38, yang tinggal di kuarters resort berkenaan.

Kejadian terbabit disedari ibunya sebelum membawanya ke Klinik Desa Kampung Tekek dan kemudian dirujuk ke Hospital Mersing.

Ketika kejadian ibu mangsa meninggalkan bayi berkenaan di ruang dapur untuk mengambil sesuatu. Tidak lama selepas itu, beliau terdengar bunyi bising di bahagian dapur diikuti suara bayi menangis dengan kuat.


Ibu mangsa yang terkejut kemudian meluru ke dapur untuk melihat anaknya dan mendapati seekor biawak besar sedang menggigit dan mencengkam kepala anaknya dan cuba menarik bayi itu keluar dari kawasan dapur untuk dibawa lari ke dalam semak.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu di pondok polis Kampung Tekek, malam tadi.

Johari berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan termasuk meminta Jabatan Perhilitan Pahang melakukan pemeriksaan di kediaman mangsa.

Beliau juga berkata kes berkenaan adalah pertama kali dilaporkan di pulau itu membabitkan biawak menyerang manusia.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk rawatan susulan.


KEADAAN bayi selepas menerima rawatan di Hospital Mersing. Bayi ini parah digigit biawak di rumahnya di kuarters pekerja sebuah resort di Pulau Tioman, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sumber: BHarian

Bukan kerana persekitaran kotor.

Lembaga Pembangunan Tioman menolak kemungkinan persekitaran kawasan kediaman yang kotor menjadi punca seekor biawak bertindak agresif dengan menyerang seorang bayi perempuan berumur lapan bulan di Pulau Tioman.

Pengurus Besarnya, Datuk Hashim Mat Tahir, berkata adalah mustahil kawasan berkenaan juga kotor memandangkan kediaman mangsa adalah di dalam kawasan resort yang kebersihannya sentiasa dijaga rapi.

Beliau diminta mengulas pendapat pakar veterinar yang tidak menolak kemungkinan biawak itu menyerang mangsa, Nur Hidayah Abdul Rahman disebabkan persekitaran kotor di lokasi kejadian.

Ketua Kampung Tekek dekat Pulau Tioman, Zulkarnaini A Hamid, berkata beliau menolak dakwaan proses pelupusan sampah yang tidak sistematik di resort itu menarik perhatian biawak berkenaan.

Beliau berkata, sampah sarap dilupuskan mengikut cara yang betul tetapi ada kalanya biawak menyelongkar tong sampah bagi mencari makanan.

"Peningkatan jumlah pelancong ke pulau ini menyebabkan lebih banyak sampah termasuk sisa makanan dari restoran di kampung ini.

Bagaimanapun pengusaha kemudahan penginapan di pulau ini sentiasa mematuhi peraturan dalam melupuskan sisa makanan dan sampah dari premis mereka," katanya.

Beliau berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat mencari jalan penyelesaian berkesan bagi mengawal jumlah haiwan liar itu di pulau peranginan itu bagi mengelak ia menjadi ancaman kepada penduduk dan pelancong yang lain.

Sumber: BERNAMA, BHarian

'Biawak memang banyak'

Penduduk Kampung Tekek, Pulau Tioman mahu pihak berkuasa menangani populasi biawak yang kini mencecah bilangan besar bagi mengelak berulang insiden seorang bayi perempuan yang cedera diserang dan digigit haiwan itu kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Zulkarnain Abd. Hamid berkata, walaupun haiwan tersebut secara umumnya tidak mendatangkan ancaman kepada manusia, saiznya yang boleh mencecah sebesar orang dewasa tetap menimbulkan kebimbangan.

Beliau memberitahu, haiwan itu dilihat bebas berkeliaran bukan sahaja di dalam resort di lokasi kejadian malah di kawasan kampung berkenaan.

"Di sini memang banyak biawak dan yang paling agresif adalah biawak yang warnanya agak kekuningan dan daripada jenis yang makan daging.

"Di dalam resort terbabit sendiri ada sebuah kolam yang di dalamnya ada biawak, saya sendiri banyak kali melihat biawak berkeliaran di situ malah terdapat juga pelancong yang mengambil gambar," katanya.

"Haiwan ini banyak berkeliaran, di resort itu juga ada, jadi mungkin pada masa itu biawak yang berkeliaran ini lapar dan menyangka bayi yang difahamkan sedang tidur pada waktu itu sebagai makanannya," katanya.

Bapa Nur Hidayah Abdul Rahman Ismail, 38, berkata kelibat biawak yang berkeliaran di sekitar rumah dan resort berkenaan biasa dilihat setiap hari namun tidak menyangka haiwan itu bertindak memasuki rumah.

Abdul Rahman yang merupakan pekerja penyelenggaraan di resort itu, turut berkata kawasan sekeliling resort itu sangat bersih dengan dilengkapi landskap tanaman.

Sumber: Utusan, BHarian

Bayi dicakar biawak kini stabil

Pada 24 September, 2014, bayi berusia lapan bulan yang menjadi mangsa serangan seekor biawak di kuarters sebuah resort di Kampung Tekek, Tioman, Pahang berada dalam keadaan stabil di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini selepas diberi ubat antibiotik.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, Nur Hidayah Abd. Rahman yang mengalami cedera di bahagian kepala dan muka akibat dicakar haiwan reptilia itu turut menerima 50 jahitan.

"Nur Hidayah kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan semula di wad kanak-kanak. Dia diberikan ubat antibiotik dan dipantau secara rapi dari semasa ke semasa.

"Bayi ini akan ditahan di wad sekurang-kurangnya lima hari bagi memastikan dia benar-benar sihat sebelum dibenarkan keluar. Kita bimbang Nur Hidayah dijangkiti bakteria akibat daripada gigitan haiwan liar itu," katanya.

Ayub berkata, kes tersebut merupakan kes pertama yang pernah dilaporkan di HSA dan pihak hospital akan memantau keadaan pesakit dengan lebih dekat bagi memastikan tidak berlaku sebarang jangkitan sampingan.

"Kecederaan luka yang dialami Nur Hidayah amat dalam dan panjang terutamanya di bahagian pipi dan kening. Kita khuatir kecederaan itu memberi kesan sampingan terhadapnya.

"Di HSA, kita mempunyai kepakaran yang mencukupi bagi menangani kes seperti ini dan memberi jaminan Nur Hidayah akan kembali pulih seperti biasa," katanya.

Sumber: Utusan

0 comments: